Naib Konsul S'pura ini tabah bertugas di M'sia bantu rakyat senegara; bekerja sampai luar waktu pejabat
Apabila isteri dan anak perempuan Encik Kamar Faizal Baharam diuji positif COVID-19 baru-baru ini, terdetik niat di hatinya untuk membawa mereka pulang ke Singapura.
Encik Kamar Faizal Baharam dikerahkan ke Konsulat-Jeneral Singapura di Johor Bahru pada tahun lalu. (Gambar: Amir Yusof)
KUALA LUMPUR: Apabila isteri dan anak perempuan Encik Kamar Faizal Baharam diuji positif COVID-19 baru-baru ini, terdetik niat di hatinya untuk membawa mereka pulang ke Singapura.
Masih segar dalam ingatan Naib Konsul yang bekerja di Konsulat-Jeneral Singapura di Johor Bahru (JB) itu tentang bagaimana keluarganya perlu menjalani kegiatan seharian mereka dalam bilik yang berasingan di rumah selama sebulan.
"Tentu sekali, ia adalah tempoh yang sangat sukar bagi kami sekeluarga, diasingkan bagi tempoh yang sangat panjang," kata Encik Faizal, 38 tahun.
Pada satu sisi, beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. Mentelah lagi, banyak hospital dan unit jagaan rapi di Johor sekarang penuh.
Pada sisi lain, Encik Faizal tahu beliau harus meneruskan tugas konsularnya. Dalam tempoh ini, permintaan bagi khidmat pasukannya sangat tinggi.
"Kami (secara fizikal) sangat dekat dengan Singapura dan kita boleh melihat Singapura (dari sini) setiap hari. Pastinya ia membuat kami tersentap - terasa nak balik," luahnya.
"Bagaimanapun membantu rakyat Singapura yang berada di Johor, itu tugas saya. Dan apabila saya dapat melakukannya, menghantar pulang rakyat Singapura dengan selamat, ia sesuatu yang sangat memuaskan."
ANTARA TUGAS DIGALAS DIPLOMAT S'PURA INI
Encik Faizal dikerahkan ke Konsulat-Jeneral pada awal 2020, iaitu sebelum sempadan terpaksa ditutup disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Beliau dalam kalangan lima diplomat Singapura yang sedang bertugas di Konsulat-Jeneral di JB. Pasukan di Konsulat-Jeneral itu juga bekerja rapat dengan 15 lagi pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur (KL).
Dugaan yang menimpa diri ataupun keluarga bukan satu-satunya cabaran yang perlu mereka hadapi sepanjang pandemik ini. Mereka antara lain perlu menyesuaikan diri dengan keterbatasan operasi yang kian berubah-ubah.
Jumlah permohonan bagi bantuan konsular dan repatriasi (penghantaran pulang) dari rakyat Singapura di Malaysia yang perlu mereka tangani juga melonjak tinggi sejak sempadan antara Singapura dengan Malaysia ditutup.
Semua itu perlu dihuraikan sedangkan mereka juga perlu mencari cara-cara kreatif untuk mengekalkan hubungan rapat dengan rakan-rakan sejawatan dari Malaysia. Ini kerana mesyuarat secara fizikal sukar diadakan dengan pelbagai sekatan perjalanan dan peraturan jarak selamat yang dikuatkuasakan.
PASUKAN PERLU JAWAB 1,000 PANGGILAN SEBULAN
Encik Faizal, yang arif dalam pengurusan permohonan konsular, memberitahu Mediacorp bahawa pertanyaan yang diterima berkaitan bantuan konsular "melambung sangat tinggi" sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Pada kemuncaknya, pasukan itu menerima sekitar 1,000 panggilan sebulan bagi khidmat konsular. Ini berbanding 150 panggilan sebulan yang diterima sebelum COVID-19. Panggilan-panggilan diterima mencakupi permintaan bagi bantuan konsular dan pertanyaan berkaitan dasar imigresen, termasuk mengenai prosedur untuk membuat permohonan ke luar negara dan melanjutkan tempoh pas lawatan di Malaysia.
"Pada pertengahan 2020, kami menerima hampir 100 panggilan sehari. Bagi pasukan kami yang agak kecil... kami sering kali perlu bekerja sehingga luar waktu pejabat," kata Encik Faizal.
Dengan sempadan ditutup juga, pasukan itu turut ditugaskan untuk membantu urusan menghantar pulang rakyat Singapura yang terkandas di Malaysia. Hasil usaha gigih merekalah yang membolehkan ramai rakyat Singapura dapat bersatu semula dengan keluarga masing-masing.
400 RAKYAT S'PURA SUDAH DIBANTU PULANG
Memandangkan pengangkutan awam tidak dibenarkan merentasi Koswe, para diplomat misalnya harus menyewa bas, mendapat kelulusan daripada agensi-agensi tertentu dan memastikan semua protokol kesihatan dipatuhi sepanjang proses dijalankan.
Konsul Jeneral Singapura di JB, Encik Jeevan Singh, memberitahu Mediacorp bahawa pasukannya menguruskan repatriasi (penghantaran pulang) hampir 400 rakyat Singapura sepanjang 2020. Kebanyakan daripada mereka adalah warga emas, golongan yang uzur atau mereka yang mengalami masalah pergerakan.
Pasukan di Konsulat-Jeneral juga mengatur perjalanan rentas sempadan bagi antara dua hingga empat orang setiap minggu. Mereka terdahulu sudah menguruskan enam operasi "lebih berskala besar" untuk menghantar pulang sehingga 45 rakyat Singapura pada satu-satu masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.