Skip to main content

Singapura

Naib kadi muda bawa perspektif baharu bimbing pasangan seusia

Anggaran Waktu Membaca:
Naib kadi muda bawa perspektif baharu bimbing pasangan seusia

Ustaz Muhammad Faris Ilyasa Baharin (kiri) dan Ustaz Ammar Yasir Mohamed Fatris (kanan). (Gambar: Hidir Ezat)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 05:48PM Dikemas Kini : 11 Jul 2026 07:55PM
SINGAPURA: Belum mencecah usia 30 tahun, namun Ustaz Muhammad Faris Ilyasa Baharin dan Ustaz Ammar Yasir Mohamed Fatris sudah pun menggalas tanggungjawab sebagai naib kadi.

Mereka antara generasi baharu 11 naib kadi muda di bawah usia 35 tahun yang dilantik tahun ini untuk bukan sahaja mengendalikan akad nikah, malah membimbing pasangan menerusi program sokongan perkahwinan Bersamamu sebelum dan selepas bernikah.

Menurut Ustaz Faris, 28 tahun, kedudukannya sebagai naib kadi yang seusia dengan kebanyakan pasangan baharu memberinya kelebihan untuk memahami cabaran yang mereka lalui.

"Sebagai seorang naib kadi yang berada dalam usia yang sama dengan pasangan-pasangan baru, saya merasakan faktor usia ini adalah satu kekuatan di mana kita menjalankan fasa kehidupan yang serupa. Contoh daripada segi aspek kerjaya, menguruskan kewangan dan juga harapan dan jangkaan ahli keluarga dan bakal keluarga," kata Ustaz Faris.

"Oleh itu, Insya-Allah saya rasa lebih mudah untuk saya fahami kebimbangan dan cabaran-cabaran realistik yang dihadapi oleh pasangan-pasangan pada zaman ini," tambahnya.

Program Bersamamu diadakan bagi membantu pasangan sebelum pernikahan serta sepanjang dua tahun pertama selepas mereka bernikah.

Menurutnya lagi, beliau mahu membawa pendekatan yang membantu pasangan menyatukan teori agama dengan realiti kehidupan masa kini.

"Saya ingin memberitahu pasangan bagaimana caranya untuk menyatukan teori agama dengan suasana kehidupan masa kini. Contoh seperti dinamika dwi pendapatan, ataupun masalah-masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dan juga kehadiran media sosial yang boleh memberikan impak yang negatif dan juga positif pada kehidupan pasangan," ujarnya.

Beliau berkata matlamat naib kadi adalah untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga pasangan dalam kehidupan yang serba moden dan mencabar.
Related article image
Program Bersamamu diadakan bagi membantu pasangan sebelum pernikahan serta sepanjang dua tahun pertama selepas mereka bernikah. (Gambar: Hidir Ezat)
Beliau bagaimanapun berkata naib kadi muda dan yang lebih berpengalaman masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurutnya, naib kadi muda dapat mewujudkan suasana yang lebih selesa dan mengurangkan rasa gementar pasangan untuk berkongsi kegusaran mereka, manakala naib kadi yang lebih berpengalaman pula menawarkan pengalaman dan kebijaksanaan yang luas.

Ustaz Faris, yang juga Pegawai Khidmat Agama Masjid (MRO) di Masjid Mukminin, berkata beberapa masjid turut menganjurkan program yang menghimpunkan naib kadi untuk membincangkan isu-isu kekeluargaan semasa.

USIA BUKAN KAYU UKUR KEMAMPUAN MEMBIMBING PASANGAN: NAIB KADI USTAZ AMMAR YASIR MOHAMED FATRIS

Bagi Ustaz Ammar pula, beliau berpandangan usia bukan penentu utama keupayaan seseorang membimbing pasangan.

Sebaliknya, beliau berkata yang penting ialah memberikan yang terbaik kepada setiap pasangan.

"Ada yang lebih selesa dengan naib kadi yang lebih berpengalaman tetapi ada juga yang lebih selesa dengan naib kadi yang muda, yang lebih rapat dengan usia mereka," kata Ustaz Ammar.

"Jadi usia ini bukan kayu ukur atas kemampuan kita untuk membimbing. Yang penting adalah kita memberi yang terbaik dan kita harapkan yang terbaik juga untuk para pasangan dalam rumahtangga mereka," tambahnya.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
Menurut Ustaz Ammar, 29 tahun yang juga Ketua Pembelajaran Islam di Masjid Maarof, semakin ramai naib kadi muda kini berkhidmat sebagai asatizah di masjid-masjid Singapura, sekali gus memudahkan masyarakat mendapatkan bimbingan daripada individu yang sudah dikenali.

Beliau mengakui naib kadi muda mungkin kurang berpengalaman sebagai juru nikah berbanding naib kadi yang lebih berpengalaman. Namun, beliau percaya pengalaman melalui fasa kehidupan yang sama dengan pasangan muda membolehkan mereka menzahirkan empati terhadap cabaran yang dihadapi.

"Kita melalui fasa kehidupan yang sama pada zaman yang sama. Dengan itu, kita dapat rasakan empati terhadap mereka dan, insya-Allah, melalui itu kita dapat membantu mereka dalam mengharungi cabaran kehidupan mereka dalam membina rumahtangga," katanya.

Kedua-duanya dilantik pada 10 Jun lalu.

Bagi memastikan setiap naib kadi bersedia memikul tanggungjawab tersebut, mereka perlu menjalani latihan termasuk sesi bimbingan bersama mentor yang lebih berpengalaman.

Mereka juga mengikuti mentor ketika mengendalikan sesi bersama pasangan secara fizikal serta majlis akad nikah sebelum menjalankan tugas secara kendiri.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita