Naib johan tilawah antarabangsa, Qariah A'tii Qah Suhaimi mahu terus gilap bakat generasi pelapis
(Gambar: A'tii Qah Suhaimi)
- Singapore qariah A'tii Qah Suhaimi was named the women’s runner-up at the 66th MTHQA in Kuala Lumpur, held from Oct 6 to 10, with 50 participants from 38 countries.
- She was nervous because she only found out the verses on the morning of the competition, but calmed herself before her turn and felt relieved when her name was announced after she delivered her best performance.
- Her more than a decade of international experience, including several appearances at the MTHQA, national titles from 2023 to 2025 and a second-place finish in Iran, has driven her to keep assessing her own shortcomings.
- A'tii Qah emphasised health and breath control as key parts of preparation, while also training maqamat at iTarannum Singapura since 2018 to strengthen the next generation of local qari and qariah.
- Qariah Singapura A'tii Qah Suhaimi meraih Naib Johan Tilawah wanita MTHQA ke-66 di Kuala Lumpur, yang berlangsung 6 hingga 10 Oktober dengan 50 peserta dari 38 negara.
- Beliau berdebar kerana hanya mengetahui ayat pada pagi pertandingan, namun menenangkan diri sebelum giliran dan lega apabila namanya diumumkan selepas membuat persembahan terbaik.
- Pengalaman antarabangsa lebih sedekad, termasuk beberapa penyertaan MTHQA, kemenangan kebangsaan 2023 hingga 2025 dan tempat kedua di Iran, mendorongnya terus menilai kekurangan diri.
- A'tii Qah menekankan kesihatan dan kawalan nafas sebagai persiapan penting, selain melatih maqamat di iTarannum Singapura sejak 2018 untuk memperkuat generasi qari dan qariah tempatan.
SINGAPURA: Sehari sebelum melangkah ke pentas antarabangsa, debaran sudah mula dirasakan qariah A'tii Qah Suhaimi, 35 tahun.
Denyutan jantungnya turun naik, sesuatu yang diperhatikannya menerusi jam tangan yang digunakan untuk memantau kadar degupan jantung.
Namun, debaran yang berlarutan sehingga kira-kira 20 minit sebelum pertandingan itu tidak menghalangnya daripada memberikan prestasi bacaan yang baik sehingga berjaya meraih gelaran Naib Johan kategori Tilawah wanita dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Kuala Lumpur.
Pertandingan yang berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober itu menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara.
Ketidakpastian tentang ayat Al-Quran yang bakal diperdengarkan juga menjadi antara perkara yang paling meresahkan, kongsi Qariah A'tii Qah kepada BERITA Mediacorp sehari selepas pertandingan.
“Di peringkat antarabangsa, para peserta hanya mengetahui ayat yang perlu dibaca pada pagi hari pertandingan.
“Jadi, saya bimbang sekiranya mendapat ayat yang panjang atau berdepan kesukaran lain ketika memperdengarkan bacaan,” jelas beliau.
Namun, kira-kira 20 minit sebelum tiba gilirannya, beliau cuba menenangkan diri dengan memejamkan mata dan membayangkan suasana dewan pertandingan.
Debaran itu bagaimanapun kembali dirasakan ketika keputusan pertandingan diumumkan.
“Saya berdebar-debar ketika keputusan sedang diumumkan dan ketika nama saya disebut, saya berasa lega kerana sudah buat yang terbaik,” katanya.
LEBIH SEDEKAD BERTANDING DI PENTAS ANTARABANGSA
Meskipun sudah biasa dengan suasana pertandingan antarabangsa, pengalaman kali ini tetap menguji ketenangan Qariah A'tii Qah.
Ini merupakan penyertaannya yang keempat dalam MTHQA di Kuala Lumpur, manakala secara keseluruhan, beliau sudah lebih tujuh kali menyertai pertandingan tilawah di peringkat antarabangsa.
Rekod pencapaiannya dalam pertandingan di Malaysia bermula seawal 2009 apabila beliau menduduki tempat kelima, sebelum meraih tempat ketiga pada 2017 dan tempat kelima pada 2023.
Beliau turut meraih tempat kedua dalam kategori Tartil wanita pada pertandingan antarabangsa di Iran pada 2024.
Di peringkat kebangsaan pula, Qariah A'tii Qah menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran Singapura selama tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025.
Pencapaian itu turut menjadikannya sebagai penerima sulung Anugerah Berprestij Pemenang Tiga Kali yang diperkenalkan oleh Majlis Tilawah, Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) tahun ini.
“Pada setiap kejayaan, saya sentiasa lebih berminat untuk imbas kembali kekurangan-kekurangan yang saya lakukan ketika saya persembahkan bacaan saya.
“Ini agar saya tidak akan rasa cukup setakat apa yang saya sudah capai tetapi supaya boleh sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki,” ujarnya.
KESIHATAN DAN KAWALAN NAFAS ANTARA CABARAN TERBESAR
Di sebalik bacaan Al-Quran yang diperdengarkan di pentas pertandingan, terdapat tuntutan fizikal yang memerlukan persiapan rapi.
Cabaran terbesar Qariah A'tii Qah menjelang pertandingan antarabangsa ialah memastikan kesihatannya di tahap yang baik.
Ini kerana masalah kesihatan seperti demam boleh menjejas kawalan pernafasan, yang memainkan peranan penting dalam seni tilawah.
Menurut pengalamannya, keadaan itu boleh mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih sepenuhnya.
“Bacaan yang boleh dibacakan sepanjang 30 saat dengan satu nafas, boleh menjadi pendek kepada 17 hingga 18 saat ketika kurang sihat,” jelasnya.
Menurutnya, keadaan kesihatan yang tidak optimum juga boleh menyebabkan mutu persembahan merosot dengan ketara.
Justeru, menjaga kesihatan menjadi sebahagian penting daripada persiapannya, selain memperhalusi teknik bacaan.
MAHU TINGKATKAN MUTU BACAAN GENERASI PELAPIS
Di luar pertandingan, Qariah A'tii Qah turut berkongsi ilmu dan pengalamannya sebagai jurulatih 'maqamat' di iTarannum Singapura sejak 2018.
Peranan itu seiring dengan hasratnya untuk melihat lebih ramai bakat tempatan menyerlah dalam seni tilawah Al-Quran.
“Saya harap dapat meningkatkan mutu bacaan qari dan qariah kita di Singapura, supaya generasi akan datang dapat mencapai tahap yang lebih baik daripada sekarang,” katanya.
Gelaran juara kategori Tilawah Wanita Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-66 disandang oleh wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa dan tempat ketiga pula diberikan kepada wakil Brune, Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Haji Marjuki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.