Nahas maut Clementi Road: Pemandu teksi ditangkap
Pemandu teksi yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Kathy Ong, sudah ditangkap.
Petikan gambar dari video. (Gambar: Roads.sg / Facebook)
SINGAPURA: Pemandu teksi yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Kathy Ong, sudah ditangkap.
Demikian menurut polis hari ini (26 Apr).
Pemandu berusia 54 tahun itu memandu teksi yang dinaiki Cik Ong, 19 tahun dan rakan-rakannya pada malam 19 April apabila kenderaan tersebut merempuh sebuah kereta di persimpangan jalan antara Commonwealth Avenue West dengan Clementi Road.
Dia sudahpun ditangkap kerana menyebabkan kematian akibat perbuatan terburu-buru, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan media.
Rakaman video yang tersebar di media sosial sejurus selepas kemalangan tersebut menunjukkan teksi itu dirempuh sebuah kereta yang menghala ke arahnya sedang ia mencuba untuk membelok ke kanan di persimpangan tersebut. Rempuhan itu menyebabkan sebahagian tubuh Cik Ong, yang berada di tempat duduk belakang, terkeluar dari tingkap.
Salah seorang rakan Cik Ong terpaksa ditarik keluar daripada teksi itu oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menggunakan alat penyelamat hidraulik.
Cik Ong dan rakan-rakannya sebelum itu sedang dalam perjalanan untuk membeli makan malam buat kawan-kawan mereka di Kolej Tembusu NUS di Ora House.
Mereka mahu mengadakan majlis perpisahan buat sekitar 130 siswa tahun akhir di tempat penginapan yang sama.
Rakan-rakan dan profesor Cik Ong menyifatkannya sebagai "seorang yang mesra" yang juga aktif dalam banyak jawatankuasa dan kegiatan di universiti. Cik Ong adalah anak tunggal yang rapat dengan kedua-dua orang tuanya.
NUS mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya "amat bersedih" atas tragedi tersebut.
Ketua Kolej Tembusu, George Clancey juga berkata bahawa masyarakat universiti 'masih meratap pemergian Cik Ong'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.