Nahas jemaah umrah di Arab Saudi: Isteri Allahyarham Ustaz Abu Bakar dijadual tiba di S'pura petang ini
Wartawan BERITAMediacorp Azlan Asri mengikuti rombongan yang pulang bersama Cik Fauziah Alias.
JEDDAH: Isteri Allahyarham Ustaz Abu Bakar, yang cedera dalam nahas jalan raya di Taif, Arab Saudi, dua minggu lalu berangkat pulang ke Singapura awal pagi tadi waktu Saudi, atas bantuan ST&T International, pasukan perubatan syarikat Haji EMA.

Operasi memindahkan Cik Fauziah dari hospital Raja Faisal di Makkah ke lapangan terbang di Jeddah dan kemudian kembali ke Singapura adalah hasil kerjasama syarikat insurans ST&T International bersama Konsul Agung Singapura ke Saudi, Konsul Haji, serta kakitangan Muis dan Saudi Airlines.
Keadaan Cik Fauziah masih mantap ketika dalam perjalanan ke Singapura dan beliau dijangka dibawa terus ke hospital setibanya di Lapangan Terbang Changi, petang ini.
Kepulangan Cik Fauziah diiringi seorang anak lelakinya dan seorang jururawat ST&T.

Kos operasi tersebut ditanggung pihak insurans ST&T International bersama United Overseas Insurance.
Sementara itu dua lagi jemaah Abu Bakar Travel, warga Malaysia, yang masih dirawat di dua hospital di Makkah dalam keadaan mantap dan dijangka diterbangkan pulang dalam masa beberapa hari akan datang.
Dalam nahas di Taif itu, pengarah Abu Bakar Travel Ustaz Abu Bakar terkorban bersama kedua-dua pemandu bas dan lori treler yang terlibat dalam pertembungan yang berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.