Skip to main content

Singapura

Nahas Jeju Air: Tiada struktur konkrit serupa dekat laluan lapangan terbang SG, kata Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas Jeju Air: Tiada struktur konkrit serupa dekat laluan lapangan terbang SG, kata Chee Hong Tat

Gambar: YONHAP/AFP

Diterbitkan : 08 Jan 2025 01:41PM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 01:42PM
SINGAPURA: Tiada struktur konkrit, serupa dengan yang terlibat dalam nahas Jeju Air baru-baru ini, berdekatan dengan laluan semua lapangan terbang di Singapura.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Rabu (8 Jan).

Menjawab pertanyaan mengenai insiden yang berlaku pada 29 Dis lalu di Parlimen, Encik Chee berkongsi bahawa berdasarkan maklumat yang sedia ada mengenai nahas tersebut yang meragut 179 nyawa, tahap keterukan insiden itu "bertambah buruk disebabkan adanya sebuah struktur konkrit di hujung laluan berkenaan".

"Saya rasa terdapat beberapa video di wadah media sosial yang menunjukkan nahas tersebut dan bagaimana pesawat berkenaan merempuh dinding konkrit ini," kata Encik Chee.

"Saya gembira untuk berkongsi dengan Dewan bahawa tiada wujud struktur konkrit sedemikian dekat laluan di lapangan terbang kami," ujar Encik Chee.

"Semua peralatan yang dikehendaki bagi tujuan pengemudian udara, yang terletak berdekatan dengan laluan kami direka untuk dimusnahkan jika berlaku sesebuah nahas."

Pesawat Jeju Air 7C2216, yang berangkat dari ibu kota Thailand, Bangkok ke Muan di barat daya Korea Selatan, terhempas lalu tersasar keluar dari laluan lapangan terbang rantau itu, sebelum ia hangus terbakar setelah merempuh sebuah tembok di hujung landasan.

Ia merupakan nahas udara terburuk di tanah air Korea Selatan dan hanya dua individu terselamat daripada tragedi tersebut.

Encik Chee berkata bahawa siasatan masih dijalankan, dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang berhubung dengan Penguasa Penerbangan Awam Korea dan Pentadbiran Awam Persekutuan Amerika dan syarikat pembuat pesawat Boeing.

"Kami akan menyemak semula dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan sedang maklumat lanjut mengenai insiden itu, disediakan," jelasnya.

Encik Chee menambah bahawa CAAS juga telah meneliti pemeriksaan sistem tertentu mengenai beberapa pesawat Boeing 737-800nya, yang merupakan model yang sama dengan pesawat yang terlibat dalam insiden itu, dan "mereka menemui tiada anomali atau isu kepercayaan".

"Kami berdukacita atas insiden ini," tambahnya. "Kami menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga mereka."

TRAFIK PENUMPANG 2025 DIJANGKA ATASI PARAS PRAPANDEMIK

Encik Chee turut berkongsi bahawa trafik penumpang keseluruhan dijangka "hampir mencapai paras prapandemik pada 2024".

Antara Januari dengan November 2024, Lapangan Terbang Changi mengendali kira-kira 61 juta penumpang. Secara tahunan, ia adalah sekitar 70 peratus daripada kapasiti pengendalian tahunan Lapangan Terbang Changi seramai 90 juta di Terminal 1 hingga 4.

"Kami menjangka ia untuk meningkat dengan lanjut, lantas pada 2025, kami berkemungkinan mengatasi paras sebelum COVID," tambahnya.

Maka itu, terdapat persediaan yang perlu dilakukan bagi menangani kenaikan ini.

Encik Chee berkata bahawa Changi Airport Group akan melabur S$3 bilion (AS$2.2 bilion) bagi tempoh enam tahun seterusnya di Lapangan Terbang Changi terminal 1 hingga 4 untuk memperbaiki khidmat seperti pengendalian pakej, pendaftaran masuk (check-in) dan imigresen.

"Pelaburan ini akan membantu Lapangan Terbang Changi untuk kekal berdaya saing dan memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat, sebelum Terminal 5 mula beroperasi pada pertengahan 2030an," jelasnya.

Apabila ia mula beroperasi, Terminal 5 akan dapat mengendali tambahan seramai 50 juta penumpang setahun. Ia akan mula dibina pada 2025.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita