Skip to main content

Singapura

Nahas jalan raya cetus gesaan larang bawa pekerja hijrahan naik lori

Nahas jalan raya cetus gesaan larang bawa pekerja hijrahan naik lori.

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas jalan raya cetus gesaan larang bawa pekerja hijrahan naik lori

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 22 Apr 2021 09:14AM Dikemas Kini : 22 Apr 2021 09:18AM

SINGAPURA: Bagi pekerja binaan Md Sharif Uddin, 42 tahun, perjalanan berulang-alik ke tempat kerja setiap hari menaiki lori adalah pengalaman yang mengerikan.

"Emosi saya sentiasa tidak tenteram (menaiki lori). Saya takut kerana sudah banyak kemalangan," penyelaras keselamatan yang berasal dari Bangladesh, dari sebuah syarikat binaan itu memberitahu Mediacorp pada Rabu (21 Apr).

Menceritakan bagaimana para pekerja hijrahan sepertinya perlu menerima hakikat bahawa itulah cara mereka berulang-alik ke tempat kerja, Sharif Uddin berkata perjalanan menaiki lori itu bermakna terpaksa bertahan beberapa jam di bawah terik matahari atau hujan, duduk di ruang minimum lapan kaki persegi bagi setiap pekerja di bahagian belakang lori, yang juga membawa peralatan dan bahan-bahan kerja selain para pekerja lain.

Pengalaman itu menyebabkan Sharif Uddin mencoret tiga bab mengenai perjalanan menaiki lori dalam buku yang baru diterbitkannya, iaitu Stranger to My World.

Buku itu adalah diari pengalamannya di Singapura sebagai pekerja hijrahan dan diterbitkan oleh Epigram Books.

Dalam satu bab, Sharif Uddin menulis: "Para pekerja hijrahan berpendapatan rendah seperti kami terpaksa menerima hakikat bahawa kami mesti dihantar ke tempat kerja dalam bandar moden ini menaiki lori-lori yang tidak selamat."

Isu membawa para pekerja binaan menaiki lori sekali lagi menjadi tumpuan selepas berlaku nahas jalan raya di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) melibatkan sebuah lori dan lori jongket pada pagi Selasa (20 Apr). Seorang pekerja hijrahan terkorban dan lagi 16 cedera dalam kemalangan tersebut.

Pemandu lori itu sudah diberkas atas kesalahan memandu dengan cuai. Siasatan polis sedang dijalankan.

Insiden itu mencetuskan beberapa gesaan di media sosial agar pihak berkuasa melarang para majikan daripada menempatkan para pekerja hijrahan di bahagian belakang lori.

Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Calvin Cheng memuat naik catatan di laman Facebooknya pada Selasa, bahawa para pekerja hijrahan perlu menaiki bas mini dan memakai tali pinggang keledar.

Seorang lagi mantan NMP, Kuik Shiao-Yin, juga memberikan saranan yang sama: "Kita tidak akan membiarkan anak-anak kita, para pelajar kita, para pekerja kita menaiki lori seperti itu. Ini seperti menunggu kemalangan berlaku."

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, lori-lori dan kenderaan muatan yang lain tidak boleh digunakan sebagai pengangkutan privet untuk membawa penumpang, meskipun Akta itu memberi pengecualian kepada pemilik dan penyewa lori untuk membawa para pekerja berulang- alik dari tempat penginapan ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya.

Ini tertakluk kepada syarat-syarat seperti jumlah orang dan had ketinggian maksimum.

Pihak-pihak lain pula menyarankan agar piawai keselamatan penumpang diperketatkan, seperti mewajibkan tali pinggang keledar bagi lori sedemikian. Buat masa ini tali pinggang keledar tidak diwajibkan bagi para pekerja yang menaiki kenderaan muatan.

Cik Dipa Swaminathan, yang mengasaskan kumpulan penyokong pekerja hijrahan, ItsRainingRaincoats, memberitahu Mediacorp: "Tali pinggang keledar menyelamatkan nyawa dan terdapat cukup bukti untuk membuktikannya. Tidak adil jika para pekerja hijrahan tidak diberikan ciri keselamatan itu.

"Insiden ini boleh menjadi detik penting bagi Singapura untuk menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar bagi para penumpang lori."

Mediacorp sudah cuba mendapatkan komen daripada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Persatuan Kontraktor Singapura.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pula enggan memberikan komen disebabkan siasatan polis ke atas nahas tersebut masih dijalankan.

SARANAN YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Pengendali bagi syarikat Straits Construction Kenneth Loo berkata saranan-saranan itu pernah disuarakan sebelum ini setiap kali berlaku nahas teruk di jalan raya, melibatkan para pekerja hijrahan yang menaiki lori-lori muatan.

Meskipun kos sering kali dianggap sebagai sebab langkah-langkah sedemikian tidak diambil, Encik Loo berkata hakikatnya firma-firma binaan boleh melakukannya asalkan mereka diberikan masa yang mencukupi untuk membuat penyesuaian.

Keputusan tidak seharusnya dibuat secara terburu-buru untuk menguatkuasakan peraturan hanya disebabkan satu tragedi, kata beliau.

"Satu kemalangan maut sudah dianggap terlalu banyak, tetapi kita perlu meneliti statistik trafik jalan raya secara menyeluruh untuk melihat sama ada langkah-langkah sedia ada berkesan," kata Encik Loo.

Beliau berkata had jumlah pekerja yang menaiki lori sudah dikurangkan dan sejauh ini terdapat peningkatan ke atas tahap keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 22 Jun 2010, tiga pekerja terkorban dan enam cedera apabila lori yang dinaiki terbalik di PIE. Para pekerja itu tercampak keluar daripada kenderaan tersebut, yang pada waktu itu sedang membawa 15 pekerja sedangkan had yang dibenarkan hanyalah 13 orang sahaja.

Nahas itu mendorong para Anggota Parlimen (AP) untuk menggesa langkah-langkah diambil untuk menjaga keselamatan para pekerja hijrahan.

AP GRC Holland-Bukit Timah, Christopher de Souza meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) menimbangkan untuk menguatkuasakan peraturan ke atas para majikan supaya membawa para pekerja menaiki bas yang bertali pinggang keledar.

Menteri Pengangkutan pada waktu itu, Raymond Lim berkata Pemerintah akan
melaksanakan langkah-langkah keselamatan seperti memasang kanopi dan besi penghadang lebih tinggi.

Saranan untuk menggunakan bas-bas untuk membawa para pekerja, bagaimanapun tidak dilaksanakan kerana menurut Encik LIm, keberkesanan langkah-langkah yang dipertingkatkan perlu diteliti "sebelum memutuskan ia tidak mencukupi dan perlu dilarang".

Seorang veteran industri binaan, Johnny Chee Hwa, yang kini seorang perunding bagi beberapa firma menjelaskan bahawa memandangkan waktu bekerja berbeza bagi kumpulan-kumpulan pekerja yang lain, maka wajar mereka dibawa menaiki lori-lori berbanding bas yang mengambil pekerja pada waktu yang tetap.

"Sebahagian besar pekerja biasanya tinggal di luar tapak binaan di dormitori-dormitori berbeza, jadi anda memerlukan beberapa bas yang mengikuti laluan berbeza untuk membawa para pekerja ke tapak kerja setiap hari. Anda memerlukan ribuan bas untuk ribuan pekerja dan tempat kerja di Singapura - adakah ini yang terbaik?"

Lori-lori juga boleh digunakan di tempat kerja untuk mengangkut bahan-bahan dan peralatan. Ini tidak dapat dilakukan dengan bas, tambah beliau.

Bagaimanapun, Encik Johnny bersetuju bahawa saranan untuk memasang tali pinggang keledar di bahagian belakang lori patut dipertimbangkan kerana ia akan meningkatkan tahap keselamatan.

Beliau dan Encik Loo dari Straits Construction berkata sebarang semakan semula juga perlu meneliti kecekapan pemandu. Had kelajuan sekarang bagi lori adalah 60 kilometer sejam di ekspreswe.

Cik Dipa dari ItsRainingRancoats, yang juga seorang peguam, berkata beliau prihatin tentang sama ada terdapat waktu rehat mencukupi bagi para pemandu lori, lebih-lebih lagi jika mereka adalah pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori. Ini bermakna mereka perlu mula kerja lebih awal untuk mengambil para pekerja dari pelbagai lokasi, kata beliau.

"Bagi mereka, kesilapan hilang tumpuan walaupun buat seketika boleh membawa perbezaan antara hidup dengan mati." 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita