Nahas Chinatown: Pemandu akan didakwa selepas akibatkan kematian kanak-kanak 6 tahun
(Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan kereta di Chinatown, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, akan didakwa pada Rabu (8 Apr).
Pemandu tersebut akan dikenakan dua tuduhan, iaitu memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian dan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Kanak-kanak berusia enam tahun, Sheyna Lashira Smaradiani, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta di sebuah tempat letak kereta terbuka berhampiran Kuil Buddha Tooth Relic pada 6 Februari.
Ibunya, Cik Raisha Anindra Pascasiswi, turut cedera dan dimasukkan ke hospital.
Difahamkan beliau sudah dibenarkan pulang dan kini berada di Indonesia.
Sebelum ini, Mediacorp melaporkan bahawa Sheyna mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas kemalangan.
Jenazahnya dibawa pulang ke Jakarta dan dikebumikan pada 8 Februari.
Menyusuli kejadian itu, kumpulan masyarakat Indonesia di Singapura dan di luar negara mengumpulkan dana untuk keluarga mangsa, manakala Kedutaan Indonesia membantu dalam urusan praktikal seperti penginapan dan bantuan undang-undang.
Keluarga mangsa diwakili oleh peguam daripada Adel Law termasuk Cik Lolita Andrew.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui peguam mereka pada Isnin, keluarga Sheyna mengucapkan terima kasih kepada orang ramai, termasuk orang awam di lokasi kejadian, yang menghulurkan sokongan selepas nahas tersebut.
Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu tanpa perhatian dan pertimbangan sewajarnya ialah penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah akibat memandu tanpa perhatian dan pertimbangan sewajarnya ialah penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah juga boleh dikenakan larangan memandu untuk suatu tempoh masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.