Nahas berantai di terowong KPE, 2 dikejarkan ke hospital

(Gambar: Tangkapan skrin video Singapore Roads Accident/Facebook)
SINGAPURA: Dua orang dikejarkan ke hospital setelah sembilan kenderaan bertembung di terowong Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) pada petang Khamis (27 Okt).
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataannya pada Jumaat (28 Okt), menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan trafik di KPE menghala ke Ekspreswe Tampines (TPE) selepas susur keluar Bartley Road East pada Khamis sekitar pukul 4.45 petang.
Rakaman video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan lapan kereta dan sebuah van berderetan dalam nahas berantai di lorong tengah terowong KPE.
Kebanyakan kenderaan dilihat mengalami kerosakan teruk di bahagian depan dan belakang, dengan trak tunda dilihat menarik keluar sebuah Toyota yang bahagian depannya remuk.
Pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dan SCDF berada di tempat kejadian, menurut video tersebut.
Seorang penumpang wanita, 14 tahun, dan seorang pemandu kereta wanita, 40 tahun, berada dalam keadaan sedarkan diri apabila dibawa ke hospital, menurut polis dalam kenyataannya pada Jumaat (28 Okt).
"Seorang pemandu kereta lelaki, 54 tahun, seorang pemandu kereta wanita, 38 tahun, dan seorang pemandu van, 43 tahun, sedang membantu siasatan polis," tambah SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.