Nahas berangkai Tampines: Pendakwa mohon hukuman penjara hingga 13 tahun 6 bulan
Pihak pendakwa pada Isnin (7 Sep) memohon hukuman penjara sehingga 13 tahun enam bulan terhadap seorang pemandu yang melanggar lampu merah pada kelajuan tinggi sehingga menyebabkan kemalangan berantai di Tampines yang meragut dua nyawa.
Muhammad Syafie Ismail tiba di Mahkamah Negara pada 7 September 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- Muhammad Syafie Bin Ismail, seorang pemandu Singapura, mengaku bersalah menyebabkan kemalangan maut di Tampines pada April 2024 akibat memandu laju dan melanggar lampu merah.
- Pihak pendakwa memohon hukuman penjara sehingga 13 tahun enam bulan dan larangan memandu seumur hidup, manakala peguam bela memohon hukuman lebih ringan.
- Kemalangan tersebut mengorbankan dua nyawa, mencederakan ramai mangsa termasuk kanak-kanak, serta memberi kesan psikologi kepada keluarga mangsa.
- Hakim menangguhkan keputusan hukuman ke bulan Oktober, sementara Syafie menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada mangsa serta keluarga mereka.
Pihak pendakwa dan pembela turut memohon supaya Muhammad Syafie Bin Ismail, seorang warga Singapura berusia 45 tahun, dilarang memandu seumur hidup.
Kebanyakan kenderaan yang terlibat dalam nahas membabitkan beberapa kenderaan pada waktu sibuk pada 22 April 2024 itu dipandu para ibu bapa yang sedang menghantar anak mereka ke sekolah.
Dua mangsa yang maut merupakan seorang pelajar berusia 17 tahun yang sedang dihantar ke sekolah oleh bapanya dan seorang wanita berusia 57 tahun yang berada di bahagian belakang sebuah van.
Syafie mula memandu dengan laju apabila dia memecut sehingga sekurang-kurangnya 122 kilometer sejam untuk memotong seorang lelaki yang sebelum itu melepasinya di Bedok, sehingga keretanya bergesel dengan kereta berkenaan.
Dia kemudiannya keluar masuk lorong di sepanjang Bedok Reservoir Road, nyaris melanggar seorang penunggang motosikal dan terus memecut sehingga tiba di persimpangan Bedok Reservoir Road, Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4.
Lampu isyarat sudah bertukar merah selama sekurang-kurangnya 26 saat apabila Syafie memasuki persimpangan tersebut pada kelajuan antara 129 dengan 134 kilometer sejam, meskipun kenderaan sedang melintasi jalan dari kedua-dua arah.
Dia melanggar tiga buah kenderaan, yang kemudiannya berpusing dan melanggar sebuah van serta bas sekolah.
Tiga mangsa cedera parah, dengan sebahagian daripada mereka memerlukan beberapa pembedahan.
Lima lagi mengalami kecederaan termasuk dua kanak-kanak berusia 11 tahun yang perlu dirawat di hospital.
Sebahagian mangsa mengalami gangguan tekanan pascatrauma selepas kemalangan itu, manakala ibu kepada pelajar berusia 17 tahun tersebut mengalami gangguan kemurungan teruk dan merasakan bahawa hidupnya tidak lagi bermakna.
Syafie pernah melakukan kesalahan trafik sebelum ini, termasuk memandu secara cuai pada April 2022.
Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, kecederaan parah dan kecederaan. Tuduhan-tuduhan lain akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Niranjan Ranjakunalan memohon hukuman penjara antara 12 tahun sembilan bulan dengan 13 tahun enam bulan, dengan mengambil kira dua nyawa yang terkorban, jumlah mangsa yang cedera serta kerosakan harta benda akibat kemalangan berkenaan.
Beliau berkata kos membaiki tiang lampu dan pagar hijau adalah sekitar S$1,317. Menurut pihak pendakwa, nilai “kerosakan teruk” pada lima kenderaan belum ditentukan kerana para mangsa secara berasingan sedang membuat tuntutan insurans terhadap Syafie.
Pihak pendakwa memohon supaya tiga hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut dan pengurangan hukuman kerana mengaku bersalah dihadkan kepada 10 hingga 15 peratus, berbanding 30 peratus.
RAYUAN RINGANKAN HUKUMAN
Peguam bela Kalaithasan Karuppaya memohon hukuman penjara antara tujuh tahun enam bulan dengan lapan tahun, serta larangan memandu seumur hidup.
Dalam rayuannya bagi meringankan hukuman, beliau berkata kemalangan itu merupakan kejadian “luar biasa dan jarang berlaku” yang berpunca daripada keadaan serta rentetan peristiwa yang “luar biasa dan tidak dapat dijangka”.
Namun, Syafie menerima bahawa kejadian tersebut berpunca daripada kesilapan dari segi pertimbangannya serta kegagalannya untuk meneliti keadan dan berhati-hati, kata Encik Kalaithasan.
Beliau berkata Syafie tidak dapat menjangkakan secara munasabah bahawa “keputusannya untuk memandu laju dan meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat masih merah akan mencetuskan kemalangan berantai yang begitu dahsyat sehingga meragut nyawa, menyebabkan penderitaan dan membawa kesedihan mendalam kepada para mangsa serta orang tersayang mereka”.
Encik Kalaithasan berkata “kejadian ini akan meninggalkan kesan kepada dirinya buat sepanjang hayat”.
Beliau berkata Syafie berusaha sedaya upaya untuk membantu siasatan dan memberi kerjasama kepada polis kerana “dibelenggu rasa bersalah”.
Syafie bekerja dalam industri pengilangan teknologi dan menanggung ibu bapa serta anak-anaknya, selain membayar nafkah bulanan kepada bekas isterinya, kata Encik Kalaithasan.
Dia juga pernah berkhidmat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai “guru Al-Quran yang berdedikasi” sejak memperoleh kelayakan pada 2019, tetapi digantung daripada mengajar pada lewat 2024 disebabkan oleh kes mahkamah ini, menurut peguamnya.
Syafie menulis surat kepada para mangsa dan anggota keluarga mereka, dan menyatakan kekesalannya yang mendalam atas kesakitan, kesedihan dan kehilangan yang “disebabkan oleh tragedi ini” kepada mereka.
Beliau memohon maaf dan menyatakan kekesalannya, sambil berkata tragedi itu mengubah kehidupannya selama-lamanya. Beliau turut berikrar untuk “membawa pengajaran daripada tragedi ini” sepanjang hayatnya serta menjalani kehidupan dengan lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan menghormati keselamatan orang lain.
Hakim Daerah Utama Toh Han Li berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan kes tersebut dan menangguhkan hukuman hingga Oktober.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Syafie boleh dipenjara antara dua dengan lapan tahun dan dilarang memandu sehingga 10 tahun.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, dia boleh dipenjara antara satu dengan lima tahun dan dilarang memandu sehingga lapan tahun.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.