Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nadiputra terima anugerah kesusasteraan berprestij ASEAN

Penggiat seni mapan Singapura, Nadiputra, dipilih untuk menerima anugerah kesusasteraan S.E.A. Write Award bagi tahun 2020, umum Majlis Buku Singapura pada Khamis (7 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penggiat seni mapan Singapura, Nadiputra, dipilih untuk menerima anugerah kesusasteraan S.E.A. Write Award bagi tahun 2020, umum Majlis Buku Singapura pada Khamis (7 Okt).

Anugerah berprestij itu mengiktiraf penulis prolifik di ASEAN di mana setiap tahun, negara-negara anggota memilih penulis terbaik di negara masing-masing untuk menerima anugerah tersebut.

Sepanjang lebih 50 tahun, Nadiputra, atau nama sebenar Almahdi Al-Haj Ibrahim, menghasilkan lebih 300 karya merangkumi pelbagai wadah - radio, pentas dan televisyen.

Sebagai penulis sepenuh masa di Singapore Broadcasting Corporation (Perbadanan Penyiaran Singapura, SBC) pada tahun 1980-an, beliau banyak menyumbang skrip untuk penyiaran televisyen.

Sepanjang tempoh itu juga, pengasas teater Melayu itu menghasilkan beberapa naskah pementasan yang mendapat sambutan yang hebat.

Malah, presiden kumpulan seni Sriwana itu juga pernah dianugerahi beberapa pengiktirafan berprestij sebelum ini bagi persembahan teater termasuk Anugerah Pingat Budaya (Drama) pada tahun 1986 dan Anugerah Tun Seri Lanang pada tahun 2013.

Baru-baru ini pula, beliau adalah antara empat penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura 2021 atas usaha dan dedikasinya menggalak serta melestarikan seni dan warisan budaya.

Nadiputra dijangka akan dipersembahkan dengan anugerah S.E.A Write Award itu pada 2022 selepas majlis penyampaian anugerah tahun ini ditangguhkan angkara pandemik COVID-19.

Dengan pencapaian tersebut, beliau bakal menyertai para penulis ternama yang lain di Singapura termasuk Edwin Thumboo, Catherine Lim, Ho Minfong, Isa Kamari dan Suratman Markasan. 

Selain Nadiputra, Simon Tay juga dikurniakan dengan anugerah yang sama pada 2019.

Simon Tay adalah pengerusi Institut Ehwal Antarabangsa Singapura, sebuah badan pemikir tidak berkeuntungan yang menyampaikan analisis dasar dalam ehwal antarabangsa serta isu berkaitan kelestarian alam sekitar.

Di samping memegang jawatan itu sejak tahun 1999, Simon Tay juga menyandang beberapa jawatan awam termasuk Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Novel beliau berjudul 'City of Small Blessings', yang terkenal dengan tema pengasingan dan jati diri, meraih Anugerah Kesusasteraan Singapura 2010.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkilfi turut mengucapkan tahniah kepada Nadiputra atas pengiktirafan itu.

"Beliau banyak menghasilkan karya drama di pentas dan radio dan memartabatkan seni dan budaya di Tampines West.

"Penerima dari Singapura sebelum ini termasuk sasterawan mapan kita seperti Suratman Markasan (1989), Cikgu Muhammad Ariff Ahmad (1993) dan Peter Augustine Goh (2018). Penulis Edwin Thumboo (1979) dan Catherine Lim (1999) juga adalah antara nama-nama masyhur yang diiktiraf anugerah tersebut," kongsi Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, dalam catatan Facebooknya hari ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan