Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nadiputra diiktiraf dengan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai S'pura

Penggiat seni mapan Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Nadiputra terpilih menjadi antara empat penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura 2021.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penggiat seni mapan Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Nadiputra terpilih menjadi antara empat penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura 2021.

Anugerah oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) itu mengiktiraf usaha dan dedikasi mereka dalam menggalak serta melestarikan seni dan warisan budaya masing-masing.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain Nadiputra, tiga lagi penggiat seni dan warisan budaya turut terpilih tahun ini bagi menerima hadiah wang tunai S$5,000.

Mereka juga menerima Geran Projek hingga S$20,000 untuk mempromosikan dan menyebarkan ilmu serta kemahiran mereka.

Mereka adalah:
- Bhaskar's Arts Academy bagi Tarian India
- Siong Leng Musical Association bagi Seni Persembahan Muzik Nanyin
- Cik Tan Poh Choo (generasi kedua pemilik Nanyang Sauce) bagi Pembuatan Kicap

USAH LOKEK BERKONGSI ILMU

Sepanjang lebih lima dekad berkarya, Nadiputra sudah menghasilkan lebih 300 naskhah skrip teater, bangsawan, drama radio dan iklan.

(Gambar: Nadiputra)

(Gambar: Nadiputra)

Selain penulis skrip, beliau juga bergelar seorang pengarah, penerbit dan pelakon.

Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, Nadiputra kini giat membimbing dan berkongsi pengetahuan dengan penggiat seni muda dalam arena bangsawan.

(Gambar: Nadiputra)

(Gambar: Nadiputra)

Ini dilakukan beliau menerusi bengkel-bengkel di sekolah dan kumpulan masyarakat.

"Kalau boleh siapa saja yang terlibat dalam bidang seni ini, baik seni teater, seni bangsawan, kita haruslah berlaku jujur dalam sama-sama memperkasakan bangsawan, tidak kira yang muda atau yang lebih dewasa, satu hati,"

"Usahlah lokek berkongsi ilmu walaupun orang lama mencurahkan ilmu pada orang muda dan orang muda yang ada ilmu teater dari secara ilmiah, sama-samalah kita berganding bahu untuk memperkasakan dunia seni budaya Melayu Singapura," kata Nadiputra, yang juga seorang bapa kepada enam orang anak.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Nadiputra terpilih sebagai penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura 2021 atas usaha beliau dalam meningkatkan kesedaran serta minat dalam seni bangsawan dan kesusasteraan Melayu.

"Saya terperanjat bila kawan saya calonkan untuk dapat anugerah ini kerana selama ini kita berkarya tapi kita tidak pernah terfikir nak buat ini untuk sesuatu anugerah. Sebab kita tak terfikir selama 50 tahun berkecimpung ini, benda-benda macam ini yang rupanya menghidupkan pergerakan teater saya," kata Nadiputra.

TERBITKAN BUKU TENTANG BANGSAWAN BUAT GENERASI AKAN DATANG

Sebelum ini, Nadiputra pernah diiktiraf dengan beberapa anugerah berprestij lain termasuk Pingat Budaya pada 1986 dan Anugerah Tun Seri Lanang - iaitu anugerah persuratan Melayu tertinggi di Singapura pada 2013.

(Gambar: NHB)

(Gambar: Lembaga Warisan Negara)

Penganugerahan oleh NHB ini mencerminkan kepentingan untuk melestarikan warisan budaya tidak ternilai agar dapat terus dinikmati generasi akan datang.

"Saya bakal buat buku tentang bangsawan di Singapura. Mungkin setahun kalau cepat. Sebab banyak kajian yang perlu dibuat. Saya tidak boleh suka-suka saja, agak-agak saja tapi saya rasa fakta yang betul harus diberi untuk panduan, untuk dapat diketahui oleh para pelajar mungkin tentang apa itu bangsawan, bagaimana corak bangsawan dulu dan sekarang, perkembangannya dan apa permasalahan dalam membuat bangsawan oleh generasi hari ini," kata Nadiputra.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pada usia 75 tahun, bapa enam orang anak ini tidak segan untuk mempelajari teknik-teknik penerbitan moden daripada mereka yang lebih muda bagi memberi nafas baru kepada karya-karyanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain menulis buku, Nadiputra juga kini sedang sibuk membuat persiapan bagi dua projek bangsawan yang bakal dipentaskan tahun hadapan bersama-sama kumpulan seni bangawan tempatan Anggerik Temasek Bangsawan.

TIGA PELAPIS SUDAH DIKENALPASTI

Dalam pada itu, Nadiputra turut lega melihat adanya aktivis seni yang beliau rasakan mempunyai potensi besar untuk memperjuangkan seni bangsawan di Singapura.

"Saya rasa yang bakat paling menonjol yang saya dapat lihat pada hari ini ialah saudara Azman Shariff. Seorang pelakon yang begitu serba boleh di TV sekarang. Beliau giat menulis madah misalnya dan jiwa beliau itu memang pada seni penulisan serupa itu. Jadi dengan kemampuan beliau berlakon dan kecenderungan beliau dalam teater-teater tradisional, saya rasa beliau orang yang boleh teruskan menerajui bangsawan masa depan," kata Nadiputra.

Selain Azman Shariff, dua lagi nama yang menarik perhatiannya ialah Penerbit Eksekutif Anggerik Temasek Bangsawan Noor Azhar Mohamed dan penggiat teater serta pengasas Panggung Digital, Saiful Amri.

Nadiputra menambah: "Orang-orang seperti Noor Azhar Mohamed dan Azman Shariff ini harus kita beri sokongan supaya mereka tidak patah semangat, supaya mereka terangsang untuk terus bergiat dalam bidang bangsawan. Walaupun (Saiful Amri) tidak mengarahkan bangsawan tetapi tenaga mengusahakan bangsawan dari segi mengusahakan satu persembahan, terletak pada bahu-bahu orang seperti Saiful Amri. Walaupun beliau tidak berlakon tapi beliau rajin dan kuat berusaha untuk memastikan bahawa seni pementasan bangsawan juga boleh satu ketika maju dan cemerlang."

(Gambar: Saiful Amri Ahmad Elahi)

(Gambar: Saiful Amri)

Nadiputra pernah menjayakan sebuah bangsawan digital arahan Saiful Amri yang bertajuk 'Ratu Sanggilagula' tahun lepas.

CIPTA SEJARAH PENTASKAN BANGSAWAN DI ESPLANADE

Pada 2016, Nadiputra mengukir satu lagi sejarah apabila bangsawan yang ditulisnya, 'Raden Mas' berjaya dipentaskan di Panggung Esplanade.

Ini sekali gus menjadikannya pementasan bangsawan pertama yang dipentaskan di teater berprestij itu.

Dengan set yang lebih gah, ia menelan belanja sekitar S$700,000 dan antara yang termahal buat sesebuah pementasan bangsawan tempatan.

"Itu satu pencapaian besar yang belum nampak dibuat sejauh ini oleh para pendukung bangsawan yang cuba berbelanja besar. Kami dapat menaiktarafkan seni bangsawan itu di panggung Esplanade yang memang sukar untuk teater Melayu menjejak kaki membuat persembahan di situ," kata Nadiputra.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut NHB, majlis penyampaian anugerah akan diadakan lewat tahun ini di mana para penerima akan turut menerima trofi berserta sijil penganugerahan.

NHB mula memberi pengiktirafan menerusi Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura pada tahun lalu.

Antara enam penerima sulung anugerah itu tahun lalu termasuk kumpulan seni persembahan Melayu, Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa