Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nadia Mohd Hamzah terima 'Kot Putih' Duke-NUS; ingin tingkatkan penjagaan kesihatan masyarakat Melayu

Nadia Mohd Hamzah memendam cita-cita untuk menjadi seorang doktor selepas menyaksikan pengorbanan tidak ternilai wira-wira perubatan dalam dokumentari 'Doctors Without Borders'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Nadia Mohd Hamzah memendam cita-cita untuk menjadi seorang doktor selepas menyaksikan pengorbanan tidak ternilai wira-wira perubatan dalam dokumentari 'Doctors Without Borders'.

Bagaimanapun, Nadia tidak memilih bidang perubatan selepas tamat pengajian di Hwa Chong Institution kerana merasakan dirinya belum bersedia.

Sebaliknya, gadis berusia 24 tahun itu memutuskan untuk meneroka bidang kajian sains lalu dengan mengikuti kursus Sarjana Muda Sains (Sains Hayat) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Impian untuk menjadi seorang doktor kembali berputik berkat dorongan neneknya selepas kematian datuk tersayang.

"Nenek tahu saya mahu menjadi doktor. Jadi beliau berkata beliau akan mendoakan untuk saya dan untuk terus bekerja keras. Dari situ, saya rasa, 'okay, ayuh lakukannya!'," kata Nadia.

Sewaktu di NUS, Nadia pernah menjadi relawan di Hospis HCA di mana beliau didedahkan kepada penjagaan paliatif yang meringankan perjalanan akhir pesakit.


(Gambar: Nadia Mohd Hamzah)

Berbekalkan minat serta ijazah dalam bidang sains hayat, Nadia memutuskan untuk meneruskan pengajian di Sekolah Perubatan Duke-NUS, tahun ini.

72 PENUNTUK KOHORT KE-16 JALANI KURIKULUM BARU LEBIH MELUAS

Nadia dalam kalangan 72 mahasiswa tahun pertama kohort ke-16 Duke-NUS yang menerima kot putih di Ngee Ann Kongsi Auditorium di the Academia pada Jumaat (19 Ogos).


(Gambar: Sekolah Perubatan Duke-NUS)

Nadia beruntung kerana kohortnya akan meraih manfaat daripada kurikulum terbaru yang menerapkan "social prescribing" yang mendedahkan pelajar kepada pelbagai keperluan sosial, emosi dan praktikal pesakit selain menyediakan sumber untuk menanganinya dengan sokongan masyarakat

Ini selaras dengan komitmen Kementerian Kesihatan mengutamakan kesihatan penduduk dengan sokongan masyarakat.

"Kurikulum baru yang melibatkan 'social prescribing' akan membantu saya membiasakan diri dengan pemikiran tentang pelbagai penentu sosial kesihatan para pesakit saya pada masa depan. Seterusnya, saya juga akan dapat mengenal pasti jurang pemisah dalam penjagaan kesihatan dan berusaha dari masa ini untuk menambah baik kualiti jagaan kesihatan para pesakit kami," jelas Nadia.


(Nadia Mohd Hamzah bersama Naib Dekan, Pendidikan, Sekolah Perubatan Duke-NUS, Profesor Ian Curran, Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut Duke-NUS, kurikulum terbaru itu dibangunkan berdasarkan keprihatinan yang semakin meningkat dalam penjagaan kesihatan para penduduk.

Ia berlandaskan prinsip 'mencegah lebih baik dari mengubat'.

Naib Dekan, Pendidikan, Profesor Ian Curran berkata: "Salah satu misi kunci sekolah ini adalah untuk melatih Saintis Klinisian dan doktor yang mahir dalam bidang kajian dan boleh menonjolkan kemajuan terkini dan kontemporari dalam sains perubatan asas ke dalam amalan klinikal."

Beliau menambah, para pelajar akan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran seperti bimbingan kesihatan, 'social prescribing' dan pengertian mendalam tentang kesihatan penduduk.

"Ini supaya mereka boleh membimbing, memberi nasihat dan membantu pesakit memilih pelbagai pilihan yang tersedia untuk mereka," tambah Profesor Curran.

MAHU DALAMI BIDANG JAGAAN PALIATIF, NEUROLOGI DAN PEMBEDAHAN DI DUKE-NUS

Walaupun perlu melalui masa yang lebih lama untuk mengejar impiannya sebagai doktor, Nadia bersyukur di atas sokongan keluarga dan teman-teman.


(Gambar: Nadia Mohd Hamzah)

"Bagi saya, ia juga satu peringatan dan sambutan perjalanan yang telah saya lakukan. Saya berharap untuk menjadi lebih proaktif dalam mencari peluang-peluang untuk meningkatkan kualiti penjagaan para pesakit saya terutamanya dalam masyarakat Melayu," ujar Nadia.

Nadia berharap untuk mendalami tiga bidang yang diminati iaitu penjagaan paliatif, neurologi dan pembedahan sepanjang pengajiannya di Duke-NUS.

Bagi kohort baru ini, para penuntut dijangka tamat pengajian mereka pada 2026.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan