Skip to main content

Singapura

Nadhirah Amran terus rebut peluang meski hadapi cabaran sebagai atlit angkat berat berhijab

Anggaran Waktu Membaca:
Nadhirah Amran terus rebut peluang meski hadapi cabaran sebagai atlit angkat berat berhijab

Gambar: Nadhirah Amran

BERITAmediacorp: Mewakili Singapura dalam sukan angkat berat di pentas dunia tentu sekali banyak cabarannya, terutama sekali sebagai seorang atlit yang berhijab.

Disebabkan piawaian pakaian yang ditetapkan pihak penganjur pertandingan itu, Nur Nadhirah Amran dikehendaki mendedahkan beberapa bahagian tertentu kulitnya semasa beraksi.

Namun ini tidak sekali-kali mematahkan semangat Cik Nadhirah daripada membuat kemunculan sulung di Kejuaraan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia 2023 baru-baru ini pada Jun lalu.
Malah, beliau berharap penampilannya itu dapat membuka laluan untuk atlit-atlit berhijab sepertinya bersaing dengan selesa kelak.

Atlit angkat berat berusia 26 tahun itu, berjaya menduduki tempat ke-12 bagi kategori wanita terbuka dengan berat badan 84 kilogram ke atas.
Related article image
Gambar: Nadhirah Amran
Beliau merupakan antara dua atlit Melayu yang mewakili Singapura di sukan temasya tersebut. Seorang lagi, ialah pemegang rekod dunia Farhanna Farid.
Kejuaran tersebut menyaksikan penyertaan lebih 400 atlit dari 65 buah negara, yang berlangsung di Malta.

Kejayaan Cik Nadhirah, yang sudah menceburi sukan tersebut sejak 5 tahun lalu semasa menuntut di universiti, semestinya tidak datang bergolek.

GAGAHKAN DIRI ATASI CABARAN PERSIAPAN BAGI KEMUNCULAN SULUNG

Tempoh persiapan beliau menjelang kejohanan tersebut bertepatan dengan bulan Ramadan.

"Ini membuatkan ia lagi mencabar kerana saya rasa seperti saya tidak mempunyai tenaga untuk berlatih (disebabkan defisit kalori). Saya perlu berlatih pada waktu malam selepas sehari di tempat kerja sekitar 9.00 malam hingga 12.00 pagi dan perlu bangun awal keesokan hari untuk sahur," cerita Cik Nadhirah kepada BERITAmediacorp.
Related article image
Gambar: Nadhirah Amran
Cik Nadhirah mengakui berasa sangat lesu pada kebanyakan hari menjelang kejohanan tersebut dalam mengimbangi tuntutan pekerjaan sepenuh masa dan jadual latihan. Sungguhpun demikian, pekerjaannya sebagai ahli fisioterapi, yang seringkali memberinya kepuasan hati sedikit sebanyak membantu beliau mengharungi liku-liku perjalanannya sebagai atlit angkat berat negara, memandangkan ia tidak terasa seperti rutin harian semata-mata.

TERPAKSA AKUR DEDAH BAHAGIAN TULANG KERING

Sebelum giliran beliau untuk beraksi di kejohanan tersebut, Cik Nadhirah mengambil langkah-langkah untuk berkongsi rintangan yang dihadapinya khususnya sebagai atlit angkat berat berhijab di media sosial.
Ini memandangkan kejohanan tersebut disiarkan secara langsung di beberapa saluran media antarabangsa, seperti Eurosport.

Di dalam video yang dimuat naik itu, Cik Nadhirah meminta pengikut beliau supaya menapis gambar atau video beliau sedang beraksi, jika mereka ingin merakamnya. Ini terutama sekali sekiranya bahagian kulit yang terdedah itu kelihatan. Antara bahagian kulit yang perlu didedahkan demi mematuhi piawaian pertandingan tersebut adalah bahagian di antara lutut dan paras stokinnya, iaitu bahagian tulang kering.

"Saya harap sedang sukan ini kian berkembang dan menjadi popular, atlit-atlit berhijab seperti saya yang amat meminati sukan ini dapat mengambil bahagian di pentas dunia, di samping menegakkan kepercayaan kami," luah Cik Nadhirah dalam catatannya di media sosial itu.

PENAMPILAN SULUNG DI PENTAS DUNIA JADI BATU LONCATAN

Ditanya tentang perasaan beliau mengenai prestasi yang dicatat semasa kemunculan pertamanya, Cik Nadhirah berkata: "Saya rasa seperti semua usaha saya berlatih sepanjang lima tahun yang lalu diiktiraf. Saya seperti tidak percaya yang saya dapat bersaing di pentas yang sama dengan atlit berkelas dunia. Saya berasa bangga dengan diri saya kerana dapat mewakili Singapura sebagai atlit wanita berhijab.”
Related article image
Gambar: Nadhirah Amran
Cik Nadhirah berharap penampilan sulungnya di pentas dunia itu menjadi batu loncatan dalam perjalanannya sebagai atlit angkat berat negara. Berbekalkan semangat yang membara, beliau berhasrat untuk terus merebut peluang bersaing di lebih banyak pertandingan tempatan mahupun antarabangsa.

Malah, beliau sedang giat melakukan persiapan untuk pertandingan seterusnya, ‘Nasional Terbuka Singapura’, yang akan menyaksikan pelibatan atlit-atlit dari luar negara. Ia akan berlangsung pada Ogos nanti di D'Marquee @ Downtown East.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita