NAC tawar lebih banyak ruang bagi 'busker' buat persembahan
SINGAPURA: Selepas sehari bertugas sebagai juruvideo, Encik Huzaimi Lim, 36 tahun 'berubah kerjaya' pada sebelah malam pula.
Itulah rutin beliau sejak bergiat sebagai seorang 'busker' atau seniman jalanan sejak dua tahun lalu
Hampir tiga kali seminggu, beliau menghiburkan orang ramai dengan nyanyian lagu-lagu pelbagai genre, daripada era 80-an hingga ke hari ini.
Selain minat pada muzik, beliau terdorong menjadi 'busker' kerana ingin menjadi inspirasi buat para penggiat seni yang lain di samping berkongsi lagu-lagu nostalgia kepada generasi baru.
"Semakin masa berlalu generasi sekarang, ramai orang sudah lupa artis-artis 80-an dan 90-an. Banyak lagu-lagu pada masa dahulu mempunyai lirik sangat bermakna. Jadi menerusi 'busking' saya cuba untuk berkongsi semua lagu-lagu yang 'hilang' ini yang orang tidak pernah dengar," kata Encik Huzaimi kepada Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain di Taman East Coast, antara lokasi pilihannya untuk membuat persembahan termasuk Marina Bay Sands, dan Downtown East kerana jumlah pengunjungnya yang ramai.
Selain itu, beliau turut melakukan penstriman secara langsung di wadah online seperti Instagram dan BIGO LIVE yang berjaya menarik ratusan penonton tempatan dan serantau.
"Kadang-kadang pengikut Huzaimi tidak boleh datang untuk persembahan saya. Jadi kalau saya buka 'LIVE', mereka boleh bersantai di rumah, mereka boleh tonton saya dalam telefon bimbit atau televisyen. Jadi Huzaimi beri kemudahan untuk mereka cari saya," kata beliau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sebagai adat menghargai sesebuah persembahan, orang ramai digalakkan membuat sumbangan kewangan.
"Saya tidak meminta derma atau sedekah. Kalau orang ramai terhibur dengan persembahan saya, kalau mereka hendak memberikan sebarang derma, itu terpulang kepada mereka. Kalau ada, ada. Kalau tidak ada, tidak mengapa," jelasnya, yang merupakan anak kedua dua beradik.
Menurutnya, wang yang diterima juga didermakan kepada orang lain yang lebih memerlukan atau diserahkan kepada ibu bapanya.
CUACA ANTARA CABARAN UTAMA
Kerjaya sebagai penghibur jalanan juga tidak kurang mencabar.
Selain keadaan cuaca yang tidak menentu, para penghibur jalanan ada kalanya juga diganggu para individu yang tidak dikenali.
"Pernah satu kali tu semasa saya tengah 'busking' mereka berdiri dekat sangat dengan saya dan hendak memainkan alat-alat muzik saya dan sebagainya. Itu menyusahkan saya. Ia juga sangat mengganggu," kongsi beliau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Majlis Seni Kebangsaan (NAC), keselamatan para penghibur jalanan dan orang ramai sentiasa diberi keutamaan.
"Para 'busker' sentiasa digalakkan untuk peka dengan sekitaran mereka dan memastikan yang mereka dan juga penonton selamat. Para penghibur boleh memilih slot-slot lain yang mempunyai tempat berteduh. Jadi kami mempunyai rangkaian ruang yang berteduh dan tidak berteduh dan mereka boleh bergerak antara satu sama lain dengan mudah," kata Pengarah, Akses dan Pendampingan Masyarakat, NAC, Cik Aruna Johnson.
(Gambar: Syawal Yusoff)
NAC TAMBAH 10 RUANG PERSEMBAHAN
Sejak bulan ini, para penghibur jalanan yang berdaftar dengan NAC boleh memanfaatkan lagi 10 ruang baharu di pelbagai lokasi.
Ia adalah sebahagian usaha untuk menyemarakkan lagi suasana sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah.
"Kami gembira kerana mempunyai 80 ruang di merata negara, di kawasan pusat bandar dan kawasan perumahan juga. Persembahan yang lebih besar yang memerlukan ruang lebih besar boleh memanfaatkan dua lokasi baru di sepanjang Sungai Singapura yang bersemangat dan sibuk. Namun tugas kami diteruskan dan kami akan membawa lebih banyak lokasi baru dengan kerjasama dengan Jawatankuasa Perundingan Busking," tambah Cik Johnson.
Ini dialu-alukan Encik Huzaimi kerana akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk membuat persembahan.
"Lokasi yang saya selalu pergi selalunya di MBS, Downtown East kerana ramai orang yang berada di situ. Lokasi yang saya rasakan bagus untuk saya, tiak semestinya bagus untuk orang lain," kata beliau.
NAC juga kerap mengambil berat maklum balas yang diterima daripada masyarakat 'busking'.
Jawatankuasa Perunding Penghibur Jalanan yang mempunyai sekitar 15 anggota ditubuhkan pada Julai 2023.
"Kami berbesar hati dengan semua maklum balas yang kami terima melalui ekosistem (penghibur jalanan). Mereka akan melihat bagaimana untuk memastikan pengalaman 'busking' yang lebih baik kepada penghibur baharu, yang ingin menjadi 'busker' malah juga yang veteran, menambah baik proses uji bakat serta keadaan di ruang persembahan," ujar Cik Johnson.
Menurut NAC, mutu para penghibur yang menjalani uji bakat semakin meningkat.
Pada masa ini terdapat kira-kira 300 penghibur jalanan yang berdaftar termasuk penyanyi, pemuzik, pelakon teater jalanan dan aksi sarkas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.