NAC perluas program pendidikan seni ke semua prasekolah jelang 2027; kumpulan seni pertingkat tawaran
Majlis Seni Kebangsaan (NAC) merancang untuk memperluas Program Pendidikan Seni (AEP) bagi merangkumi semua prasekolah menjelang 2027.
Kanak-kanak prasekolah menghadiri kelas wayang kulit yang dikendalikan oleh kumpulan seni persembahan, Sri Warisan. (Gambar: Mediacorp)
Buat masa ini, AEP memberi manfaat kepada lebih 500 prasekolah yang menerima bantuan pemerintah.
Ia menawarkan kira-kira 1,400 program yang dikendalikan 300 penggiat dan kumpulan seni, disokong oleh sekitar 2,000 pendidik seni berdaftar.
Sebilangan kumpulan seni di bawah AEP menyaksikan permintaan meningkat tiga kali ganda bagi khidmatnya sejak berakhirnya pandemik COVID-19.
KUMPULAN SENI JALIN KERJASAMA DENGAN SEKOLAH
Salah satu kumpulan yang menyaksikan lebih banyak permintaan ialah Sri Warisan, syarikat seni persembahan yang ditubuhkan pada 1997.
Syarikat tersebut mengajar seni wayang kulit kepada kanak-kanak prasekolah di bawah AEP.
Kumpulan itu menggunakan patung wayang kulit khas yang ringan dan lebih berwarna-warni.
Pendekatan tersebut bertujuan untuk menarik minat kanak-kanak dan menjadikan seni wayang kulit lebih mudah diakses.
Pengarah urusan syarikat berkenaan, Encik Adel Ahmad, berkata kaedah mengajar wayang kulit bagi kumpulan itu membolehkan kanak-kanak mempelajari nilai budaya melalui seni tersebut.
Beliau menegaskan bahawa AEP turut membantu dalam memelihara budaya dan tradisi Melayu tradisional.
Para pendidik juga menekankan nilai pembelajaran secara langsung kepada kanak-kanak.
"Ia memberi manfaat kepada pembelajaran kanak-kanak di luar bilik darjah, dan mereka dapat memperluaskan pengetahuan secara lebih kreatif,” kata pengurus pusat Happy Town Childcare, Cik Suriani Ahmad Bakri, yang mengambil khidmat Sri Warisan untuk mengadakan kelas bagi para pelajarnya.
Syarikat itu sudah berkembang daripada hanya bekerjasama dengan 10 prasekolah pada 2019, sebelum pandemik, kepada menerima tempahan daripada 38 prasekolah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Namun demikian, hal tersebut turut menimbulkan cabaran dalam mengambil pendidik seni yang terlatih, kata Encik Adel.
Selain menambah kakitangan sepenuh masa kepada 13 orang, beliau juga mengambil seramai 30 pekerja sambilan, termasuk 22 bekas ahli kumpulan seni itu.
Lapan lagi merupakan pekerja bebas seperti pemuzik atau jurulatih tarian yang disarankan tenaga pengajar sedia ada.
Beliau menambah bahawa Sri Warisan juga bercadang untuk menawarkan lebih banyak program seperti tarian serantau sebagai sebahagian daripada AEP.
Satu lagi rakan AEP yang bermatlamat untuk memperkenalkan seni persembahan kepada kanak-kanak prasekolah ialah Muse Arts.
Kumpulan itu menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak 20 peratus sejak 2022 dan sudah menggandakan tawarannya bagi program tarian, muzik dan teater muzikal, menurut pengasas kumpulan tersebut, Cik Jacintha Tan.
Beliau turut menambah bahawa program kumpulan itu disesuaikan dengan tema sekolah seperti “Ibu bapa saya ialah adiwira saya” atau “Bersikap jujur antara satu sama lain”.
Pertubuhan itu juga menganjurkan bengkel bagi pendidik yang memerlukan sokongan untuk mengajar muzik, tarian atau drama.
Cik Tan turut berkata bahawa kakitangan prasekolah perlu menjalani latihan pendidikan awal kanak-kanak sekurang-kurangnya selama tiga bulan bagi memastikan kecekapan dalam pengurusan kelas ketika mengendalikan pengajaran.
MELATIH PARA PENDIDIK
Dengan peluasan AEP, NAC menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan mutu program pembelajaran yang dikendalikan oleh penggiat seni.
Ini termasuk meningkatkan kemahiran mengajar pendidik seni melalui kerjasama dengan pakar pendidikan awal kanak-kanak.
Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Tenaga Manusia di Kumpulan Ekosistem Seni NAC, Cik May Tan, berkata penggiat seni memainkan peranan penting sebagai pendidik.
“Pendidik seni … penting dalam membentuk kemahiran hidup seperti pemikiran kritikal, kreativiti dan pembelajaran sosial-emosi,” katanya.
Naib Canselor Universiti Seni Singapura, Profesor Kwok Kian Woon, pula berkata bahawa pendidikan seni sedang berkembang dan berubah-ubah.
Beliau menyatakan bahawa semakin ramai golongan muda yang didedahkan kepada seni, dan ini berkemungkinan mendorong mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bagi menjadi penggiat seni dan pendidik.
“Pengalaman pertama mungkin membuat pelajar berasa lebih ingin tahu. Mereka juga mungkin menantikan pengalaman seterusnya,” kata Prof Kwok.
“Saya fikir ini adalah pendedahan yang sangat baik, yang dapat membimbing pelajar sepanjang hidup mereka, untuk menghargai, mempelajari … dan menjadi lebih ekspresif,” tambahnya.
Tinjauan penduduk 2023 oleh NAC berhubung seni juga menunjukkan bahawa individu yang didedahkan kepada seni pada usia muda cenderung untuk terus melibatkan diri dalam bidang tersebut apabila mereka menginjak dewasa.
Cik Tan berkata: “Apabila lebih ramai orang menyertai seni, mereka akan melihat nilai seni. Mereka menghargai seni tempatan, dan justeru itu … mengukuhkan ekosistem seni dengan mewujudkan permintaan yang lebih besar terhadap seni yang dihasilkan oleh penggiat seni kita.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.