Skip to main content

Singapura

Nabillah Jalal mahu perkasa pelajar kurang bernasib baik menerusi program bimbingan muzik

Anggaran Waktu Membaca:
Nabillah Jalal mahu perkasa pelajar kurang bernasib baik menerusi program bimbingan muzik

Gambar: Nabillah Jalal

Diterbitkan : 18 Jan 2025 10:39PM Dikemas Kini : 18 Jan 2025 10:41PM
SINGAPURA: Selama satu setengah tahun, alunan merdu muzik gamelan kedengaran di Balai Rakyat Pasir Ris East setiap Sabtu.

Setiap dua minggu sekali, pelajar lelaki dalam lingkungan usia lapan hingga 16 tahun berhimpun untuk mengikuti kelas gamelan, mempelajari selok-belok memainkan alat muzik gong ageng, bonang dan saron.

Pelajar-pelajar muda tersebut adalah daripada Rumah Kebajikan Muhammadiyah, sebuah tempat perlindungan bukan meraih untung bagi kanak-kanak lelaki dari latar belakang yang didera dan kurang bernasib baik.

Mereka diajar oleh beberapa pemuzik daripada Djoko Mangkrengg, sebuah kumpulan seni persembahan tempatan yang mempunyai kepakaran dalam gamelan.

Kerjasama itu ditubuhkan oleh ArtSee, sebuah program bimbingan muzik dan masyarakat yang diasaskan bersama oleh Cik Nabillah Jalal.

Cik Nabillah mengendalikan NJ Studio, sebuah sekolah piano, tetapi melihat ArtSee sebagai "ikigai" beliau, yang merujuk kepada konsep Jepun tentang usaha yang membawa nilai, kegembiraan dan tujuan.

Beliau mengasaskan bersama program bimbingan bukan mengaut untung itu bersama suaminya Ahmad Fakhruddin dan rakannya Cindy Chia, dengan menggabungkan rasa cintanya terhadap muzik dengan semangatnya untuk memperkasa mereka dalam masyarakat.

"Sepanjang zaman belia saya, saya sentiasa disokong oleh keluarga dan masyarakat secara meluas untuk mengejar impian saya dalam bidang muzik," ujar wanita berusia 32 tahun itu. "Jadi adalah wajar saya menyumbang kembali."

DISIPLIN BERLATIH PIANO

Cik Nabillah mula mengambil kelas piano ketika berusia empat tahun, dan ibunya menekankan kepentingan latihan yang konsisten.
Related article image
Nabillah (kiri) bersama abangnya (dua dari kanan) serta kedua-dua ibu bapa mereka. (Gambar: Nabillah Jalal)
"Ibu saya adalah seorang ibu yang tegas," kata Nabillah kepada Mediacorp.

"Selama bertahun-tahun, beliau membawa saya ke kelas piano di Yamaha Music School setiap minggu."

Pada usia lapan tahun, latihan piano telah menjadi tabiat harian Cik Nabillah, dan beliau mendapati betapa beliau menikmati bermain alat muzik itu.

"Ia membantu kerana saya suka anime bertemakan muzik seperti Nodame Cantabile. Saya rasa hebat kerana saya boleh bermain piano seperti watak-watak dalam cerita itu dan saya mengenali muzik dalam cerita tersebut," katanya.

Kadangkala, beliau berlatih selama enam hingga lapan jam.

"Ia sangat intensif, tetapi saya terus mendengar suara ibu saya memberitahu saya, 'berhenti bukan satu pilihan'."

Abangnya, yang 10 tahun lebih tua daripadanya, akan duduk di sebelahnya di bangku piano dengan rotan di tangannya.

Beliau seolah-olah bertindak sebagai wakil ibu mereka dan Cik Rosy Tan, guru pianonya di Sekolah Muzik Yamaha - sekiranya beliau menunjukkan sebarang tanda-tanda bersikap malas.

"Saya kadang-kadang berasa takut, tetapi apabila melihat kembali, ia adalah sesuatu yang masih kami ketawakan hari ini," kata Cik Nabillah.

"Hari-hari itu menekankan peri pentingnya latihan dan komitmen ke dalam diri saya, dan ia menunjukkan betapa pentingnya keluarga dan guru saya dalam perjalanan muzik saya."

Disiplinnya ternyata membuahkan hasil. Apabila beliau menuntut di maktab rendah, beliau secara serentak belajar untuk peperiksaan Peringkat 'A' dan berusaha ke arah diploma dalam persembahan piano dari Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM).
Related article image
Gambar: Nabillah Jalal
Beliau juga memikirkan betul-betul tentang apa yang ingin dipelajarinya setelah tamat pengajiannya di maktab rendah.

"Suatu hari semasa saya berkongsi apa yang saya lalui, Cik Tan bertanya kepada saya, 'Nabillah, kenapa kamu tidak meneruskan piano? Kamu mempunyai bakat yang hebat, kenapa tidak kamu sasarkan tinggi dan menghadiri sekolah muzik di luar negara?'" imbas beliau.

"Saya terkejut. Kemungkinan itu tidak pernah terlintas di fikiran saya - semua rakan saya akan ke universiti tempatan, siapa sangka saya boleh belajar muzik di luar negara?

"Tetapi Cik Tan benar-benar percaya pada bakat saya dan keyakinannya terhadap saya membuatkan saya mula percaya pada diri sendiri juga. Kata-katanya mengubah hidup saya."

REALISASIKAN IMPIANNYA DENGAN SOKONGAN MASYARAKAT

Cik Nabillah mula menetapkan matlamatnya dengan serius, untuk belajar muzik di luar negara.

"Melanjutkan pengajian dalam muzik bukanlah sesuatu yang murah, dan bahkan, sekadar menghadiri uji bakat untuk sekolah muzik sudahpun memerlukan wang," katanya.

"Selepas peperiksaan Peringkat 'A' dan menamatkan diploma ABRSM saya, saya terpaksa mengambil cuti selama setahun semata-mata untuk memberi tumpuan yang lebih kepada uji bakat dan menyimpan wang."
Related article image
Gambar: Nabillah Jalal
"Saya masih ingat saya rasa sangat keseorangan," luahnya.

"Semua rakan saya sudah memulakan waktu mereka di universiti tempatan. Namun, saya sedang bergelut antara kerja-kerja sambilan, berlatih untuk uji bakat, menyimpan wang untuk menghantar pita uji bakat saya ke sekolah-sekolah dan memohon bantuan kewangan bagi yuran sekolah."

Apa yang membuatkan beliau terus melangkah ke hadapan merupakan kepercayaan gurunya terhadapnya, sokongan abangnya dan pesanan ibu bapanya untuk bertahan.

Selepas beberapa uji bakat, gadis berusia 19 tahun ketika itu ditawarkan tempat di Royal College of Music (RCM) yang berprestij di London untuk mengikuti ijazah sarjana muda selama empat tahun dalam persembahan piano pada tahun 2012.

Beliau berasa gembira tetapi juga khuatir tentang bagaimana beliau akan membayar yuran sekolahnya dan menguruskan kos sara hidup yang tinggi di London.

Untuk mendapatkan bantuan kewangan, Cik Nabillah menghubungi pertubuhan-pertubuhan untuk menaja pengajiannya dan memohon biasiswa serta dermasiswa.

Rakan-rakan dan keluarga turut memberi sokongan, dengan menderma wang tunai dan membantunya dengan permohonannya.

Pada tahun itu, Cik Nabillah menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong (yang kini dipanggil Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI), yang menyokong belia muslim yang cemerlang dalam bidang di luar akademik.

Walaupun anugerah itu hanya meliputi yuran tahun pertamanya di RCM, ia membuka pintu kepada sokongan selanjutnya. Kelab Masyarakat Bukit Timah dan badan amal Trailblazer Foundation tampil untuk menaja pendidikannya, manakala 'alma mater' beliau, Maktab Rendah Nanyang, menganjurkan konsert pengumpulan dana untuk membantu menampung perbelanjaannya di London.

"Pengalaman itu sekali lagi membuatkan saya sedar betapa banyak sumbangan masyarakat dalam membantu saya, yang hanya merupakan seorang gadis dengan impian besar," ujarnya.

PELUANG UNTUK GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK TERIMA AKSES KEPADA MUZIK

"Apa sahaja yang saya capai ini mustahil tanpa (sokongan) masyarakat, jadi saya tahu saya perlu menyumbang kembali," kata Cik Nabillah. "Saya rasa ada rasa tanggungjawab untuk menggunakan bakat saya untuk membantu orang lain dan menyokong mereka dalam mencapai impian mereka."

Beliau melakukan demikian dengan membuat persembahan di acara-acara masyarakat, termasuk Jamuan Makan Malam Dana Amanah Pendidikan Mendaki 2017, iaitu sebuah gala pengumpulan dana yang mengumpul lebih S$500,000 untuk keluarga kurang bernasib baik.

Beliau juga ingin membantu meningkatkan akses masyarakat kepada muzik.

"Di RCM, saya membantu dalam program yang dipanggil The Brent Enrichment Project, yang melibatkan belia dari kumpulan kurang bernasib baik di daerah-daerah London," kata Cik Nabillah.

"Selama beberapa jam setiap dua minggu, saya akan mengajar mereka kemahiran muzik dan cara bermain piano.

"Menjadi sebahagian daripada program itu mengingatkan saya betapa beruntungnya saya sebagai seorang muslim yang boleh mengejar minatnya dalam muzik klasik dan persembahan piano.

"Mengajar belia itu muzik menyeronokkan dan memuaskan, dan ia menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa bakat yang Tuhan berikan kepada saya mesti dikongsi dengan orang lain dengan cara yang terbaik."

Pengalamannya secara tidak langsung membakar semangat Cik Nabillah untuk terus bekerjasama dengan belia dari latar belakang yang kurang bernasib baik.

Pada 2018, dua tahun selepas menamatkan pengajiannya di RCM, Cik Nabillah melancarkan inisiatif perintis bagi ArtSee.

"Memulakan ArtSee terasa seperti sesuatu yang semula jadi tentang apa yang saya mahu lakukan dan di mana saya mahu berada," katanya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita