Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muzium Yahudi S'pura dilancarkan, rakam 200 tahun sejarah masyarakat Yahudi di sini

Sebuah muzium yang merakam 200 tahun sejarah masyarakat Yahudi, yang menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, dilancarkan Menteri Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (2 Disember). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah muzium yang merakam 200 tahun sejarah masyarakat Yahudi, yang menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, dilancarkan Menteri Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (2 Disember).

Muzium 'Jews of Singapore', yang terletak di Sinagog Maghain Aboth di kawasan Bras Basah, adalah yang pertama seumpamanya di sini dan menjadi sumber untuk pelbagai agama di Singapura mengenali lebih mendalam tentang masyarakat dan agama Yahudi.

Antara lain, pameran Jews of Singapore itu membawa para pengunjung menyusuri rentetan peristiwa ketibaan masyarakat Yahudi, kebanyakannya dari Baghdad, Iraq, ke Singapura seawal tahun 1820-an.

Para pengunjung juga boleh mengenali dengan lebih dekat perayaan, kebudayaan serta agama kaum minoriti Yahudi Singapura yang mungkin kurang diketahui masyarakat umum.

"Apabila kita bercakap tentang agama dari salasilah Nabi Ibrahim, saya fikir selalunya kita beri tumpuan kepada perbezaannya. Kita tidak melihat persamaan antara agama Yahudi, Kristian dan Islam.

"Saya rasa ideanya adalah untuk menyatukan orang ramai. Muzium ini adalah tentang menyatukan orang ramai, membolehkan mereka belajar tentang satu sama lain, untuk mempelajari apakah maknanya menjadi seorang Yahudi," kata Ketua Rabai Yahudi Singapura, Rabai Mordechai Abergel.

Rabai Mordechai mahu menjadikan muzium tersebut sebagai tempat mencari jawapan itu sama seperti bagaimana masyarakat Yahudi katanya juga harus menimba pengetahuan tentang agama-agama lain di Singapura.

RABAI MORDECHAI: SIKAP ANTI-YAHUDI TIDAK WUJUD DI SINGAPURA

Di Singapura, banyak sumbangan dari tokoh-tokoh Yahudi kepada negara. Misalnya, suatu ketika dahulu Ketua Menteri Singapura antara tahun 1955 hingga 1956 adalah orang Yahudi, iaitu David Marshall.

Banyak nama jalan seperti Elias Road, Frankel Avenue dan Meyer Road juga sebenarnya dinamakan berdasarkan tokoh-tokoh Yahudi tempatan. Begitu juga dengan Jacob Ballas Children's Garden dan Ellison Building.

Rabai Mordechai turut menambah bahawa berlainan dengan negara-negara lain, sejarah menunjukkan sikap anti-Yahudi umumnya tidak wujud di Singapura, lantas membolehkan anggota masyarakat Yahudi berhijrah ke sini dan terus membuat sumbangan kepada pembangunan negara.

"Jadi apabila orang Yahudi tiba di Singapura mereka secara serta-merta dapat berintegrasi. Mereka bukan sahaja diterima, mereka diserap ke dalam masyarakat dan ini membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura.

"Saya rasa ini adalah peranan yang unik, tempat yang unik bagi kaum Yahudi jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain di dunia," kata Rabai Mordechai.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-undang berkata pemahaman antara masyarakat berbeza adalah sebabnya penduduknya dapat menikmati keharmonian kaum dan agama di Singapura.

"Di sepanjang jalan yang sama, jika anda ke South Bridge Road, anda akan melihat sebuah masjid, anda akan melihat kuil dan kemudian kuil Cina. Beberapa minit kemudian, anda akan melihat saumaah (synagogue), gereja dan orang ramai masuk dan keluar dari tempat-tempat keagamaan ini tanpa menghiraukan apa-apa.

"Itulah keindahan Singapura. Orang ramai tidak takut pada keganasan, mereka rasa selamat, mereka rasa terjaga. Kebebasan beragama dijamin. Ia adalah sesuatu yang berharga yang kita harus bekerja keras untuk mengekalkannya," kata Encik Shanmugam semasa berucap di perasmian muzium tersebut.

Muzium turut menampilkan sebilangan barangan peribadi milik tokoh-tokoh Yahudi yang terkenal di Singapura.

Ia turut menempatkan The Jacob Ballas Memorial Room sebagai memperingati legasi tokoh Yahudi terkenal di Singapura Jacob Ballas yang juga merupakan pengerusi pertama bagi bursa saham di Singapura dan Malaysia.

Antara fakta menarik - tokoh Yahudi terkenal, Albert Einstein pernah berada di Singapura seminggu sebelum beliau menang Anugerah Nobel bagi Fizik sekitar 100 tahun lalu.

Pameran tetap yang terletak di Jacob Ballas Centre dibuka secara percuma kepada semua. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan