Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muzium Negara lancar pameran baru kaji kesan Perang Dunia II kepada rakyat S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahun ini genap 80 tahun peristiwa jatuhnya Singapura ke tangan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan bagi memperingatinya Muzium Negara Singapura (NMS) akan melancarkan sebuah pameran.

Dipanggil 'Dislokasi: Memori dan Erti Tewasnya Singapura, 1942', pameran ini adalah yang pertama seumpamanya yang meneroka dan mengkaji kesan Perang Dunia II kepada generasi Singapura dahulu hingga ke generasi hari ini.

Menariknya bagi pameran ini juga, ia memaparkan garis masa yang lebih panjang. 

(Gambar: Muzium Negara Singapura)

Bukan sahaja naratif semasa Perang Dunia II berlaku, malah peristiwa-peristiwa dan persediaan sebelum perang itu bermula, serta kesannya selepas Perang Dunia II berakhir, ditonjolkan. 

"Kita memaparkan kisah-kisah yang mungkin kurang dikenali ramai berkaitan dengan Perang Dunia II di Singapura," kongsi Penolong Kurator NMS, Syafiqah Jaaffar.

"Ini termasuk kisah-kisah tentang evakuasi oleh orang awam dan juga warga-warga tempatan yang ikut serta dalam pertempuran itu."

LEBIH 200 KOLEKSI ARTIFAK PERIBADI MANGSA 'SOOK CHING' DIPAMER

(Gambar: BERITAmediacorp/Rabbiatul Adawiyah)

Pameran ini dibahagikan kepada tujuh zon dan antara yang dipamerkan buat pertama kalinya ialah koleksi terbesar lebih 200 artifak peribadi mangsa operasi pembunuhan beramai-ramai 'Sook Ching' oleh tentera Jepun. 

Rekod-rekod sejarah menunjukkan bahawa dianggarkan antara 5,000 hingga 25,000 penduduk Cina tempatan berusia antara 18 hingga 50 tahun menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai itu.

Antara tapak pengebumian 'Sook Ching' terletak di Jalan Puay Poon di Singapura. 

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Artifak-artifak yang ditonjolkan dalam pameran NMS itu termasuklah jam tangan, sikat rambut serta cawan-cawan lama, yang dipercayai milik mangsa.

Selain itu, kelongsong peluru juga dipamerkan dan ini dipercayai digunakan semasa pembunuhan beramai-ramai 'Sook Ching' pada 1942.

"Ini merupakan kali pertama NMS memaparkan hampir seluruh koleksi yang kami ada berkaitan dengan peristiwa 'Sook Ching'," kata Cik Syafiqah. 

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Kami sudah pun menyusun artifak-artifak tersebut dalam sebuah pameran yang besar yang memberikan para pengunjung kami peluang untuk melihat sekali gus betapa banyak nyawa yang kehilangan akibat peristiwa tersebut," tambah beliau. 

Selain itu, gambar-gambar lama, lukisan, surat khabar lama berkaitan Perang Dunia Kedua, serta pingat lama turut dipamerkan. 

(Gambar: Muzium Negara Singapura)

"Antara yang kami pamerkan kali ini termasuk pingat-pingat milik beberapa sukarelawan tentera Melayu pada ketika itu, termasuk Sarjen Beppo Wahid dan juga Mohamed Amir," kongsi Cik Syafiqah. 

GUNA KAEDAH MENARIK SEPERTI PERMAINAN INTERAKTIF DAN AR

Untuk meningkatkan lagi pengalaman pengunjung di sini, pameran ini menggunakan permainan interaktif di mana pengunjung boleh cuba membuat keputusan taktikal untuk mempertahankan Singapura. 

Kaedah Realiti Tambahan (AR) juga digunakan bagi membolehkan pengunjung melihat lebih dekat artifak-artifak dari kapal 'The Empress of Asia', yang tenggelam setelah terkena bedilan-bedilan tentera Jepun pada Februari 1942.

Kapal itu sedang belajar menuju ke Singapura membawa askar-askar tambahan semasa diserang. 

(Gambar: Muzium Negara Singapura)

Untuk pameran ini, pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan dan meletakkan telefon bijak mereka di artifak tersebut. hasilnya, rupa dan keadaan asli artifak-artifak itu kemudian dapat dilihat. 

Dengan mengetengahkan tema-tema yang belum pernah disampaikan kepada pengunjung, NMS berharap para pengunjung akan sedar kepentingan dan kerelevanan sejarah Perang Dunia II di Singapura. 

Pameran ini juga menjadi satu peringatan penting bahawa perdamaian tidak harus diambil mudah, menurut NMS lagi.

"Saya rasa ramai daripada kita terlupa mengenai Perang Dunia II dan bagi generasi muda pula, mereka mungkin tiada memori mengenai perang itu.Tetapi di Muzium Negara, kami rasa ini adalah bab yang amat penting dalam sejarah Singapura dan kita ingin orang ramai mengingatinya," ujar Pengarah NMS, Chung May Khuen.

"Di pameran ini, kami menyatukan pelbagai peristiwa dan perspektif mengenai memori perang di mana kita berharap pengunjung dapat mencetuskan perbincangan antara generasi."

Pameran ini dibuka kepada awam selama empat bulan bermula 29 Januari ini hingga 29 Mei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan