Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Muzium-muzium mini' dibuka di kedai warisan kawasan Kampong Gelam

Nama Jamal Kazura cukup sinonim dengan produk minyak atar dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Muzium-muzium mini' dibuka di kedai warisan kawasan Kampong Gelam

Encik Mohamed Samir Kazura dan Encik Mohamed Jamal Kazura di Jamal Kazura Aromatics. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 23 Apr 2021 12:14AM Dikemas Kini : 23 Apr 2021 12:17AM

SINGAPURA: Nama Jamal Kazura cukup sinonim dengan produk minyak atar dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini.

Jika anda jalan-jalan ambil angin di kaki lima unit rumah kedai paling hujung di Kampong Gelam, anda pasti tidak akan terlepas menghidu wangian dan haruman yang mempesonakan dari kedai minyak wangi Jamal Kazura Aromatics yang sudah hampir 90 tahun berniaga di situ.

Perniagaan tersebut dimulakan pada tahun 1933 oleh Mohamed Hanifa Kazura, yang berhijrah ke Singapura dari India Selatan.

Beliau menjelajah jauh demi mencari sumber bekalan bagi mengisi kedainya itu, yang sebelum itu menjual buku, batu permata dan minyak atar.

Bahkan, beliau menyerantau jauh ke dalam hutan belantara Indonesia dan Papua New Guinea untuk membawa pulang kayu gaharu, yang mengeluarkan sejenis damar yang tinggi nilainya bagi mendapatkan haruman apabila ia dibakar.

(Gambar: Jeremy Long)

Sehingga ke hari ini, kedai itu terus terkenal dengan wangi-wangian dan kayu gaharu yang menjadi produk utama pengusaha tersebut.

Kisah-kisah seumpama ini dihidupkan semula dalam "muzium mini" di kedai tersebut, yang mempamerkan artifak dan gambar-gambar daripada sejarah perniagaan itu.

Kedai berkenaan juga adalah salah satu daripada tujuh kedai di kawasan bersejarah Kampong Gelam yang akan mengadakan pameran sedemikian, di bawah skim Galeri Warisan Sudut Jalan Lembaga Warisan Negara (NHB), yang dilancarkan di kawasan itu pada Khamis (22 Apr).

Skim tersebut, yang merupakan uji cuba selama tiga tahun, pertama kali dperkenalkan pada Mac tahun lalu di daerah Balestier.

Ia akan diperluaskan ke tiga lagi daerah bersejarah - Little India, Kreta Ayer dan Chinatown, serta Geylang Serai - menjelang tahun 2022.

Skim tersebut adalah sebahagaian daripada usaha meluas NHB untuk memupuk penghargaan lebih mendalam bagi warisan tempatan, di bawah Pelan Warisan SG Kita.

Di Kampong Gelam, agensi tersebut bekerjasama dengan kedai-kedai warisan - kesemuanya dengan sejarah sekurang-kurangnya 30 tahun - bagi menggali kisah-kisah lampau dan barang menarik daripada masa silam mereka untuk dipamerkan.

Malah, bukan para pengunjung sahaja yang mempelajari sesuatu yang baru menerusi pameran itu.

(Gambar: Jeremy Long)

Encik Samir Kazura, 37 tahun, pengurus generasi ketiga kedai haruman itu berkata: "Apabila saya menelusuri proses ini... saya terpaksa membongkar barang-barang lama kami dan mendapat tahu pekara-perkara mengenai arwah datuk saya - bahawa beliau sudah pergi ke tempat-tempat yang tidak pernah kami ketahui."

Tambahnya datuk beliau juga, menjelajah dengan menaiki kapal berkuasa wap dan jet soviet, dan sudah ke lebih banyak destinasi berbanding dirinya.

Barang-barang lain yang dipamerkan di kedai tersebut termasuk nota-nota lama mengenai resipi minyak atar, yang benar-benar daripada buku nota bapa Encik Samir, Encik Mohamed Jamal Kazura.

Pameran tersebut juga menampilkan setem, yang berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, yang digunakan bagi semburan serangga yang dijual di kedai itu beberapa puluh tahun lalu.

MEMPAMERKAN SEJARAH

Perniagaan-perniagaan lain yang turut serta termasuk kedai-kedai makan seperti Sabar Menanti Nasi Padang dan kedai menjual aksesori muslim seperti V S S Varusai Mohamed & Sons.

Di kedai Sin Hin Chuan Kee, yang membekalkan aksesori menjahit, pameran itu menceritakan tentang transformasi perniagaan tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1965.

Sekeping beg kertas daripada tahun-tahun awal kedai itu menunjukkan alamat lamanya di 47 Clyde Street bersama poskod empat angka - yang kini tidak lagi kedengaran di Singapura.

(Gambar: Jeremy Long)

Berhampiran mereka, di kedai Bhai Sarbat yang cukup terkenal, pameran itu mengimbau kembali bagaimana seorang pekerja hijrahan dari India, yang dikenali sebagai Firuz, memulakan perniagaan menggunakan beca pada tahun 1950-an.

Kejayaan kedai tersebut ialah teh tarik dan teh sarbatnya.

Pemiliknya sekarang ini, Mohammad Asgar, membeli perniagaan itu tiga tahun lalu dan memperluaskan menu minuman kedai itu daripada 12 pilihan kepada 120 pilihan. Beliau juga meminta anaknya untuk turut serta sebagai pakar teh generasi seterusnya.

(Gambar: Jeremy Long)

Beliau menambah NHB berharap dapat mewujudkan "penemuan warisan yang tidak disangka-sangka bagi orang ramai" sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi menjadikan Kampong Gelam, kawasan yang lebih bersemarak dan bertenaga.

Encik Tan juga berkata mereka mahu mendapatkan lebih banyak perniagaan di kawasan itu untuk turut serta.

Selain menyediakan pendanaan dan bantuan dalam menghasilkan pameran itu, NHB juga akan bekerjasama dengan para pemilik kedai untuk melakarkan program seperti ceramah, kunjungan berpandu dan bengkel.

Tambahan lagi, ia akan memberi pemilik perniagaan berkenaan peluang untuk mengambil bahagian dalam acaaa-acara penting seperti Pesta Warisan Singapura, dedah NHB dalam kenyataan medianya. 

Sumber : CNA/IM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan