Skip to main content

Singapura

Muzium Kura-Kura S'pura masih cari 'rumah' baru

Dengan hanya tujuh bulan lagi sebelum berpindah dari kawasan Chinese Garden, misi mencari rumah baru bagi Muzium Kura-kura Hidup Singapura tersekat, yang menimbulkan tanda tanya mengenai nasib lebih 500 haiwan muzium itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Kura-Kura S'pura masih cari 'rumah' baru

Seekor kura-kura di Muzium Kura-Kura Singapura. (Gambar: TODAY / Robin Choo)

Diterbitkan : 03 Sep 2017 10:31AM Dikemas Kini : 03 Sep 2017 10:37AM

SINGAPURA: Dengan hanya tujuh bulan lagi sebelum berpindah dari kawasan Chinese Garden, misi mencari rumah baru bagi Muzium Kura-kura Hidup Singapura tersekat, yang menimbulkan tanda tanya mengenai nasib lebih 500 haiwan muzium itu.

Walaupun terdapat tiga tapak pilihan sejak ia diberitahu untuk berpindah bagi memberi laluan kepada Daerah Tasik Jurong, pemiliknya Cik Connie Tan belum lagi berjaya mendapatkan tapak yang sesuai bagi jangka panjang.

Muzium tersebut merupakan satu-satunya taman kura-kura privet di dunia. Ia dibuka 16 tahun lalu bersama mendiang ayahnya Danny Tan. Tiket masuk adalah antara S$3 dan S$5.

Antara tapak yang menjadi pilihannya ialah Pulau Kusu, yang agak jauh untuk pengunjung. Sewa Pusat Farmart di Kranji pula amat tinggi dan Orto di Yishun boleh menjadi tapak yang ideal tetapi tempoh pajakan hanya tiga tahun.

Cik Tan, pengarah syarikat pengurusan acara dan pemasarannya sendiri memberitahu Mediacorp bahawa ia amat mengecewakan jika muzium itu tidak lagi beroperasi kerana ia adalah satu-satunya muzium kura-kura di dunia dan memegang Rekod Dunia Guinness sejak 2005 kerana memiliki koleksi kura-kura terbesar.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp , Lembaga Taman Negara (NPARKS), Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan muzium itu harus berpindah sebelum Mac tahun depan.

Sekitar 60 peratus daripada 500 kura-kura itu terdiri daripada 40 spesis yang berjaya diselamatkan, ada juga hasil rampasan Penguasa Agro-Makanan dan Veterinar (AVA) daripada perdagangan haram. Ada juga yang dilepaskan oleh orang ramai.

Jika muzium Cik Tan ditutup, AVA memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya boleh bekerjasama dengan muzium itu untuk memindahkan kura-kura ke "tempat-tempat yang diluluskan", dan membantu untuk "mengeksport haiwan tersebut, jika perlu".

Pada Rabu lalu (30 Ogos), seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura Madeline Ng memulakan petisyen di Change.org yang ditandatangani 240 orang dalam percubaan untuk menyelamatkan muzium berkenaan.

Mahasiswa berusia 19 tahun itu berkata: "Jika lebih ramai orang tahu mengenai penutupan muzium itu, ia mungkin akan membantu muzium kura-kura terus dibuka."  

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita