Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muzium Kanak-Kanak SG tarik 20,000 pengunjung sejak dibuka pada Dis; sebilangan keluarga sukar dapatkan tiket

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Kanak-Kanak SG tarik 20,000 pengunjung sejak dibuka pada Dis; sebilangan keluarga sukar dapatkan tiket

Gambar: Nuria Ling/TODAY

Diterbitkan : 04 Feb 2023 09:15AM Dikemas Kini : 04 Feb 2023 09:39AM
SINGAPURA: Muzium Kanak-Kanak Singapura yang baru terbukti popular. Ini memandangkan muzium tersebut sudah menarik lebih 20,000 pengunjung sejak ia membuka tirainya pada Disember lalu.

Sekalipun demikian, para pemegang tiket yang membatalkan kunjungan mereka ke muzium itu seolah-olah merampas peluang daripada sesetengah keluarga untuk mendapatkan tiket, terutamanya pada waktu sibuk.

Terletak di Coleman Street berdekatan dengan Balai Bomba Central, muzium tersebut dibuka pada 8 Disember dengan menawarkan tiket-tiket kemasukan secara percuma. Bangunan bersejarah tersebut sebelum ini menempatkan Muzium Filatelik Singapura.
Permintaan tinggi bagi tiket-tiket menyebabkan sesetengah ibu bapa terlepas peluang daripada menikmati tawaran tersebut. Malah, sebilangan ibu bapa memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak berjaya mendapatkan satu tiket pun sejak tempahan dibuka, terutama sekali semasa tempoh waktu sibuk sebelah hujung minggu.

Masalah tersebut diburukkan lagi oleh keadaan 'no-show' di mana individu yang memohon tiket secara online tidak hadirkan diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, muzium tersebut menyatakan pada Khamis (3 Feb) bahawa pihaknya sudah membangunkan sistem tempahan secara online untuk menangani aliran pengunjung tetapi terdapat sebilangan pemegang tiket yang tidak muncul pada slot waktu yang ditempah.

Muzium tersebut diuruskan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dan direka khususnya untuk kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah. Pameran interaktif muzium itu menyusuri sejarah Singapura sepanjang pelbagai tempoh masa.

Dibuka dari Selasa hingga Ahad, ia menawarkan kemasukan secara percuma bagi semua pengunjung sejak 13 Disember tahun lalu sehingga 31 Mac tahun ini.

Muzium itu menyarankan agar pengunjung menempah tiket mereka secara online untuk mendapat jaminan bagi kemasukan mereka. Mereka yang menempah secara online mesti memilih tarikh dan slot masa 2 jam bagi kunjungan mereka.

KESUKARAN PEROLEHI TIKET

Beberapa pengunjung meninggalkan komen di halaman Facebook milik muzium tersebut mengenai kesulitan teknikal yang dihadapi mereka ketika cuba menempah tiket. Ini berlaku malah pada awal Disember apabila tempahan tiket pertama kali dibuka.

Sebilangan ibu bapa yang lain memberitahu Mediacorp bahawa mereka juga berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan slot.

RESPONS PIHAK MUZIUM

Pengarah muzium tersebut, Cik Wai Yin Pryke, berkata dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp bahawa prasarana tersebut cuba untuk mengehadkan kemasukan kepada seramai 130 pengunjung pada setiap slot selama 2 jam bagi memastikan keselamatan serta keselesaan kanak-kanak.

Muzium tersebut menggunakan kaedah tempahan online bagi memastikan ia dapat menguruskan jumlah dan aliran para pengunjung dengan lebih baik. Namun, sebilangan kecil tiket bagi setiap slot masa diketepikan untuk pengunjung yang datang masuk tanpa membuat tempahan online.

Mengulas mengenai sambutan yang diterima muzium tersebut setakat ini, Cik Pryke menyifatkan kadar tempahan tiket online sebagai "memberangsangkan", dengan slot pada hujung minggu hampir ditempah sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, beliau akur terdapat segelintir pengunjung yang tidak hadir ke muzium itu meskipun sudah menempah tiket.

"Kami ingin mengalakkan para pemegang tiket untuk berpegang pada tempahan mereka dan bersikap lebih bertimbang rasa terhadap orang lain yang juga ingin mengunjungi muzium kami."

Beliau menambah bahawa tiket yang ditempah online akan ditarik balik dan sekali gus diberikan kepada individu yang datang masuk ke muzium itu sekiranya pemegang tiket berkenaan tidak tampil di muzium dalam tempoh 10 minit sebelum slot mereka.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan