Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muzium Kanak-Kanak S'pura bakal dibuka Dis 2022, tertangguh dek pandemik

Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) akan akhirnya dibuka pada Disember tahun depan, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) hari ini (7 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) akan akhirnya dibuka pada Disember tahun depan, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) hari ini (7 Dis).

Muzium khusus untuk anak-anak bawah 12 tahun itu asalnya dijadual dibuka pada tahun ini, tetapi kerja-kerja binaannya terganggu oleh pandemik COVID-19.

Apabila siap nanti, Muzium Kanak-Kanak Singapura itu akan memainkan peranan sebagai 'muzium pemula' (starter museum) demi memperkenalkan kanak-kanak kepada budaya melawat muzium.

Maka tidak hairanlah, logo dan cogan kata Muzium Kanak-Kanak Singapura ini berbunyi 'Start with Wonder' atau 'Bermula dengan Kekaguman'.

Dalam usaha membina perisian muzium kanak-kanak itu, CMSG juga menimba pengalaman dan pengetahuan daripada muzium-muzium kanak-kanak terkenal di serata dunia, seperti Tropenmuseum Junior di Belanda, Frida & Fred in Austria dan Zoom Children's Museum Vienna.

SUARAKAN HASRAT ADANYA MUZIUM INTERAKTIF, KREATIF

Sejak dua tahun lalu juga CMSG sudahpun mengadakan usaha-usaha mendampingi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk para guru pendidikan awal kanak-kanak dan lebih 1,000 ibu bapa dengan anak-anak bawah 12 tahun.

Hasilnya, mereka menyuarakan hasrat supaya CMSG dapat menjadi muzium yang interaktif, kreatif dan saling melengkapi kurikulum sekolah.

Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) di Coleman Street. (Gambar: NHB)

(Gambar: NHB)

Lantaran itu, sebagai muzium kanak-kanak yang pertama di Singapura, CMSG berhasrat memupuk sifat ingin tahu untuk meneroka, bereksperimen dan menggalakkan pembelajaran menerusi permainan.

Pengarah dan Pengurus Besar CMSG Cik Tresnawati Prihadi berkata: "Kanak-kanak akan mendapat pengalaman pembelajaran lebih mendalam dan lebih kaya, apabila mereka dapat melihat dan memegang objek sebenar, mendengar kisah-kisah sebenar dan menyelami sekitaran merangsang minda mereka.

"Di CMSG, kami ingin menyediakan peluang 'hands-on' bagi kanak-kanak mempelajari tentang warisan dan budaya menerusi permainan.

"Menerusi pameran pelbagai deria yang menggalak mereka meneroka, kami berharap muzium tersebut dapat menjadi sekitaran kondusif bagi pembelajaran tidak formal dan juga menjadi percubaan bagi memacu strategi pendampingan dan pendekatan pendidikan bagi kanak-kanak."

PAMERAN TETAP & RUANG BERTEMA

Muzium Kanak-Kanak Singapura itu mengambil alih bangunan Muzium Setem Singapura yang ditutup dua tahun lalu.

Tingkat pertama muzium baru itu nanti akan dijadikan sebagai ruang pameran tetap, manakala tingkat dua pula akan diubah-ubah mengikut tema.

(Gambar: NHB)

Salah satu kegiatan yang mungkin dapat dinikmati kanak-kanak adalah tema alam semulajadi, yang diinspirasikan flora dan fauna di sekeliling Singapura dan di Taman Fort Canning yang berhampiran.

PUPUK CINTA KEPADA MUZIUM

Penolong pengurus bagi Program-program di CMSG, Cik Hanis Yusri pula berkongsi bahawa CMSG penting diwujudkan kerana "tidak banyak muzium kanak-kanak" di Asia Tenggara.

"Kalau kita tengok Amerika Syarikat, terdapat 460 ahli dalam persatuan muzium kanak-kanak mereka di situ, di Eropah 120 ahli, tetapi di Asia tenggara, tidak banyak.

"Jadi kami ingin memberi mereka sebuah ruang untuk bermain dan mempelajari secara interaktif dan praktikal."

"Kami berharap ia akan... memperkenalkan kanak-kanak, pengunjung-pengunjung muda dan keluarga mereka kepada budaya menziarahi muzium dan juga memupuk cinta untuk muzium," kata Cik Hanis.

Apabila dibuka pada Disember 2022, rakyat Singapura dan Penduduk Tetap boleh turut memasuki CMSG secara percuma. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan