Skip to main content

Singapura

Mutu udara SG tidak sihat di bahagian tengah, barat dan timur; PSI cecah 122

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara SG tidak sihat di bahagian tengah, barat dan timur; PSI cecah 122

Pemandangan jerebu di kawasan tengah Bishan pada petang 5 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 05 Oct 2026 02:37PM Dikemas Kini : 05 Oct 2026 09:11PM
Air quality in central, western and eastern Singapore unhealthy; PSI reaches 122
  • Air quality in central, western and eastern Singapore became unhealthy on Monday (Oct 5), when the 24-hour PSI reached 122, 120 and 101 respectively at 6pm.
  • NEA said the 1-hour PM2.5 reading was also high across Singapore, and advised the public to refer to the latest readings for immediate activities and the PSI forecast for planning for tomorrow.
  • Healthy individuals were urged to reduce strenuous outdoor activities when PM2.5 levels rise, while vulnerable groups should avoid such activities to reduce health risks.
  • The haze was linked to fires in southern Sumatra and Kalimantan, with smoke moving towards Peninsular Malaysia and Singapore as dry weather maintains the transboundary risk.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di bahagian tengah, barat dan timur Singapura memasuki paras tidak sihat pada Isnin (5 Okt), sedang jerebu rentas sempadan terus menjejas negara ini.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam meningkat secara beransur-ansur sepanjang hari, mencecah 122 di bahagian tengah, 120 di barat dan 101 di timur pada 6.00 petang.

Mutu udara di kawasan lain di Singapura kekal pada paras sederhana.

Bacaan PM2.5 sejam, yang memberikan gambaran lebih terkini berhubung mutu udara, turut mencatatkan paras tinggi di seluruh Singapura pada 6.00 petang.

Bagi kegiatan luar yang akan dijalankan dengan segera, orang ramai harus merujuk kepada bacaan PM2.5 sejam dan panduan peribadi yang relevan, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan pula harus digunakan ketika merancang kegiatan luar pada hari berikutnya.

Apabila paras PM2.5 sejam meningkat, individu sihat dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan luar yang lasak selama sejam berikutnya, manakala golongan mudah terjejas harus mengelakkan kegiatan sedemikian.

Dalam kemas kini pada Isnin, NEA menyatakan tapak kebakaran dikesan di bahagian selatan Sumatra dan bahagian-bahagian selatan Kalimantan, manakala tapak kebakaran terpencil dikesan di beberapa kawasan di Jawa, Sulawesi dan Nusa Tenggara.

Kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di selatan Sumatra dan bergerak ke utara menuju beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Jerebu sederhana hingga tebal juga diperhatikan di beberapa kawasan di Kalimantan.

Cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di bahagian selatan Asia Tenggara kecuali hujan yang diramalkan di bahagian utara Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia, menurut agensi itu.

Tapak kebakaran dan jerebu dijangka kekal meningkat, dengan risiko jerebu rentas sempadan berterusan.

Kemerosotan mutu udara di Singapura telah dijangkakan. NEA menyatakan pada Ahad bahawa PSI 24 jam bagi Isnin diramalkan pada paras sebelah tinggi kategori sederhana hingga rendah dalam kategori tidak sihat.

PSI 24 jam ialah penunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara - PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida - serta mencerminkan purata mutu udara sepanjang 24 jam lalu.

Bacaan PM2.5 sejam pula ialah purata paras pencemar PM2.5 bagi setiap jam. PM2.5 ialah zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, dan merupakan pencemar utama ketika jerebu yang boleh memudaratkan kesihatan.

Bacaan PSI 24 jam dianggap "tidak sihat" apabila berada dalam julat 101 hingga 200, "sangat tidak sihat" apabila dalam julat 201 hingga 300 dan "berbahaya" apabila melebihi 300.

Bacaan PM2.5 sejam diklasifikasikan kepada empat kategori: normal, naik sedikit, tinggi dan sangat tinggi. Ia dianggap meningkat apabila berada dalam julat 56 hingga 150. Kategori "tinggi" ialah 151 hingga 250, manakala bacaan melebihi paras itu diklasifikasikan sebagai "sangat tinggi".
Sumber : CNA/LL/AZ/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita