Skip to main content

Singapura

Mutu udara SG kekal tidak sihat, PM2.5 sejam masih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara SG kekal tidak sihat, PM2.5 sejam masih tinggi

Pemandangan jerebu antara jam 10.00 pagi hingga 10.20 pagi di Tampines Central pada 10 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 10 Oct 2026 07:26AM Dikemas Kini : 10 Oct 2026 02:08PM
Singapore's air quality remains unhealthy, with one-hour PM2.5 still high
  • Air quality across Singapore remained unhealthy on Saturday morning (Oct 10), even though the 24-hour PSI reading fell slightly after reaching its highest level this season on Friday.
  • NEA said haze from South Sumatra and Kalimantan could push the PSI above 200, while one-hour PM2.5 readings remained high in all areas.
  • The Singapore Haze Task Force has been activated, with preparations to distribute N95 masks and open air-conditioned shelters if conditions worsen.
  • Preschools, schools, employers and organisers of the Singapore Formula 1 Grand Prix in Marina Bay are prepared to adjust activities, suspend certain operations or implement contingency plans.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di seluruh Singapura masih berada pada tahap tidak sihat pada pagi Sabtu (10 Okt), tetapi bacaan pencemaran turun sedikit semalaman selepas mencatatkan paras tertinggi bagi tahun ini pada Jumaat.

Pada pukul 12 tengah hari, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam ialah 171 di bahagian tengah, 161 di barat, 154 di timur, 134 di selatan dan 122 di utara.

Bacaan tersebut lebih rendah berbanding pada Jumaat, apabila bahagian tengah mencatatkan PSI 192 pada pukul 5.00 petang, iaitu bacaan tertinggi setakat musim jerebu tahun ini.

Bacaan PM2.5 sejam pula kekal tinggi di seluruh negara pada pukul 12 tengah hari, dengan paras antara 85 di selatan hingga 119 di bahagian barat. Kawasan tengah mencatatkan bacaan 118, manakala utara dan timur masing-masing mencatatkan 86 dan 105.

Walaupun bacaannya berubah-ubah sepanjang malam, semua kawasan kekal pada tahap bawah kategori tinggi.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran pada Jumaat bahawa PSI 24 jam berpotensi melepasi paras 200 dan memasuki kategori sangat tidak sihat menyusuli asap jerebu dari Sumatra Selatan dan Kalimantan yang terus bertiup ke arah Singapura.

Pasukan Bertindak Jerebu Singapura yang dianggotai 28 agensi pemerintah sudah diaktifkan, dengan pelbagai langkah kesiapsiagaan sedia dilaksanakan sekiranya mutu udara bertambah buruk.

Sekiranya PSI melepasi paras 200, pelitup muka N95 akan diagihkan kepada rakyat Singapura yang layak. Selain itu, pusat perlindungan berhawa dingin bagi menghadapi jerebu akan dibuka di kelab masyarakat serta beberapa pusat jawatankuasa penduduk dan rangkaian penduduk terpilih.

Prasekolah diwajibkan menghentikan kegiatan luar serta kegiatan dalaman yang memerlukan pergerakan fizikal intensif apabila mutu udara berada pada tahap sangat tidak sihat. Kegiatan sukan luar juga mungkin diubah suai atau digantung, manakala majikan dinasihatkan supaya mengehadkan kerja di luar bangunan.

Sekolah pula mungkin ditutup sekiranya PSI 24 jam bagi keesokan hari diramalkan melebihi 300 dan memasuki kategori berbahaya.

Keadaan jerebu ini berlaku ketika perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura di Marina Bay berlangsung, termasuk perlumbaan pecut pertama yang diadakan pada Sabtu. Pihak penganjur memaklumkan bahawa pelan kecemasan sudah disediakan sekiranya mutu udara semakin merosot.
Sumber : CNA/KH/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita