Skip to main content

Singapura

Mutu udara seluruh SG pada paras tidak sihat; bahagian tengah catat PSI 24 jam tertinggi 154

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara seluruh SG pada paras tidak sihat; bahagian tengah catat PSI 24 jam tertinggi 154

Seorang lelaki memakai pelitup di Bishan semasa keadaan berjerebu pada 14 September 2026. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 15 Sep 2026 06:38AM
  • Mutu udara di Singapura merosot pada 15 September, dengan semua lima bahagian mencatat bacaan PSI tidak sihat buat kali pertama sejak 2019.
  • Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan nasihat jerebu harian selepas bacaan PSI melonjak sejak 4 September.
  • Peningkatan pencemaran udara berpunca daripada asap kebakaran di Kalimantan dan selatan Sumatra yang dibawa angin ke Singapura.
  • NEA menjangkakan keadaan kering dan angin dari tenggara akan terus menyebabkan jerebu di Singapura dalam beberapa hari akan datang.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di Singapura bertambah buruk pada Selasa (15 Sep), dengan kesemua lima bahagian mencatat paras tidak sihat.

Ini kali pertama sejak September 2019 mutu udara di semua bahagian Singapura memasuki paras tidak sihat.

Setakat 6.00 pagi, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah Singapura mencatatkan bacaan 154.

Bahagian utara negara pula menjadi kawasan kelima mencatatkan mutu udara tidak sihat apabila PSI mencecah 104 pada 6.00 pagi. Empat daripada lima bahagian Singapura sudah mencatatkan paras tidak sihat pada Isnin malam.

PSI di bahagian timur dan barat, yang memasuki paras tidak sihat pada 4.00 petang Isnin, masing-masing mencatatkaan bacaan 128 pada 6.00 pagi. Bacaan PSI di bahagian selatan pula ialah 111.

Setakat 6.00 pagi pada 15 September, PSI 24 jam mencatatkan bacaan 104 di bahagian utara, 128 di barat, 154 di tengah, 128 di timur dan 111 di selatan.

Pada Isnin, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan dalam nasihat jerebu hariannya bahawa PSI 24 jam diramalkan berada antara paras sederhana tinggi hingga paras tidak sihat pertengahan.

NEA menambah bahawa kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan bergerak ke arah Singapura selepas tiupan angin lazim berubah dan bertiup dari arah timur-tenggara. Sebahagian jerebu asap dari selatan Sumatra turut bergerak ke arah Singapura.

“Keadaan kering diramalkan di Singapura dan kawasan sekitarnya dalam beberapa hari akan datang. Dengan angin lazim dijangka terus bertiup dari arah tenggara hingga timur-tenggara, Singapura berkemungkinan terjejas oleh jerebu asap,” kata NEA.

PSI 24 jam di bahagian tengah Singapura melonjak ke paras tidak sihat pada 4 September buat kali pertama sejak 2023, mendorong NEA mengeluarkan nasihat jerebu setiap hari sejak petang tersebut.

Bacaan PSI antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai “tidak sihat”, manakala bacaan antara 201 hingga 300 dianggap “sangat tidak sihat” dan bacaan melebihi 300 sebagai “berbahaya”.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita