Mutu udara seluruh SG catat paras tidak sihat; PM2.5 cecah julat 'tinggi' di bahagian barat
Keadaan jerebu di sekitar kawasan Upper Cross Street yang menghadap ke arah Esplanade dan Singapore Flyer pada 7 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
- Air quality in all five regions of Singapore was at unhealthy levels at 4pm on Wednesday, with the one-hour PM2.5 reading in the west reaching a high level.
- NEA reported that monitoring stations in Singapore, Sumatra, Kalimantan and Peninsular Malaysia recorded levels ranging from unhealthy to hazardous.
- The conditions were linked to fire hotspots and smoke plumes in southern Sumatra and Kalimantan, increasing the risk of transboundary haze.
- Members of the public were advised to use the 24-hour PSI forecast, while vulnerable groups should avoid strenuous outdoor activities when PM2.5 levels rise.
- Mutu udara di semua lima bahagian Singapura berada pada paras tidak sihat pada 4.00 petang Rabu, dengan PM2.5 sejam di barat mencecah paras tinggi.
- NEA melaporkan stesen pemantauan di Singapura, Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia mencatat paras tidak sihat hingga berbahaya.
- Keadaan dikaitkan dengan tapak kebakaran dan kepulan asap di selatan Sumatra serta Kalimantan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan.
- Orang awam dinasihatkan menggunakan ramalan PSI 24 jam, manakala golongan rentan perlu mengelakkan kegiatan luar lasak ketika PM2.5 meningkat.
Pada pukul 4.00 petang, bacaan PM2.5 sejam di bahagian barat melonjak kepada 152 dalam paras “tinggi”, naik daripada 146 pada pukul 3.00 petang. Bacaan di bahagian-bahagian lain kekal dalam paras “meningkat”, antara 91 hingga 121.
Bahagian barat Singapura mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam tertinggi pada 135. Bacaan PSI ialah 132 di bahagian tengah, 128 di timur dan 110 di selatan.
Bacaan di utara meningkat daripada 100 pada pukul 11.00 pagi kepada 101 pada tengah hari, menjadikan bahagian itu turut berada dalam julat tidak sihat. Setakat pukul 4.00 petang, PSI di utara ialah 104.
Dalam kemas kini terbaharunya pada pagi Rabu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan banyak stesen pemantauan mutu udara di Singapura, Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia melaporkan paras tidak sihat hingga berbahaya.
Kelompok tapak kebakaran dikesan di bahagian selatan Sumatra dan Kalimantan, manakala tapak kebakaran terpencil dikesan di Jawa dan Sulawesi.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di beberapa bahagian Kalimantan dan Sumatra, dengan jerebu tahap sederhana turut dikesan di beberapa bahagian Semenanjung Malaysia dan Singapura,” menurut NEA.
Jerebu ketara tidak dikesan di utara ASEAN dan jumlah tapak kebakatan di rantau ini kekal rendah, tambahnya.
Agensi itu menyatakan keadaan tapak kebakaran dan jerebu di selatan ASEAN berkemungkinan meningkat dan memberi amaran tentang risiko jerebu rentas sempadan.
Bagi utara ASEAN, tapak kebakaran terpencil dan kepulan asap setempat mungkin muncul dari semasa ke semasa di kawasan-kawasan yang mengalami keadaan lebih kering, tambahnya.
NEA pada petang Selasa menyatakan PSI 24 jam Singapura dijangka berada dalam julat sederhana tinggi hingga pertengahan tidak sihat sepanjang tempoh 24 jam berikutnya.
Semasa merancang kegiatan luar bagi tempoh 24 jam akan datang, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan.
Apabila paras PM2.5 sejam meningkat, orang yang sihat dinasihatkan mengurangkan kegiatan luar yang lasak bagi sejam berikutnya, manakala warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah jantung atau paru-paru kronik harus mengelakkan kegiatan sedemikian.
PSI 24 jam ialah penunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara - PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida - serta mencerminkan purata mutu udara sepanjang 24 jam lalu.
Bacaan PM2.5 sejam pula ialah purata setiap jam paras bahan pencemar PM2.5. PM2.5 ialah zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, dan merupakan bahan pencemar utama ketika jerebu yang memudaratkan kesihatan.
Bacaan PSI 24 jam dianggap “tidak sihat” apabila berada dalam julat 101 hingga 200, “sangat tidak sihat” apabila dalam julat 201 hingga 300 dan “berbahaya” apabila melebihi 300.
Bacaan PM2.5 setiap jam diklasifikasikan dalam empat paras: normal, meningkat, tinggi dan sangat tinggi. Ia dianggap meningkat apabila berada antara 56 hingga 150. Paras “tinggi” adalah antara 151 hingga 250, manakala bacaan melebihi paras itu diklasifikasikan sebagai “sangat tinggi”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.