Skip to main content

Singapura

Mutu udara di tengah SG capai paras tidak sihat; PM2.5 sejam tinggi sedikit di 3 bahagian

Mutu udara di bahagian tengah Singapura memasuki julat tidak sihat pada pagi Sabtu (3 Okt), manakala bacaan di empat bahagian lain kekal pada paras sederhana.

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara di tengah SG capai paras tidak sihat; PM2.5 sejam tinggi sedikit di 3 bahagian

Keadaan berjerebu dilihat dari pusat beli-belah VivoCity pada 29 September 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 12:23PM
Air quality in central Singapore reaches unhealthy levels; 1-hour PM2.5 slightly elevated in 3 areas
  • Air quality in central Singapore reached unhealthy levels on Saturday morning, Oct 3, when the 24-hour PSI rose to 102 at 11am.
  • The east, west, south and north remained in the moderate range, while 1-hour PM2.5 was slightly elevated in the central, eastern and western areas.
  • NEA said the haze may have been carried by south-easterly or southerly winds, with smoke from southern Sumatra and fires in Kalimantan detected.
  • The public was advised to reduce strenuous outdoor activities, especially the elderly, pregnant women, children, and those with chronic heart or lung disease.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di bahagian tengah Singapura memasuki julat tidak sihat pada pagi Sabtu (3 Okt), manakala bacaan di empat bahagian lain kekal pada paras sederhana.

Pada pukul 11.00 pagi, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah meningkat kepada 102. Bacaan di timur dicatat pada 94, barat (91), selatan (86) dan utara (76).

Bacaan PM2.5 sejam, yang mencerminkan mutu udara pada satu-satu masa, berada pada paras tinggi sedikit di bahagian tengah, timur dan barat.

Bacaan terkini itu menyusuli nasihat Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada petang Jumaat bahawa jerebu mungkin dibawa ke arah Singapura oleh tiupan angin tenggara atau selatan.

Kepulan asap sederhana hingga tebal dari selatan Sumatra dilihat bergerak ke arah Singapura, dengan jerebu akibat kebakaran di Kalimantan turut dikesan, menurut NEA.

Keadaan kering dijangka berterusan di Singapura dan kawasan sekitarnya pada Sabtu, dengan NEA meramalkan PSI 24 jam di Singapura berada dalam julat sederhana hingga paras rendah tidak sihat.

Setakat pukul 6.00 petang Jumaat, PSI 24 jam berada antara 64 dengan 81, dalam julat sederhana. Bacaan PM2.5 sejam pula antara 44 dengan 73 mikrogram bagi setiap meter padu, merangkumi paras normal dan tinggi sedikit.

Agensi tersebut menasihatkan individu sihat supaya mengurangkan kegiatan fizikal di luar yang berpanjangan atau berat sekiranya PSI 24 jam berada dalam julat tidak sihat.

Warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak pula harus mengurangkan kegiatan fizikal di luar yang berpanjangan atau berat. Mereka yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik harus mengelakkan kegiatan sedemikian.

Menurut NEA,kesan jerebu terhadap kesihatan bergantung pada keadaan kesihatan seseorang, paras PSI serta tempoh dan tahap kegiatan dijalankan di luar.

Bagi kegiatan di luar dalam masa terdekat, orang ramai harus merujuk kepada bacaan PM2.5 sejam dan panduan peribadi yang berkaitan, manakala ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan harus digunakan dalam merancang kegiatan di luar bagi hari berikutnya.

PSI 24 jam merupakan penunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara – PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida – serta mencerminkan purata mutu udara sepanjang 24 jam lalu.

Bacaan PM2.5 sejam pula merupakan purata paras pencemar PM2.5 bagi tempoh sejam. PM2.5 merujuk kepada zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau kurang dan merupakan bahan pencemar utama semasa jerebu, yang boleh menjejas kesihatan.

Bacaan PSI 24 jam dianggap "tidak sihat" apabila ia berada antara 101 dengan 200, "sangat tidak sihat" antara 201 dengan 300 dan "berbahaya" apabila ia melebihi 300.

Bacaan PM2.5 sejam dibahagikan kepada empat paras: normal, tinggi sedikit, tinggi dan sangat tinggi. Ia dianggap tinggi sedikit apabila berada antara 56 dengan 150. Paras "tinggi" pula antara 151 dengan 250, manakala bacaan melebihi paras tersebut dikategorikan sebagai "sangat tinggi".
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita