Skip to main content

Singapura

Mutu udara bahagian tengah & barat SG kembali catat paras tidak sihat pada pagi 5 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara bahagian tengah & barat SG kembali catat paras tidak sihat pada pagi 5 Okt

Pemandangan jerebu di Singapura pada 4 Oktober 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Oct 2026 07:51AM Dikemas Kini : 05 Oct 2026 09:36AM
Air quality in central and western Singapore returned to unhealthy levels on the morning of Oct 5
  • Air quality in central and western Singapore deteriorated into the unhealthy range on Monday morning, with the 24-hour PSI at 110 and 102 respectively.
  • NEA said haze from South Sumatra and fires in Kalimantan continued to pose a haze risk, worsened by dry weather and south-easterly or south-westerly winds.
  • The agency forecast Singapore's 24-hour PSI to range from the higher end of the moderate band to the lower end of the unhealthy band, while 1-hour PM2.5 levels rose in the central and western regions.
  • Members of the public are advised to refer to PM2.5 readings for immediate activities and the 24-hour PSI to plan outdoor activities, as the health effects vary according to exposure.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mutu udara di bahagian tengah dan barat Singapura merosot sepanjang malam dan memasuki julat tidak sihat pada Isnin (5 Okt).

Pada pukul 6.00 pagi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah ialah 110, manakala kawasan barat mencatat 102. Mutu udara seluruh Singapura kekal dalam julat sederhana.

Bacaan PM2.5 sejam pada pukul 6.00 pagi, yang mencerminkan mutu udara pada satu-satu masa, berada pada paras meningkat di bahagian tengah dan barat, dan normal di kawasan lain.

Dalam kemas kini pada Ahad, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kepulan asap sederhana hingga tebal dari Sumatra Selatan terus bergerak ke arah Singapura dan rantau sekitarnya. Jerebu turut dikesan akibat kebakaran di Kalimantan.

Cuaca kering dijangka berterusan di Singapura dan rantau sekitarnya pada Isnin.

Masih terdapat risiko jerebu akan menjejas Singapura dengan tiupan angin dari tenggara atau barat daya yang berlaku ketika ini, menurut NEA.

Bacaan PSI 24 jam bagi Singapura diramalkan dalam julat sederhana tinggi hingga tidak sihat rendah, tambah agensi itu.

NEA menyatakan kesan jerebu terhadap kesihatan bergantung kepada keadaan kesihatan seseorang, paras PSI serta tempoh dan intensiti kegiatan luar.

Bagi kegiatan luar yang akan dijalankan dengan segera, orang ramai harus merujuk kepada bacaan PM2.5 sejam dan panduan peribadi yang sepadan, manakala ramalan PSI 24 jam serta nasihat kesihatan harus digunakan ketika merancang kegiatan luar untuk hari berikutnya.

PSI 24 jam merupakan penunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira menggunakan enam bahan pencemar udara - PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida - serta mencerminkan mutu udara purata dalam tempoh 24 jam lalu.

Bacaan PM2.5 sejam pula merupakan purata setiap jam paras pencemar PM2.5. PM2.5 ialah zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, dan merupakan bahan pencemar utama ketika jerebu yang boleh menjejas kesihatan.

Bacaan PSI 24 jam dianggap "tidak sihat" apabila berada dalam julat 101 hingga 200, "sangat tidak sihat" apabila dalam julat 201 hingga 300, dan "berbahaya" apabila melebihi 300.

Bacaan PM2.5 setiap jam diklasifikasikan kepada empat julat: normal, meningkat, tinggi dan sangat tinggi. Ia dianggap meningkat apabila berada antara 56 hingga 150. Julat "tinggi" ialah 151 hingga 250, manakala bacaan melebihi paras itu diklasifikasikan sebagai "sangat tinggi".
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita