Mutu tidur orang Melayu SG paling teruk berbanding kaum lain: Kajian

Pelbagai faktor boleh mempengaruhi kualiti tidur. (Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Mutu tidur orang Melayu didapati paling teruk berbanding kaum lain.
Menurut satu kajian yang diterajui Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), waktu tidur orang Melayu paling singkat iaitu secara purata 5.74 jam manakala orang Cina tidur paling lama - secara purata 6.37 jam
Warga Singapura secara amnya tidur kurang daripada 7 jam yang disarankan.
Selain itu, lebih ramai orang Melayu dan India juga didapati mengalami insomnia, punyai kecenderungan untuk terlelap dan berdengkur berbanding orang Cina.
Kajian yang melibatkan lebih 8,800 peserta Melayu, Cina dan India daripada tinjauan Health for Life in Singapore (HELIOS) itu juga mendapati terdapat kaitan kukuh antara berdengkur dan kekurangan tidur dengan kadar kegemukan.
Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2023, kadar kegemukan dalam kalangan penduduk Melayu paling tinggi iaitu 26.2 peratus berbanding masyarakat Cina (7.9 peratus) dan India (21.3 peratus).
Meskipun waktu tidur orang Melayu paling singkat dan mutu tidur yang rendah, perbezaan tersebut tidak memberi gambaran sepenuhnya dan menjelaskan mengapa kadar obesiti dalam kalangan orang Melayu dan India lebih tinggi.
WAKTU TIDUR DIKAITKAN DENGAN KADAR BMI YANG TINGGI

Menerusi kajian ini, waktu tidur yang singkat, mutu tidur yang rendah dan berdengkur didapati boleh terjejas dengan kadar BMI yang tinggi dan ukuran pinggang yang lebar.
Dapatan kajian ini selaras dengan penyelidikan antarabangsa yang dilakukan sebelum ini.
"Tidur berkaitan dengan metabolisme dan ia sekali gus berkaitan dengan selera makan dan juga keradangan atau kesihatan usus. Begitulah bagaimana waktu tidur yang tidak bermutu atau singkat boleh menjejas proses-proses dalaman yang akan kemudian menjejas kesihatan kita," jelas Ketua dan Konsultan Kanan Perubatan Keluarga Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Dr Benjamin Lam.
Dalam pada itu, Dr Benjamin Lam turut menekankan pentingnya tidur yang mencukupi dan berkongsi tip-tip bagaimana untuk mendapat mutu tidur yang baik.
"Tidur adalah proses psikologi dan ia sebenarnya proses yang amat penting. Disebabkan itu, tubuh kita memerlukan jangka waktu tidur yang secukupnya. Ia sebenarnya untuk tubuh kita berehat dan pulih. Oleh itu, ia baik untuk orang ramai memiliki rutin tidur yang konsisten. Ini seperti waktu tidur dan masa untuk bangun yang tetap. Antara faktor-faktor lain termasuk mengurangkan masa menggunakan alat peranti," ujarnya lagi.
Malah kata Dr Lam, kekurangan tidur disebabkan faktor seperti gangguan apnea tidur, insomnia atau tekanan bukanlah satu petanda yang baik.
Lantaran itu, beliau menekankan pentingnya untuk berjumpa seorang doktor bagi mendapatkan nasihat mahupun rawatan yang sewajarnya.
Doktor juga boleh mengenal pasti jika ia ada kaitan dengan kadar kegemukan.
Ini kerana kajian tersebut mendapati 18.6 peratus kes kegemukan boleh dikawal dengan menangani isu berdengkur.
Sebanyak 6.6 peratus kes kegemukan pula boleh diatasi dengan jumlah waktu tidur yang mencukupi iaitu lebih 5 jam.
RAKYAT SG HARGAI MASA TIDUR
Sempena Hari Tidur Sedunia pada Jumaat (14 Mac) IKEA Singapore juga menerbitkan Laporan Tidur 2025 yang mendapati kadar tekanan tinggi menjadi antara punca utama kekurangan tidur.
Ini walaupun 83 peratus warga Singapura menganggap waktu tidur itu sebagai antara nikmat terhebat dalam kehidupan mereka.
Menurut IKEA Singapore juga, hampir 74 peratus warga Singapura lebih gemar menghabiskan masa di rumah dan tidur, berbanding melakukan aktiviti-aktiviti di luar.
Dalam pada itu, IKEA Singapore mendedahkan bahawa hampir 17 peratus warga Singapura bergantung kepada ubat-ubatan untuk bantu mereka tidur.
Lebih 11 peratus warga Singapura yang ditinjau pula mengalami insomnia.
Laporan Tidur 2025 itu juga menggariskan beberapa tip untuk dapatkan mutu tidur yang lebih baik.
Antaranya:
1. Tetapkan waktu dan rutin tidur
2. Elak tatap skrin peranti
3. Jaga diet, elak makanan berat, minuman berkafein sebelum tidur
4. Lakukan kegiatan fizikal di siang hari
5. Dapatkan cahaya matahari di siang hari untuk kawal 'body clock'
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.