Skip to main content

Singapura

Mutu pekerjaan di SG dinilai guna penunjuk pasaran buruh 'lebih boleh diukur secara objektif': Koh Poh Koon

Memandangkan tanggapan mengenai "pekerjaan yang baik" berbeza bagi setiap individu, pemerintah menggunakan pelbagai penunjuk pasaran buruh yang "lebih boleh diukur secara objektif" untuk menilai mutu pekerjaan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Khamis (12 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Mutu pekerjaan di SG dinilai guna penunjuk pasaran buruh 'lebih boleh diukur secara objektif': Koh Poh Koon

Menteri Negara Kanan Tenaga Kerja Koh Poh Koon berucap di Parlimen pada 12 Feb 2026.

Diterbitkan : 13 Feb 2026 07:44AM Dikemas Kini : 13 Feb 2026 07:53AM
  • Pemerintah Singapura menilai mutu pekerjaan menggunakan penunjuk pasaran buruh yang objektif kerana definisi "pekerjaan yang baik" berbeza bagi setiap individu.
  • Dr Koh Poh Koon menjelaskan di Parlimen bahawa penilaian ini sejajar dengan rangka kerja OECD dan merangkumi aspek gaji, latihan, serta keselamatan tempat kerja.
  • Statistik menunjukkan pertumbuhan gaji yang berterusan, peningkatan latihan berstruktur, dan pengurangan diskriminasi di tempat kerja antara 2021 hingga 2025.
  • Pemerintah komited memastikan strategi ekonomi menghasilkan pekerjaan yang baik dan terus memantau pelbagai aspek mutu pekerjaan untuk rakyat Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Memandangkan tanggapan mengenai "pekerjaan yang baik" berbeza bagi setiap individu, pemerintah menggunakan pelbagai penunjuk pasaran buruh yang "lebih boleh diukur secara objektif" untuk menilai mutu pekerjaan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Khamis (12 Feb).

Pemerintah juga secara berkala menanda aras prestasi pasaran buruh di peringkat antarabangsa merentasi sudut-sudut utama yang meliputi penciptaan pekerjaan dan mutu pekerjaan, tambahnya.

Sudut-sudut itu termasuk penyertaan pasaran buruh, penggunaan tenaga kerja yang tidak mencukupi dan pendapatan, katanya.

Dr Koh berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan parlimen yang difailkan oleh Anggota Parlimen Kenneth Tiong (WP-Aljunied) tentang apa definisi operasi Kementerian Tenaga Manusia tentang "kerja yang baik".

Pada Januari lalu, jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi Singapura mengumumkan tujuh saranan bagi memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan yang baik.

Satu saranan adalah untuk meluaskan rangkaian pekerjaan yang baik di seluruh ekonomi.

Dr Koh berkata tanggapan "pekerjaan yang baik" berbeza bagi setiap individu dan dibentuk oleh situasi dan aspirasi masing-masing.

Ia sering kali termasuk faktor-faktor seperti pertumbuhan gaji, peluang untuk mengembangkan kerjaya, tempat kerja yang adil dan selamat serta memberi kepuasan peribadi, dan apa yang memberikan seseorang utiliti tertinggi, antara lain, katanya.

"Terdapat pelbagai dimensi bagi pekerjaan yang baik, dan tiada rangka kerja tunggal yang diterima secara universal untuk mengukur mutu pekerjaan. Persepsi tentang apa yang dianggap sebagai pekerjaan yang baik juga mempunyai dimensi masa dan ia mungkin berubah dengan usia," kata Dr Koh.

Oleh demikian, pemerintah memilih untuk mengukur pelbagai penunjuk pasaran buruh yang boleh diukur secara objektif untuk menilai mutu pekerjaan, katanya.

KEADAAN PEKERJAAN

Penunjuk itu secara amnya sejajar dengan rangka kerja Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kata Dr Koh.

"Merentasi domain-domain ini, Singapura secara umumnya menduduki kedudukan yang baik berbanding ekonomi-ekonomi OECD," katanya.

Dr Koh berkata pekerja tempatan menikmati pertumbuhan gaji yang "berterusan dan inklusif".

Dari 2021 hingga 2025, pendapatan bulanan kasar sebenar median meningkat sebanyak 7.4 peratus.

Pada persentil ke-20, pendapatan meningkat sebanyak 10.1 peratus dalam tempoh yang sama, katanya.

Dua pertiga daripada perusahaan sektor swasta menyediakan latihan berstruktur kepada pekerja, dan kurang pekerja mengalami diskriminasi di tempat kerja, dengan peratusan menurun daripada 8.5 peratus pada 2021 kepada 6 peratus pada 2023, kata Dr Koh.

"Kami juga menggubal Akta Keadilan di Tempat Kerja untuk menggalakkan amalan pekerjaan yang adil dan melindungi pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja," katanya.

Selain itu, Singapura adalah salah satu negara berprestasi terbaik di peringkat global bagi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, dengan kadar kematian di tempat kerja purata lima tahun sebanyak 1.1 bagi setiap 100,000 pekerja pada tahun 2024, katanya.

"Kami akan terus berusaha untuk memastikan strategi ekonomi kami menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura," katanya.

Sebagai respons kepada soalan tambahan daripada Encik Tiong mengenai penciptaan rangka kerja mutu pekerjaan, seperti yang dilakukan oleh OECD, Dr Koh berkata pemerintah memantau "pelbagai ukuran dan aspek" merentasi pasaran buruh.

Rangka kerja mutu pekerjaan OECD mengukur faktor-faktor seperti mutu pendapatan, keselamatan pasaran buruh dan mutu sekitaran pekerjaan.

"Tetapi pada asasnya, pekerja mahu melihat gaji mereka meningkat dari tahun ke tahun, dan sebenarnya, apabila mereka menimba lebih banyak pengalaman, mereka mahu diiktiraf atas bakat mereka juga," kata Dr Koh.

Secara umum, pekerjaan yang bergaji tinggi adalah pekerjaan yang membayar lebih daripada gaji median tenaga kerja penduduk, kata Dr Koh.

"Dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan sedemikian dan membantu lebih ramai rakyat Singapura untuk meningkatkan kemahiran, untuk mengambil pekerjaan tersebut, kita akan meningkatkan gaji median tenaga kerja kita dari masa ke masa," katanya.

Ini adalah petunjuk yang berguna untuk pertumbuhan gaji secara meluas, menunjukkan bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan membantu meningkatkan gaji median pekerja dan tenaga kerja dari masa ke masa, katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita