Skip to main content

Singapura

Mutu bahas parlimen 'meningkat' dengan lebih banyak AP pembangkang, tidak semestinya bawa hasil lebih baik: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu bahas parlimen 'meningkat' dengan lebih banyak AP pembangkang, tidak semestinya bawa hasil lebih baik: PM Lee
Diterbitkan : 11 May 2024 12:20AM Dikemas Kini : 11 May 2024 12:29PM
SINGAPURA: Meskipun mutu perbahasan parlimen bertambah baik dengan lebih ramai Anggota Parlimen (AP) daripada pihak pembangkang, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masih belum jelas sama ada pemahaman masyarakat mengenai isu-isu semakin baik.

Ketika bercakap mengenai perbahasan mengenai isu-isu yang tidak menimbulkan perbalahan atau bukan berunsur politik, seperti kemalangan "ngeri" atau penipuan di Internet, biasanya perbahasan bersifat membina, kata PM Lee.

"Pembangkang akan menyumbang idea (mereka) dan kadang-kadang, jika anda menutup telinga anda, menutup mata anda, bunyinya seolah-olah saranan itu mungkin dibuat oleh individu yang memakai seragam putih (PAP)," tambah PM Lee.

MERAIH SOKONGAN POLITIK

Menjawab soalan tentang bagaimana lebih ramai anggota pembangkang di parlimen memberi kesan kepada perbahasan, PM Lee berkata mutu perbahasan di Dewan semakin baik "jika anda menontonnya sebagai perbahasan di televisyen".

Beliau menambah bahawa ini disebabkan anggota parlimen daripada pihak pembangkang sudah mempersiap pendirian mereka dan berbincang sesama mereka.

Namun, adakah perkara itu meningkatkan kadar pemahaman orang ramai terhadap satu-satu isu?

PM Lee berkata hasilnya "bercampur-campur", bergantung kepada isunya.

Bagi topik penting yang bersifat politik, PM Lee berkata terdapat tarikan yang kuat bagi pihak pembangkang untuk "meraih sokongan politik menentang pemerintah" demi mendapatkan manfaat politik ketika perdebatan.

Meski akur terdapat retorik yang semakin meningkat bagi sebuah pemerintah PAP dengan lebih ramai pembangkang untuk bertindak sebagai pihak yang menyemak dan mengimbang. PM Lee memberi amaran bahawa anggapan tersebut akan melemahkan pemerintah.

"Saya rasa mutu pemerintah akan berkurangan, dasar kita akan menjadi kurang kreatif. Hasilnya hanya akan mengurangkan manfaat untuk rakyat Singapura dan pada satu masa, sistem politik tidak akan berfungsi," kata PM Lee. "Ia adalah satu risiko."

BAHAYA MAHU PAP MEMERINTAH, NAMUN INGIN LEBIH RAMAI PEMBANGKANG

Ketika ditanya sama ada terdapat "jumlah kerusi tertentu" yang mungkin menyebabkan sistem politik tumbang, PM Lee berkata tidak ada perkara seperti itu, sambil menambah bahawa PAP perlu "berusaha keras untuk menolaknya".

Beliau berkata, pembangkang bertanding bagi semua kerusi pada Pilihan Raya Umum 2020, berbeza dengan keadaan semasa beliau mula bertanding dalam pilihan raya sebagai Perdana Menteri pada 2006. Daripada 84 kerusi, hanya 47 dipertandingkan ketika itu.

PM Lee kemudian merujuk kepada respons oleh pemimpin Parti Pekerja (WP) Pritam Singh kepada rencana diterbitkan oleh The Straits Times bulan lalu, yang mendakwa parti itu ingin membentuk Pemerintah pada pilihan raya akan datang.

PM Lee berkata: "(Pembangkang) ingin orang ramai rasa agak selamat. Hanya buat sedikit perubahan. Tidak berbahaya, tiad apa yang akan berlaku.

"Kehidupan akan diteruskan, PAP akan menjaga anda semua. Kami akan lebih kuat untuk memeriksa PAP dan bersuara bagi pihak anda. Anda hanya melihat dan meraih manfaat sambil kami membantu anda," tambahnya.

“Saya rasa jika trend ini (ingin pembangkang menyemak dan mengimbang) berterusan, dalam jangka panjang, malah untuk jangka tidak terlalu lama, ia akan menjejas sistem politik kita, pemerintah kita, atau dasar kita," katanya.

MASA DEPAN PAP DAN SG

Mengenai bagaimana PAP sudah berkembang selama ini, PM Lee berkata bahawa terdapat para pemimpin baharu dalam parti itu dan dasar-dasar dikemas kini secara berkala.

Cara parti menggunakan media sosial untuk melibatkan orang ramai dan menggalakkan mereka untuk yakin dengan dasar negara juga sudah berubah.

Bagaimanapun, komitmen PAP kepada Singapura dan kesungguhannya untuk mengekalkan mutu integriti dan kecekapan yang tinggi kekal tidak berubah, katanya.

Apabila ditanya tentang pendapatnya mengenai mereka yang mempersoalkan kuasa PAP selama ini, PM Lee menafikan bahawa PAP adalah dominan.

Baginya, PAP mempunyai mandat rakyat.

"Kami mempunyai sokongan rakyat...rakyat ingin kami mentadbir. Jika anda mengatakan itu adalah penguasaan, jadi, kami dominan."

PM Lee kemudian ditanya sama ada beliau bimbang sokongan terhadap PAP akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Sebagai respons, PM Lee berkata bahawa parti itu sudah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada 2015, tetapi "hasilnya tidak setinggi" yang diharapkan oleh PAP pada 2020.

PM Lee berkata bahawa parti tersebut akan berjuang lebih keras untuk menggalakkan orang ramai mengundi mereka, tetapi beliau memberi amaran bahawa undi itu boleh ke "tempat yang salah".

Ia boleh berlaku sekiranya parti tersebut mengecewakan orang ramai dan pembangkang menjadi "alternatif lebih baik".
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita