Skip to main content

Singapura

Musnah impian jadi juara Olimpik: Bapa pelajar Sekolah Sukan SG kongsi secara terbuka kematian anaknya

Anggaran Waktu Membaca:
Musnah impian jadi juara Olimpik: Bapa pelajar Sekolah Sukan SG kongsi secara terbuka kematian anaknya

Encik Prem Singh Madhaik dan isteri dengan gambar anak mereka yang baru meninggal dunia, Pranav Madhaik. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Semasa Pranav Madhaik pertama kali menyertai pasukan badminton di sekolah rendah, dia disuruh guru melukis sesuatu yang menggambarkan cita-citanya.

Pelajar itu melukis dirinya berdiri di atas podium dengan pingat dan raket dalam genggamannya.

Pranav berkata "Saya ingin menjadi seorang juara Olimpik", kata ayahnya, Prem Singh Madhaik, kepada Mediacorp pada Khamis (12 Okt).

Namun, impian itu tidak dapat menjadi kenyataan. Pranav meninggal dunia pada Rabu, pada usia 14 tahun.

Sekitar seminggu sebelum itu, pelajar Sekolah Sukan Singapura itu dimasukkan ke hospital kerana tidak berasa sihat selepas menjalani satu uji masa yang menilai kecergasannya.

Pihak sekolah sudah berjanji untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyemak protokol keselamatannya dengan teliti.

Sementara itu, ibu bapa Pranav masih mempunyai begitu banyak pertanyaan mengenai apa dan bagaimana semua itu terjadi pada anak kedua mereka.
(Gambar: Raj Verma)

"SAKIT DADA"

Encik Prem Singh Madhaik dan isteri berada di rumah pada Khamis lalu (5 Okt) apabila Sekolah Sukan menghubungi mereka.

Pasangan itu dimaklumkan bahawa sesuatu terjadi pada Pranav; dia tidak sihat; dan ambulans sedang membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Encik Madhaik dan isterinya lantas menempah khidmat kereta sewa Grab dan bergegas ke hospital, di mana beberapa kakitangan perubatan sedang merawat Pranav dan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atasnya.

"Beliau terbujur kaku di atas katil," rintih Encik Madhaik.

Kakitangan hospital memberitahunya dan isteri bahawa nadi dan denyutan jantung anak mereka sangat lemah.

"Kami tidak dapat bercakap dengannya pun," tambah Encik Madhaik. Sepanjang enam hari seterusnya, bapa kepada tiga anak lelaki itu hanya mampu berharap Pranav akan pulih seperti sediakala.

Para pelajar-atlit sukan balapan dan padang dari Sekolah Sukan datang ke hospital, dan memberitahu Encik Madhaik bahawa mereka ada melihat Pranav bersendirian dan bergelut dengan sakit dada selepas menjalani uji masanya.

Encik Madhaik juga cuba mendapatkan jawapan daripada para jurulatih Pranav mahupun pihak pengurusan Sekolah Sukan.

"Kami risau tentang begitu banyak perkara," kata Encik Madhaik, walaupun beliau menambah bahawa keluarganya akan menunggu pihak sekolah untuk selesai menjalankan siasatan.

"Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan sekarang. Kita hanya mampu menunggu dan mengetahui apa yang seharusnya boleh dilakukan, agar isu serupa tidak berulang lagi."

Pada Jumaat (13 Okt), Sekolah Sukan memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sudah menghubungi ibu bapa Pranav untuk mengatur satu mesyuarat di mana mereka akan berkongsi dapatan awal siasatan mereka.

"TARUH HARAPAN TINGGI BUAT DIRINYA"

Walaupun hati Encik Madhaik sekarang terlalu berduka, rasa sakit itu seolah-olah sedikit terubat apabila beliau berkongsi tentang kisah hidup Pranav. Anaknya itu disifatkan sebagai seseorang sangat peramah yang mudah berkawan dengan orang lain.

Melihat jumlah orang yang menziarahi mereka untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Pranav, Encik Madhaik yakin anaknya itu disayangi rakan-rakan mahupun guru-guru sekolah.
Encik Prem Singh Madhaik, bapa kepada mendiang Pranav Madhaik, bercakap kepada Mediacorp pada 12 Okt 2023. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Pranav mempunyai dedikasi luar biasa terhadap sukan badminton. Perjalanannya bermula seawal Tadika 2, ketika Pranav melihat abang dan bapanya bermain sukan itu setiap hari di sebuah taman berdekatan rumah mereka.

Pranav akhirnya menyertai pasukan badminton St. Joseph's Institution Junior semasa dalam Darjah 2. Dia menjadi kapten pasukan ketika dalam Darjah 6.

Selepas selesai menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Pranav memberitahu ibu bapanya bahawa dia mahu bermain badminton secara sepenuh masa.

"Beliau terlalu suka bermain badminton. Belajar bukan keutamaannya," kata Encik Madhaik. "Ia sangat sukar untuk menerima segala apa yang terjadi kerana Pranav menaruh harapan tinggi buat dirinya."

Dalam satu wawancara bersama Sekolah Sukan Singapura, Pranav berkata bahawa sebagai langkah pertama, dia ingin menjadi seperti pemain badminton dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, yang kini juara Asia dan jaguh nombor dua dunia.

Dan semasa ditanya bagaimana Ginting dan juara dunia Singapura sendiri, Loh Kean Yew, menjadi sumber inspirasinya, jawapan Pranav adalah: "Saya ingin melakukan lebih baik daripada mereka."

MATLAMAT PROFESIONAL

Keluarga Pranav hanya dapat bertemu dengannya seminggu sekali memandangkan mendiang tinggal di asrama Sekolah Sukan.

Pun begitu, tidak sekali pun remaja itu mengeluh tentang cabaran yang dihadapi sebagai seorang pelajar-atlit, kata Encik Madhaik.

Pranav bahkan mempunyai semangat luar biasa dan tidak pernah mahu ketinggalan sebarang sesi latihan.

Ditanya jika Pranav - dan belia lain dalam sukan sama - mungkin disuruh menjalani latihan yang terlalu berat, Encik Madhaik menjawab: "Jika anda mencapai kejayaan terbaik... anda perlu bekerja keras dan tekun menjalani latihan. Dengan melakukan itu baru anda akan menikmati hasilnya.

"Jika anda mahu bermain pada peringkat profesional, anda perlu berbuat demikian. Jika anda main untuk suka-suka, laluannya berbeza; anda boleh menganggapnya sebagai sekadar satu senaman," tambah beliau.

"Pranav khususnya mahu menceburi kerjaya sebagai pemain badminton profesional."

Dua saudara lelaki Pranav, masing-masing berusia 17 dan 13 tahun, juga bermain badminton di sekolah masing-masing. Mereka sangat terkesan dengan pemergian Pranav dan merasakan dia seolah-olah "meninggalkan mereka bersendirian", kata Encik Madhaik.

"Ia sangat sukar bagi mereka, kerana mereka selalu bermain bersama-sama, terutama sekali yang bongsu.

"Tapi kita harus mempersiapkan mereka untuk menerima kenyataan."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita