Muslihat lelaki M'sia seludup rokok di dalam seluar terbongkar
Seorang lelaki warga Malaysia ditangkap kerana cuba menyeludup rokok tidak dibayar cukai ke Singapura selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) melihat "gelembung dan bonjolan mencurigakan" pada bahagian kelangkangnya.
(Gambar: Facebook/ICA)
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia ditangkap kerana cuba menyeludup rokok tidak dibayar cukai ke Singapura selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) melihat "gelembung dan bonjolan mencurigakan" pada bahagian kelangkangnya.
Siasatan lanjut pada 11 September lalu terhadap lelaki berusia 39 tahun itu mendapati 10 bungkus rokok disembunyikan pada bahagian punggul dan kelangkangnya.
Kes itu salah satu daripada enam percubaan berasingan untuk menyeludup rokok tanpa cukai ke Singapura bulan lalu, demikian menurut ICA hari ini (2 Okt).
78 bungkus rokok dan 40 batang rokok pelbagai jenama dikesan oleh para pegawai di Pusat Pesiaran Singapura, West Coast Pier dan Marina South Pier.
Pada 29 September, para pegawai ICA menemui 40 bungkus rokok yang disembunyikan di dalam bagasi seorang lelaki rakyat Romania berusia 55 tahun. Imej imbasan beg bagasinya menunjukkan bahan-bahan yang mencurigakan.
Dalam kes berasingan, tiga rakyat Singapura dan seorang warga Rusia ditangkap kerana cuba menyeludup rokok ke Singapura dalam empat kes berasingan antara 9 Sep dan 20 Sep.
Empat lelaki berusia antara 28 hingga 64 tahun menyembunyikan rokok di dalam pakaian mereka, di dalam stoking dan kasut but yang dipakai serta di bahagian pinggang dan buku lali.
Kesemua enam kes dirujuk kepada Kastam Singapura bagi siasatan lanjut. Sesiapa didapati bersalah memiliki rokok tanpa dibayar cukai akan didakwa di mahkamah atau dikenakan denda sehingga S$5,000.
"Kaedah penyeludupan sebegini menjadi satu keprihatinan kerana kaedah serupa mungkin digunakan oleh individu berniat jahat untuk menyeludup barang-barang keselamatan ke Singapura," menurut ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.