Skip to main content

Singapura

Musim tengkujuh barat daya tahun lalu catat jumlah hujan ketiga tertinggi sejak 1981

Musim tengkujuh barat daya antara Jun dengan September tahun lalu mencatat jumlah hujan ketiga tertinggi di Singapura sejak 1981, dengan jumlah keseluruhan hujan di merata Singapura sebanyak 30 peratus lebih tinggi berbanding purata jangka panjang bagi tempoh itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Musim tengkujuh barat daya tahun lalu catat jumlah hujan ketiga tertinggi sejak 1981

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 11:40PM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 11:42PM

SINGAPURA: Musim tengkujuh barat daya antara Jun dengan September tahun lalu mencatat jumlah hujan ketiga tertinggi di Singapura sejak 1981, dengan jumlah keseluruhan hujan di merata Singapura sebanyak 30 peratus lebih tinggi berbanding purata jangka panjang bagi tempoh itu, menurut penilaian iklim tahunan yang dikeluarkan pada Selasa (23 Mac).

Musim tengkujuh barat daya lazimnya merupakan tempoh cuaca lebih kering, namun Jun dan September 2020 mencatatkan dua jumlah purata bulanan keseluruhan tertinggi iaitu masing-masing 310.1mm dan 302.4mm, menurut laporan oleh Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS).

Ini adalah 99 peratus dan 63 peratus lebih tinggi daripada purata bulanan jangka panjang masing-masing.

Sebelum ini, MSS melaporkan bahawa Jun 2020 adalah bulan Jun paling sejuk dalam masa 20 tahun dan bulan dengan paras hujan tertinggi dalam 10 tahun. Ia mengakhiri rekod 28 bulan suhu bulanan lebih tinggi daripada purata sejak Februari 2018.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa, MSS menyatakan bahawa hujan turun selama 21 hari pada Jun, iaitu tertinggi dalam tempoh 30 tahun. Ia menjangkaui rekod hujan 19 hari pada Jun 2010.

HARI PALING SEJUK

Hari paling sejuk pada tahun lalu adalah 16 Sep, apabila suhu mencecah 20.9 darjah Celsius di Newton.

Ini disebabkan oleh kemunculan ribut badai Sumatera di bawah "pengaruh secara tidak langsung" Ribut Tropika Noul di Laut China Selatan.

Laporan cuaca itu juga menunjukkan bahawa tahun 2020 adalah tahun kelapan terpanas di Singapura berdasarkan laporan sejak 1929.

Dengan purata suhu tahunan 28 darjah Celsius, ia sejajar dengan suhu pada tahun 2005, iaitu 0.5 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata jangka panjang antara 1981 dengan 2010.

Secara global, banyak tempat di seluruh dunia juga mencatatkan purata suhu lebih tinggi pada tahun lalu. Purata suhu global bagi 2020 adalah sekitar 0.5 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata jangka panjang antara 1981 dengan 2010 dan 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding asas awal perindustrian antara 1850 dengan 1900.

Ini adalah salah satu daripada tiga tahun dengan suhu tertinggi pernah dicatatkan secara global iaitu selain tahun 2016 dan 2019.

"Sejak 1980-an, setiap dekad lebih panas berbanding sebelumnya, menggariskan trend perubahan iklim jangka panjang yang berterusan," menurut laporan itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita