Musim hujan, banjir jejas bekalan & harga sayur, daun janur di Pasar Geylang Serai menjelang Lebaran
SINGAPURA: Bekalan sayur-sayuran dan daun janur terjejas oleh musim hujan dan banjir baru-baru ini sehingga menyebabkan kenaikan harga pada musim perayaan ini.
Ini sedang ramai yang membuat persiapan, membeli bahan-bahan masakan bagi sajian Lebaran pada hujung minggu terakhir Ramadan di pasar-pasar termasuk di Geylang Serai.
Antara peniaga yang terjejas ialah Encik Mohamad Razak dari gerai Zainab Provision Supply.
"Memang musim hujan ini seperti di Malaysia dan pembekal kita semua daripada Malaysia, jadi oleh kerana di sana banjir, jadi sayur-sayuran seperti kobis banyak yang berkurangan sekarang," kongsi Encik Razak kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bagi daun janur pula, bekalan yang disediakan kali ini turun 50 peratus berbanding tahun lalu.
Harganya juga naik sedikit menurut Encik Razak, lebih-lebih lagi dengan kenaikan kos barangan.
"Dahulu, kita jual satu ikat kini ini baru S$3.50 sahaja. Sekarang kita jual S$4 bermakna naik 50 sen. Memang tidak boleh dihalang kenaikan harga. Oleh kerana kenaikan barang kerana sekarang semua memang sudah naik seperti minyak, sayur-sayuran dan sekarang pembekal juga menghantar barang mahal," jelas Encik Razak.
PERMINTAAN BERKURANGAN, ORANG MUDA TAK MINAT KE PASAR BASAH
Dalam pada itu, sambutan juga menurut Encik Razak semakin berkurangan lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda.
"Tidak seperti masa lalu, untuk masa-masa sekarang sambutannya berkurangan kerana anak-anak muda juga jarang pergi ke pasar Geylang. Jika kita dapat lihat semua (di sini) orang-orang tua," ujar Encik Razak.
"Kita pun tidak sediakan bekalan yang banyak (bagi daun janur) kerana sekarang harganya mahal. Kalau dari Malaysia, ianya murah sedikit tetapi sekarang, banyak yang datang daripada Indonesia, Batam, Riau. Jadi ianya datang menerusi gunakan kontena. Jadi itu yang membuat harganya mahal. Sekarang jarang juga untuk anak muda membuat ketupat. Banyak beli yang moden, yang baharu yang sudah sedia," tambah beliau.
DUA TAN DAUN JANUR DISEDIAKAN, HARGA DIKEKALKAN
Bagi Kedai Rafi pula, ia menyediakan dua tan daun janur tahun ini untuk dijual, tidak jauh berbeza dengan tahun lalu.
Mereka juga mengekalkan harga yang dijual pada tahun lalu iaitu S$4 untuk satu ikat daun janur.
"Walaupun datangnya (daun janur) dengan harga yang mahal sedikit tetapi kita ingin menjaga harganya," kongsi pekerjanya, Encik Mohamed Rashid Zainal Abidin.
"Jadi pelanggan tidak lari. Kalau kita meletakkan harga yang terlalu mahal, mungkin ada tempat yang jual lebih murah. Jadi kita akan kehilangan pelanggan juga. Jadi ada persaingannya," tambah beliau.
BEKALAN SAYUR TERJEJAS AKIBAT HUJAN LEBAT, HARGA NAIK SEHINGGA SEGANDA
Menurutnya lagi, meskipun ada bekalan sayur-sayuran yang tidak terjejas oleh musim hujan baru-baru ini, namun ada yang terjejas juga lebih-lebih lagi dari segi harga yang lebih mahal.
"Sekarang ini, harga kacang panjang dan timun itu naik. Kacang panjang daripada S$4, S$5 kita biasa jual, sekarang ini S$7, S$8 untuk satu kilogram. Ia mungkin terjejas daripada banjir," jelas Encik Rashid.
Bagi para pengunjung yang ditemui BERITA Mediacorp, mereka rata-rata terima dan memahami akan kenaikan harga itu.
"(Harga) barang naik itu biasa sahaja. Ayam dahulu satu paket S$11. Sekarang Hari Raya, ada kenaikan kepada S$12. Udang yang tahun lepas kita dapat dalam S$12, S$13, sekarang sudah naik kepada S$14, S$16. Namun okey, Alhamdulillah sebab kita tahu 2025 ini semua naik akibat GST yang naik," kongsi Cik Faridah Yusoff kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Apa yang saya perhatikan untuk tahun ini, ada peningkatan sedikit daripada tahun lepas oleh kerana inflasi negara telah pun meningkat. Walau bagaimanapun, pemerintah ada memperuntukkan baucar-baucar yang kita boleh gunakan di sini dan ia membantu untuk kami kami orang-orang Melayu Singapura," menurut Encik Mohd Noor Fadilah pula.
BERBELANJA DI PASAR GEYLANG SERAI LEBIH BERBALOI
Ada juga yang mendapati bahawa harga bagi barangan yang ditawarkan di pasar Geylang Serai itu lebih berpatutan jika dibandingkan di pasar-pasar lain.
"Saya selalu beli ayam di Sheng Siong, kalau satu paket itu sahaja sudah S$12. Walaupun sudah dipotong tetapi kalau macam itu sahaja untuk satu keluarga makan, kirakan mahal. Jadi kalau beli di sini (Geylang) keluarga boleh makan lebih banyak. Jadi lagi berbaloi untuk datang ke Geylang," ujar Cik Haziqah Abdullah.
"Kalau kita ingin membezakan dengan harga di (pasar) berdekatan estet-estet perumahan, di sini (Geylang) lebih murah," menurut seorang lagi pengunjung, Cik Rosyanti Ibrahim.
Faktor tarikan itu juga menyebabkan keadaan di Pasar Geylang Serai semakin sesak pada hujung minggu terakhir Ramadan dengan ada yang sudah datang berbelanja seawal 6.30 pagi pada Sabtu (29 Mac).
KEADAAN SESAK TERUTAMA DI GERAI DAGING DAN AYAM
Sewaktu BERITA Mediacorp mengunjungi Pasar Geylang Serai pada 9.00 pagi, keadaan sesak disaksikan terutama di gerai-gerai yang menjual daging dan ayam, dengan pelanggan datang bertali arus.
Pemilik gerai Mohamad Ali, Encik Husni Hashim berkata jumlah pelanggan yang datang pada hari ini (29 Mac) adalah yang paling tinggi berbanding hari-hari sebelumnya.
Selain permintaan yang tinggi, harga yang ditetapkan pembekal juga memerlukannya untuk naikkan harga sebanyak 20 peratus.
"Tentang harga pada tahun ini, ia mahal sedikit daripada tahun lepas kerana barang yang kita beli daripada pembekal itu naik. Jadi kita terpaksa menjual mahal sikit daripada tahun lepas dan taraf kehidupan juga sudah semakin meningkatkan? Jadi kita perlu ikut kepada zaman," kongsi Encik Husni kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Ada pelanggan juga yang datang lebih awal, iaitu sejak Selasa lalu untuk berbelanja bahan yang boleh dibekukan.
"Mungkin mereka sudah belajar dari pengalaman yang sudah-sudah, tidak ingin menumpukan pada tiga hari terakhir Ramadan, takut ramai. Jadi mereka sudah datang lebih awal dahulu daripada Selasa, Rabu dan Khamis," jelas Encik Husni.
KEKALKAN HARGA DAGING, PENIAGA SERAP KOS
Untuk Pemilik Mutton King, Encik Abdillah Malik pula, meski perlu hadapi kos yang semakin meningkat, mereka memilih untuk mengekalkan harga daging.
"Tahun ini, kita mengekalkan harga yang sama seperti tahun lalu. Meskipun kos semakin meningkat tetapi tidak apa, sebab bulan Ramadan bukan? Jadi kita menyerap apa-apa sahaja kos, apa yang kita mampu," kongsi Encik Abdillah,
Seperti Encik Husni, Encik Abdillah juga mendapati pelanggan yang datang lebih awal untuk berbelanja, bagi mengelak kesesakan.
"Orang sudah mula berbelanja untuk Hari Raya sejak daripada minggu lepas. Hari Jumaat, pasar sudah mula sesak tetapi hari ini dan esok memang kemuncaknya perniagaan Hari Raya," ujar Encik Abdillah.
"Orang beli lebih siang jadi senang boleh disimpan. Jika datang pada hari ini dan esok, memang agak sesak sekali. Hari ini sahaja boleh lihat sesaknya macam mana," tambah beliau.
BEKALAN DIKEKALKAN DI TENGAH-TENGAH PESAING ONLINE
Bagi kedua-kedua peniaga itu, bekalan yang disediakan tahun ini sama seperti tahun lalu.
Ini lebih-lebih lagi dengan persaingan sengit oleh para peniaga di wadah online.
"Bab ingin menaikkan (bekalan) ini, sebab kita sekarang mempunyai beberapa pesaing di luar. Kita ada peniaga online dan ramai yang menjual produk yang sama seperti kita. Jadi tahun ini, kita tidak berani untuk melepasi batasan dan menambah lagi jualan. Jadi kita kekal seperti biasa," ujar Encik Abdillah.
"Bekalan yang saya tempah juga lebih kurang sama (dengan tahun lalu). Saya tidak berani tempah lebih kerana belum tahu jangkaan sambutan seperti mana untuk Hari Raya tahun ini," kongsi Encik Husni pula.
Para peniaga itu juga menjangkakan lebih ramai pengunjung yang akan berbelanja di pasar Geylang Serai esok (30 Mac) menjelang Lebaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.