Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muruku 'air fryer' antara resipi sihat yang kian popular waktu Deepavali

Pada Deepavali ini, beberapa inisiatif diusahakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemakanan berkhasiat dan versi resipi hidangan tradisi yang lebih sihat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada Deepavali ini, beberapa inisiatif diusahakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemakanan berkhasiat dan versi resipi hidangan tradisi yang lebih sihat.

Para pengamat makanan yang ditemui BERITA Mediacorp berkongsi, semakin ramai yang mencari alternatif hidangan dan snek popular Deepavali.

Antaranya ialah muruku - snek popular yang sering dihidangkan semasa musim perayaan.

Lazimnya, ia digoreng menggunakan teknik 'deep fry', menggunakan minyak yang banyak untuk dapatkan teksturnya yang rangup.

Namun, pencipta kandungan, Cik Rajeswari Vijayanand dari Rak's Kitchen membuktikan snek popular itu boleh dibuat dengan cara yang lebih sihat.

(Ihsan: Rak's Kitchen)

DIDORONG OLEH HAMPIR 2 JUTA PENGIKUT MEDIA SOSIAL

Didorong oleh permintaan hampir dua juta pengikutnya di Facebook dan Instagram, suri rumah itu mula berkongsi resipi dan tip hidangan yang lebih berkhasiat, dengan mengurangkan minyak.

"Anda boleh mengurangkan kalori secara perlahan-lahan dengan menggantikan sebahagian makanan yang digoreng dengan hidangan yang dibakar atau sesuatu yang lebih sihat. Sebagai contoh, terdapat versi samosa bakar, jadi anda boleh membuat vadai dalam 'air fryer'. Kita boleh menggantikan sebahagian barangan yang digoreng dengan makanan yang digoreng atau dibakar," jelas Cik Rajeswari kepada wartawan Syawal Yusoff. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut Cik Rajeswari yang sudah 18 tahun berkongsi resipinya, resipi muruku versi lebih sihat itu merupakan yang paling popular dalam kalangan para pengikutnya.

Selain warga tempatan, sebilangan besar pengikutnya juga adalah dari India.

Sebagai vegetarian, resipi-resipi yang dikongsikannya juga banyak menggunakan ramuan sayuran dan tidak menggunakan telur.

"Saya mula berkongsi resipi gorengan di laman web saya. Tahun demi tahun berlalu sekarang, semakin ramai yang mengutamakan kesihatan. Semakin ramai yang mula meminta saya berkongsi versi resipi yang lebih sihat. Akhirnya saya mencuba apa sahaja yang boleh digoreng secara tradisional dan kemudian mula mencubanya dalam versi bakar," tambahnya. 

Ini juga memberinya ilham untuk mempelbagaikan resipi tersebut dengan bahan-bahan yang lebih sihat.

"Dari menggunakan tepung beras, kita boleh sama ada menukar sepenuhnya atau hanya menggantikan sebahagian tepung beras dengan tepung 'millet' supaya ada sedikit khasiat pada resipi tradisional. Kita juga boleh menambahkan puri bayam atau puri sayuran seperti ubi bit. Jika anda menambah puri ubi bit, maka anda boleh mendapatkan muruku merah jambu jadi itu menambah sedikit nilai pemakanan," jelas Cik Rajeswari.

(Gambar: Syawal Yusoff)

KURANGKAN SAIZ HIDANGAN SEMASA KUNJUNG MENGUNJUNG

Lagi seorang yang mahu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang resipi lebih sihat sempena Deepavali ialah konsultan pemakanan Cik Sowmiya Venkatesan. 

Menurutnya, sebilangan hidangan tradisional Deepavali sebenarnya berkhasiat kerana teknik masakan yang digunakan seperti mengukus.

Selain itu bahan-bahan yang digunakan juga tinggi kandungan khasiatnya.

Di tengah-tengah kemeriahan menyambut Deepavali, bekas finalis Masterchef Singapura musim pertama itu turut memberi tip bagaimana untuk menjaga pemakanan dalam menikmati juadah yang dihidangkan semasa pergi kunjung-mengunjung. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Jika saya pergi ke rumah seseorang dan saya berkata, 'Apa yang anda buat di rumah?’ Apa sahaja yang mereka buat di rumah, saya akan mencubanya dahulu. Mengapa? Kerana saya tahu bahawa mereka akan menggunakan bahan-bahan terbaik, kerana itu adalah sesuatu yang mereka buat dengan kasih sayang untuk anak-anak, orang tua dan keluarga mereka," jelasnya.

Beliau juga menekankan tentang pentingnya untuk mengawal saiz hidangan apabila menjamu selera terutama sekali pada musim perayaan ini. 

"Adalah baik untuk mempunyai sesuatu yang sangat 'savory' dan sesuatu yang manis di rumah mereka. Anda boleh meminta kuantiti yang lebih kecil, minta tuan rumah hidangkan jumlah makanan yang sedikit," tambahnya.

Menerusi syarikatnya, Kechil Kitchen, Cik Sowmiya juga menggunakan wadah media sosial untuk menggalak pemakanan yang lebih sihat dalam menikmati hidangan tradisi.

(Ihsan: Kechil Kitchen)
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan