Murid tadika PCF Sparkletots belajar lafaz ikrar negara dalam Bahasa Ibunda; semai cinta terhadap S'pura
Sempena Hari Kebangsaan ini, murid-murid tadika PCF Sparkletots dibimbing untuk melafazkan ikrar negara dalam Bahasa Ibunda masing-masing.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
SINGAPURA: Sempena Hari Kebangsaan ini, murid-murid tadika PCF Sparkletots dibimbing untuk melafazkan ikrar negara dalam Bahasa Ibunda masing-masing.
Ia sebahagian daripada kempen "Memperingati Asal Usul Kita" yang dianjurkan oleh tadika PCF tahun ini.
"Singapura adalah sebuah negara dengan berbilang kaum dan bangsa dan kami ingin kanak-kanak kami berasa bangga terhadap kepelbagaian budaya yang ada.
"Jadi mendidik kanak-kanak mengenai asal usul budaya pada usia muda adalah penting kerana ia bantu untuk membangunkan jati diri dan pemahaman terhadap budaya mereka sendiri.
"Kami percaya bahasa Ibunda membentuk komponen penting dalam asal usul kami dan menyasarkan untuk membantu kanak-kanak memulakan perjalanan mereka mempelajari Bahasa Ibunda mereka seawal mungkin," kata Angela Yang, Timbalan Pengarah Pembangunan Profesional & Pendidikan di PCF.
Selain dapat membangunkan jati diri, kegiatan itu juga dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.
"Saya gembira dan bangga dapat belajar ikrar Singapura dalam Bahasa Melayu," kata salah seorang murid tadika, Ariqah Sofea Rahmat.
"Pada pandangan saya ia memberi kesan yang baik dan positif untuk generasi baru dan supaya mereka lebih memahami dan pelajari Bahasa Melayu dengan lebih baik lagi," kata Nahyuniwati Ahmad, ibu kepada Ariqah.
Dalam Bahasa Melayu, ikrar negara diterjemahkan:
"Kami, warganegara Singapura sebagai rakyat yang bersatu padu,
tidak kira apa bangsa, bahasa atau agama
Berikrar untuk membina suatu masyarakat yang demokratik,
berdasarkan kepada keadilan dan persamaan untuk mencapai kebahagiaan,
kemakmuran dan kemajuan bagi negara kami"
Demi memastikan proses pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan, murid-murid tadika PCF Sparkletots turut diajar untuk menghasilkan projektor 'hologram' yang mana ia dapat memancarkan rakaman rakan-rakan mereka melafazkan ikrar negara.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.