Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid St Stephen's beraya dalam kuarantin

Mereka baru keluar beraya pada hari pertama Aidilfitri dan tinggal satu sahaja kertas peperiksaan untuk diduduki sebelum cuti pertengahan tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mereka baru keluar beraya pada hari pertama Aidilfitri dan tinggal satu sahaja kertas peperiksaan untuk diduduki sebelum cuti pertengahan tahun.

Namun rancangan keluarga Cik Suhaila Rahmat dan suaminya Mohamad Sofiyan untuk menziarah sanak saudara dan aktiviti cuti sekolah terpaksa dibatalkan.

Ini selepas anak sulung mereka Shofi Yushua Mohamad Sofiyan, sembilan tahun, dikenal pasti sebagai kontak rapat kes jangkitan COVID-19 di Sekolah St Stephen's.

"Oleh kerana Shofi dan anak kecil saya Saffie Gavrie akan melalui peperiksaan bahasa Melayu mereka pada hari Jumaat, kami memutuskan untuk pulang beraya lebih awal untuk mengulang kaji pelajaran."

"Kami berjanji akan membawa mereka keluar beraya selepas kertas peperiksaan mereka," kongsi Cik Suhaila.

Mereka menerima panggilan pada malam hari raya pertama, memberitahu mereka mengenai dua kes COVID-19 di Sekolah St Stephen's yang disahkan.

Shofi, murid darjah tiga di St Stephen's turut dikenalpasti sebagai kontak rapat kes tersebut.

Oleh yang demikian, dia dikenakan Perintah Kuarantin seperti yang diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan (MOH).
Suhu badan Shofi mencecah 38 darjah Selsius pada keesokan pagi, dan dia dikehendaki menjalani ujian swab.

"Dia dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) bagi ujian swab. Demam yang dialaminya memang sesuatu yang tidak dijangka, jadi kamu suami isteri merasa cemas," kata beliau.

Mujur hasil ujian swabnya negatif.

Cik Suhaila menemani Shofi yang perlu menjalani kuarantin di kemudahan Hotel Grand Mercure sehingga 25 Mei ini.

Mujur, suami dan anak bongsunya tidak
dikenakan notis jangan keluar rumah apabila keputusan swab Shofi negatif.

Menurut Cik Suhaila, beliau memastikan aktiviti seharian Shofi diteruskan meskipun dikuarantin.

Waktu Shofi diisi dengan pembelajaran di rumah, mengikuti kelas tuisyen dan agama serta latihan bola sepak secara maya.

"Kami berterima kasih juga oleh kerana semua pusat tuisyen dan kelas agama telah beralih ke wadah maya. Jadi bila kami berada di bilik ini, Shofi tetap mempunyai aktiviti untuk mengisi waktunya."

Meskipun terpisah dengan anggota keluarga lain, mereka tetap memastikan dapat duduk "makan semeja."

Malah mereka berhubungan menerusi panggilan video beberapa kali dalam sehari.

Menurut Cik Suhaila ia juga satu cara memastikan kedua-dua anak mereka tidak terlalu terjejas dari segi emosi.

Mengenai rancangan semasa cuti sekolah akan datang, pasangan ini sudah mengaturkan pelbagai kegiatan menarik dan selamat di rumah.

"Varian baru ini sangat berbahaya dan mudah menjangkiti kanak-kanak, itu yang membimbangkan dan mengkhuatirkan," kata Cik Suhaila. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan