Murid sekolah rendah mesti jalani ujian ART setiap 2 minggu hingga akhir penggal
Murid-murid sekolah rendah perlu mengambil ujian pantas antigen (ART) dua minggu sekali sehingga hujung Penggal 4, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).
SINGAPURA: Murid-murid sekolah rendah perlu mengambil ujian pantas antigen (ART) dua minggu sekali sehingga hujung Penggal 4, menurut Kementerian Pendidikan (MOE).
Ujian itu akan "memupuk sikap tanggungjawab sosial" dalam kalangan murid-murid dan memastikan persekitaran sekolah selamat untuk pembelajaran, menurut MOE pada Khamis (21 Okt) dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.
Keperluan itu juga terpakai bagi murid-murid sekolah pendidikan khas.
Pihak sekolah akan mengagihkan 10 kit ujian ART kepada setiap murid mulai 25 Oktober, tambah kenyataan itu lagi.
Satu ujian harus dilakukan pada minggu antara 25 Oktober hingga 31 Oktober dan satu lagi pada minggu antara 8 November hingga 14 November.
Mereka diberikan masa sehingga akhir minggu yang ditetapkan untuk melakukan ujian swab.
Murid-murid yang diuji positif menerusi ujian ART namun dalam keadaan sihat harus mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan (MOH) dan menjalani pengasingan selama 72 jam, menurut MOE. Satu lagi ujian kendiri ART harus dijalankan.
"Murid-murid itu boleh menamatkan tempoh pengasingan diri dan kembali ke sekolah apabila diuji negatif menerusi ujian ART," menurut MOE.
Mereka yang kurang sihat harus mendapatkan rawatan perubatan di Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) Swab dan Hantar Pulang.
"Kami menggesa semua murid dan kakitangan supaya terus mengamalkan kebersihan diri dan melaksanakan tanggungjawab sosial menerusi ujian berkala ini," menurut MOE.
Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong berkata pada Rabu bahawa walaupun langkah pengurusan selamat "sangat ketat" dilaksanakan di sekolah-sekolah, menjalankan ujian dengan kerap bagi para pelajar dan kakitangan akan membantu mengurangkan penularan jangkitan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.