Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid kurang daya pendengaran akan diberi sokongan di tadika MOE Sekolah Rendah Mayflower mulai 2022

Maklumat bagi proses pendaftaran kanak-kanak kurang daya pendengaran akan didedahkan pada Februari 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Nov 2020 03:09PM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 10:38PM

SINGAPURA: Sokongan untuk kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah pendengaran akan disediakan di tadika Kementerian Pendidikan (MOE) di Sekolah Rendah Mayflower bagi kohort K1 2022.

Ini adalah sokongan kali pertama untuk kanak-kanak yang memerlukan arahan yang disampaikan dalam bahasa isyarat disediakan di tadika MOE, menurut kementerian itu pada Khamis (12 Nov).

"Kami percaya lebih awal kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran didedahkan kepada Bahasa Isyarat Singapura, lebih baik lagi asas mereka," menurut Menteri Negara Pendidikan Sun Xueling.

"Ia akan membantu membina keyakinan mereka dan membolehkan mereka untuk berinteraksi dengan lebih baik bersama rakan-rakan sebaya."

Tadika MOE di Sekolah Rendah Mayflower akan mempunyai sekitar 120 murid bagi setiap K1 dan K2 apabila dibuka pada 2021.

Antara tujuh hingga 10 murid dijangka memerlukan sokongan sedemikian dalam setiap kohort mulai 2022.

Sejak 2018, Sekolah Rendah Mayflower sudah dikhususkan sebagai sekolah rendah untuk kanak-kanak sedemikian yang memerlukan arahan dalam bahasa isyarat. Sembilan murid kini menuntut di sekolah tersebut.

MOE menyatakan pihaknya melanjutkan sokongan khusus itu ke peringkat tadika kerana buat masa ini tiada tadika yang dikhususkan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran.

Program bahasa isyarat di tadika itu akan menyokong kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran dari peringkat sederhana sehingga teruk untuk mencekapkan mereka menggunakan Bahasa Isyarat Singapura, menurut MOE dalam kenyataan medianya.

Kanak-kanak akan disediakan dengan guru bahasa isyarat supaya mereka boleh mengikuti kurikulum tadika MOE.

Terapi pertuturan dan bahasa serta perkhidmatan audiologi juga akan disediakan.

Apabila Sekolah Rendah Mayflower berpindah ke tapak baru sebelum hujung 2021, para murid dengan masalah pendengaran akan mendapat sokongan akademik tambahan di sebuah bilik khusus.

Isyarat visual seperti lampu yang menandakan kecemasan ataupun waktu rehat akan dipasang di merata sekolah, kata Pengetua Sekolah Rendah Mayflower Cik Lim-Chua Siow Ling.

Maklumat bagi proses pendaftaran kanak-kanak kurang daya pendengaran akan didedahkan pada Februari 2021. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan