Murid K2, Darjah 2 hingga 6 dikehendaki duduk di rumah pada hari pertama penggal baru
Murid K2 dan Darjah 2 hingga Darjah 6 dikehendaki duduk di rumah pada hari pertama penggal baru sekolah pada 4 Januari 2021. Ini bagi memudahkan langkah-langkah pengurusan selamat untuk murid-murid K1 dan Darjah 1, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (18 Dis).
Gambar fail seorang murid sekolah rendah (Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Murid K2 dan Darjah 2 hingga Darjah 6 dikehendaki duduk di rumah pada hari pertama penggal baru sekolah pada 4 Januari 2021. Ini bagi memudahkan langkah-langkah pengurusan selamat untuk murid-murid K1 dan Darjah 1, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (18 Dis).
Para murid yang melangkah ke K2 dan dari Darjah 2 hingga darjah 6 pada tahun depan dikehendaki hadir di sekolah hanya pada 5 Januari, tambah MOE.
Para pelajar sekolah menengah dan sekolah Pendidikan Khas akan memulakan penggal baru pada 4 Januari, sementara para penuntut maktab rendah dan Institut Millennia akan memulakan kuliah masing-masing pada 11 Januari.
Token TraceTogether tidak akan diwajibkan apabila sekolah dibuka semula dan hanya diperlukan apabila ia selesai diagihkan kepada seluruh negara, menurut kementerian tersebut.
SATU IBU BAPA SAJA BAGI SETIAP MURID K1, DARJAH 1
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, hanya salah seorang ibu bapa atau penjaga dibenarkan menemani anak mereka yang memasuki K1 atau Darjah 1 ke sekolah baru pada tahun depan.
"Bagi memastikan sekolah tetap menjadi tempat yang selamat untuk mendidik dan belajar, langkah-langkah pengurusan selamat akan terus dilaksanakan apabila sekolah dibuka semula, termasuk pemeriksaan visual dan pemeriksaan suhu badan, menjaga kebersihan diri dan mematuhi peraturan jarak selamat bagi murid dan kakitangan sekolah," menurut MOE.
MOE juga mengingatkan para murid yang tidak sihat dengan gejala seperti selesema untuk mendapatkan rawatan perubatan dan jangan ke sekolah.
Bagi menampung ibu bapa murid K1, Jagaan Tadika di Tadika MOE tidak akan beroperasi untuk kanak-kanak K2 pada 4 Januari.
Pusat jagaan pelajar yang ditempatkan dalam sekolah rendah tetap akan dibuka pada sebelah petang untuk murid Darjah 2 hingga Darjah 6.
KEGIATAN, ACARA SEKOLAH DITERUSKAN PADA 2021
Apabila sekolah dibuka semula pada tahun depan, sebahagian besar kegiatan luar darjah dan acara sekolah akan dibenarkan, menurut MOE.
Namun kegiatan-kegiatan yang berisiko tinggi akan digantung atau dihadkan kepada kumpulan yang lebih kecil.
Pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan akan disambung semula untuk divisyen "A", "B" dan "Senior" yang memenuhi garis panduan nasional, bermula dari pertengahan hingga lewat Februari depan.
Mulai hujung Mac hingga awal Mei, Persembahan Seni Pesta Belia Singapura untuk sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia juga akan disambung semula untuk acara-acara yang memenuhi garis panduan nasional.
Kegiatan-kegiatan yang dibenarkan disambung semula adalah seperti berikut:
(Sumber: MOE)
"Aktiviti-aktiviti ini akan dijalankan dengan pengubahsuaian yang diperlukan di samping langkah-langkah pengurusan selamat bagi menjaga keselamatan para peserta dan penganjur," tegas MOE.
"Kami sedang berusaha bagaimana sukan-sukan dan acara Persembahan Seni Pesta Belia Singapura yang lain yang tidak memenuhi garis panduan nasional dapat disambung semula dengan cara yang selamat dan bermakna untuk musim 2021 dan perinciannya akan diumumkan secara berasingan".
Maklumat tambahan mengenai kegiatan divisyen "Junior" dan "C", yang dijadual berlangsung pada separuh kedua 2021 juga akan diumumkan kemudian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.