Skip to main content

Singapura

Murid Darjah 5, pelajar Menengah 3 dapat tidur 15 minit lebih lama pada 2025 berbanding 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Murid Darjah 5, pelajar Menengah 3 dapat tidur 15 minit lebih lama pada 2025 berbanding 2023

Pelajar dalam kelas di sekolah Tinggi Presbyterian, 22 Okt 2025. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 06:28PM
SINGAPURA: Murid Darjah 5 dan pelajar Menengah 3 mendapat 15 minit masa tidur tambahan pada hari persekolahan pada tahun 2025 berbanding tahun 2023, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (5 Ogos).

Berdasarkan tinjauan terbaharu kementerian, pelajar terbabit mendapat purata masa tidur sekitar tujuh jam pada hari persekolahan, kata Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Syed Harun Alhabsyi di parlimen.

Jumlah ini masih kurang berbanding tempoh sembilan hingga 11 jam yang disyorkan untuk kanak-kanak berumur 11 hingga 13 tahun, dan lapan hingga 10 jam bagi remaja berumur 14 hingga 17 tahun, menurut laman HealthHub Kementerian Kesihatan (MOH).

Dr Syed Harun menjawab soalan parlimen daripada Dr Choo Pei Ling (PAP-Chua Chu Kang) mengenai sama ada pemerintah memantau trend tidur dalam kalangan kanak-kanak persekolahan, serta langkah yang sedang dipertimbangkan untuk meningkatkan kesihatan tidur mereka.

Beliau memetik beberapa langkah yang sudah pun dilaksanakan. Peranti pembelajaran peribadi bagi pelajar sekolah menengah ditetapkan untuk memasuki mod tidur pada pukul 10.30 malam secara automatik sejak Januari.

Sekolah-sekolah juga mengajar pelajar amalan tidur yang sihat, termasuk waktu tidur yang teratur serta mengelakkan kafein dan peranti digital sebelum tidur, sebagai sebahagian daripada pelajaran pengurusan diri dan masa.

Secara berasingan, MOE bekerjasama dengan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk melibatkan ibu bapa dalam menyokong kesihatan tidur anak-anak mereka menerusi sesi bersama pakar perubatan.

Dalam soalan tambahan, Dr Choo bertanya sama ada MOE sedang menilai mutu tidur pelajar, dan sama ada kementerian akan mempertimbangkan projek perintis untuk memulakan waktu persekolahan lebih lewat bagi pelajar yang lebih tua.

MOE pada masa ini tidak mempunyai data mengenai mutu tidur pelajar, kata Dr Syed Harun. Mengenai waktu mula sekolah, beliau menarik perhatian bahawa sekolah-sekolah sudah mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan, dengan syarat sesi persekolahan bermula tidak lebih awal daripada pukul 7.30 pagi.

Namun, menunda waktu mula sekolah ke jam yang lebih lewat mempunyai kesannya yang tersendiri, tambah beliau.

"Sebagai contoh, apabila kita menunda waktu mula sekolah lebih lewat, ini juga bermakna sesi persekolahan mungkin berlanjutan hingga lewat petang, di mana cuaca boleh menjadi panas dan lembap serta kurang ideal untuk pembelajaran," katanya.

Pelajar juga akan dibenarkan pulang lebih lewat, yang boleh menjejaskan aktiviti atau program selepas waktu sekolah, tambah beliau.

"Saya meminta agar kita mengambil pendekatan seimbang berhubung waktu mula sekolah dan kita memberikan kebebasan khusus kepada sekolah-sekolah untuk berbuat demikian."
Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita