Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid Darjah 1-3, pelajar Menengah 1-2 akan terus belajar di rumah selepas cuti bulan Jun

Semua murid Darjah 1 hingga Darjah 3 akan terus belajar di rumah sepenuhnya pada minggu pertama Penggal 3 yang bermula pada Isnin, 28 Jun, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (14 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jun 2021 06:11PM Dikemas Kini : 15 Jun 2021 12:48AM

SINGAPURA: Semua murid Darjah 1 hingga Darjah 3 akan terus belajar di rumah sepenuhnya pada minggu pertama Penggal 3 yang bermula pada Isnin, 28 Jun, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (14 Jun).

Para pelajar Menengah 1 dan Menengah 2 juga akan menjalani pembelajaran di rumah (HBL) selama tiga hari, iaitu sehingga 30 Jun, dan akan pulang ke sekolah mulai 1 Julai, tambah kementerian tersebut dalam kenyataan medianya.

Para murid Darjah 4 hingga Darjah 6 dan para pelajar Menengah 3 hingga Menengah 5, serta semua pelajar maktab rendah dan Institut Millennia akan kembali ke maktab masing-masing mulai 28 Jun, menurut kenyataan itu lagi.

Selepas itu, barulah semua pelajar dari setiap peringkat akan kembali ke sekolah mulai 6 Julai iaitu pada hari Selasa. Hari Belia jatuh pada Isnin, 5 Jul yang juga merupakan cuti sekolah.

Aturan-aturan itu bagi "memudahkan sekolah-sekolah dibuka semula" apabila Penggal 3 bermula pada 28 Jun, menurut MOE.

Bagi para murid sekolah-sekolah khas pula, jadual mereka pulang ke sekolah akan dilakukan secara bertahap-tahap mulai 28 Jun "berdasarkan keperluan para murid". Semua murid dan pelajar juga akan kembali ke sekolah mulai 6 Jul.

Tadika-tadika MOE dan pusat-pusat jagaan pelajar yang ditempatkan di sekolah-sekolah akan dibuka sepenuhnya mulai 28 Jun bagi "memudahkan aturan penjagaan", dedah MOE.

Kegiatan luar darjah (CCA) yang dilakukan secara fizikal akan disambung semula secara bertahap-tahap mulai minggu kedua Penggal 3, bermula dengan "kegiatan yang berisiko rendah", menurut MOE selanjutnya.

"Memandangkan pergaulan antara pelajar dari sekolah-sekolah berbeza perlu dikurangkan, sejajar dengan penyambungan semula kegiatan pelajar secara bertahap-tahap, Pertandingan Sekolah Kebangsaan bagi peringkat rendah dan Divisyen C serta baki perlawanan Divisyen A akan dibatalkan."

Bagi kelas-kelas yang diadakan di pusat-pusat tertentu seperti bahasa ketiga dan juga program elektif seni dan muzik, pelajar tahun akhir akan menyambung kelas mereka secara bertemu muka mulai minggu pertama Penggal 3, menurut MOE.

Para pelajar peringkat lain akan terus belajar di rumah sehingga kelas di pusat-pusat tersebut disambung semula secara fizikal untuk semua pelajar mulai minggu kedua.

Institusi-institusi pengajian tinggi akan "menambah secara berperingkat" bilangan pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus untuk kelas fizikal.

Mulai 21 Jun, kelas dalam kumpulan-kumpulan kecil atau konsultasi yang sebelum itu diadakan secara online boleh disambung semula di kampus, dedah MOE dalam kenyataan media yang sama.

Sesi penting makmal atau latihan amali boleh terus diadakan di kampus, dan peperiksaan juga boleh diadakan secara fizikal dengan tidak lebih 50 orang di setiap lokasi. Kelas dan kuliah yang melibatkan lebih 50 orang akan terus diadakan secara online, kata MOE.

Semua institusi pendidikan swasta "sangat digalakkan" supaya merujuk kepada langkah-langkah yang diusulkan bagi sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi dan memutuskan sendiri sama ada mereka mahu melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat daripada yang dikuatkuasakan pada peringkat nasional, kata MOE.

Semua kelas tuisyen dan pengayaan untuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun boleh disambung semula secara fizikal mulai 21 Jun. Pusat-pusat berkenaan, serta kelas-kelas sukan, seni dan budaya masing-masing harus mematuhi garis panduan terkini dari MOE dan juga SportSG dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

"MOE sangat-sangat menggalak semua ibu bapa dan pelajar supaya memainkan peranan masing-masing dengan terus mengamalkan sikap tanggungjawab sosial untuk mengurangkan risiko jangkitan di institusi-institusi pendidikan kita. Sangat penting untuk semua pelajar dan anggota kakitangan terus mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan dan mengamalkan tahap kebersihan diri yang baik," tambah MOE dalam kenyataannya itu.

Sambil menekankan bahawa pelajar dan kakitangan harus berjumpa doktor dan tidak ke sekolah jika mereka tidak sihat, MOE juga mengingatkan para ibu bapa supaya membenarkan anak mereka duduk di rumah jika anggota keluarga yang tinggal serumah mengalami simptom seperti selesema.

Kanak-kanak boleh pulang ke sekolah jika ahli keluarga mereka disahkan negatif COVID-19, kata MOE.

"MOE akan terus memantau situasi dengan teliti dan membuat penyesuaian selaras dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah."

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan