Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksin boleh sertai Sukan Sekolah Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Murid-murid berusia 12 tahun dan ke bawah serta yang lebih tua, yang tidak layak dari segi perubatan untuk vaksinasi, boleh menyertai Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) akan datang. Ini walaupun mereka harus melakukannya dalam kumpulan lima orang atau kurang, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (18 Mac).

Sebelum ini, untuk menyertai sebarang sukan, murid-murid perlu lengkap divaksin, pulih daripada COVID-19 atau tidak layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksinasi.

Pada penggal persekolahan yang bakal bermula Isnin ini (21 Mac), kesemua 29 sukan di bawah NSG akan disambung semula bagi murid yang sudah divaksin dan juga mereka yang sudah pulih daripada COVID-19.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, MOE menyatakan murid yang tidak divaksin boleh mengambil bahagian dalam NSG, "bergantung kepada kumpulan usia mereka dan jenis sukan".

"Sebagai contoh, murid berusia 12 tahun dan ke bawah boleh menyertai sukan yang boleh dilakukan mengikut had saiz kumpulan negara seramai lima orang, tanpa mengira status vaksinasi," menurut MOE.

Ini bermakna mereka berusia 12 tahun dan ke bawah, yang tidak divaksin, boleh menyertai sukan dalam kumpulan lima orang atau kurang.

Pelajar berusia 13 tahun dan ke atas, yang tidak divaksin, tidak dibenarkan menyertai NSG tetapi mereka yang tidak layak dari segi perubatan untuk vaksinasi boleh mengambil bahagian dalam kumpulan sehingga lima orang.

Bagi murid sudah divaksin, mereka boleh menyertai sukan berpasukan yang melibatkan sehingga 30 orang.

"Selaras dengan garis panduan terkini Sport Singapore, yang membenarkan sehingga 30 orang lengkap divaksin untuk menyertai sukan berpasukan lebih besar, NSG 2022 akan dijalankan dalam format standard bagi semua sukan kecuali ragbi yang akan dimainkan dalam format 7v7," menurut MOE.

Beberapa sukan berpasukan yang melibatkan kumpulan lebih besar, seperti bola sepak dan hoki, tidak dimainkan dalam format standard sejak 2020 apabila sekatan saiz kumpulan dilaksanakan.

Tahun lalu, hanya 12 sukan disambung semula di bawah NSG, manakala 17 sukan kekal digantung. Sukan yang disambung semula adalah sukan perseorangan terutamanya seperti boling atau golf ataupun yang menampilkan kumpulan lebih kecil seperti bola tampar 3 lawan 3 serta sepak takraw.

MOE menambah bahawa sejak Selasa (15 Mac), sekolah-sekolah sudah memulakan latihan untuk sukan-sukan ini dalam format standardnya.

Kementerian itu menambah ia akan bekerjasama dengan majlis sukan dan sekolah untuk memastikan keselamatan murid serta kakitangan. Ini di samping memastikan langkah-langkah pengurusan selamat akan dilaksanakan semasa NSG.

Oleh kerana musim pertandingan yang lebih singkat, sesetengah sukan juga akan dimainkan hanya di peringkat zon sahaja.

"Selain itu, untuk membantu atlit pelajar menyesuaikan semula diri kepada pertandingan penuh, aturan seperti penggantian pemain secara berterusan, pengurangan masa bermain dan penambahan masa rehat akan dipertimbangkan," tambah MOE.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan