Skip to main content

Singapura

Murali Pillai pertahan Bukit Batok dengan 54.8% undi; tewaskan ketua SDP Chee Soon Juan

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Murali Pillai mempertahankan kerusi SMC Bukit Batok dengan 54.8 peratus undi, menewaskan Dr Chee Soon Juan dari Parti Demokratik Singapura (SDP), yang meraih 45.2 peratus undi sah.

Anggaran Waktu Membaca:
Murali Pillai pertahan Bukit Batok dengan 54.8% undi; tewaskan ketua SDP Chee Soon Juan

Calon PAP bagi SMC Bukit Batok Murali Pillai bercakap kepada media pada 21 Jul 2020 semasa aktiviti menemui penduduk di Blok 205 Bukit Batok Street 21. (Gambar: Ruth Smalley)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 11:00AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 11:01AM

SINGAPURA: Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Murali Pillai mempertahankan kerusi SMC Bukit Batok dengan 54.8 peratus undi, menewaskan Dr Chee Soon Juan dari Parti Demokratik Singapura (SDP), yang meraih 45.2 peratus undi sah.

Kedua-dua calon itu pernah berentap semasa pilihan raya kecil 2016 dengan Encik Murali memperolehi 61.2 peratus undi sewaktu menentang Dr Chee.

Dalam siaran politik kawasan undinya, Encik Murali menekankan betapa pentingnya untuk memiliki rancangan dan melaksanakannya. Beliau mengambil alih kawasan undi itu dari Encik David Ong, yang mengundurkan diri atas "tingkah laku yang tidak bijaksana".

Sementara itu, Dr Chee, dalam percubaan keduanya untuk menawan kerusi tunggal itu, menyentuh tentang pentingnya memiliki Anggota Parlimen (AP) sepenuh masa dan berkata bahawa beliau berhasrat untuk menjadi AP sepenuh masa bagi SMC Bukit Batok jika dipilih.

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook setelah keputusan pilihan raya itu disahkan, Encik Murali mengucapkan terima kasih kepada para pengundi Bukit Batok dan sukarelawannya.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan agar rancangan yang saya lakar dalam manifesto saya akan menjadi kenyataan dengan sokongan anda," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Chee atas "persaingan hebat" itu, sambil berkata bahawa pertandingan itu membolehkan beliau "lebih memahami" keprihatinan penduduk Bukit Batok dan menambah bahawa beliau akan "bekerja keras untuk menangani isu-isu tersebut".

Bercakap kepada para wartawan di luar ibu pejabat SDP di Ang Mo Kio setelah pengumuman kiraan sampel Bukit Batok, Dr Chee berkata parti itu "akan terus berusaha".

"Kami menjalankan kempen yang sangat baik yang menumpukan perhatian pada dasar dan isu-isu. Sayangnya, kami tidak berjaya,” kata beliau.

"Kami akan terus berusaha melihat apa yang dapat kami perbaiki dan kemudian kembali lebih teguh. Ini adalah kempen yang baik seperti yang saya katakan tadi, dan kami terima seadanya."

Dr Chee juga mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di kawasan undi yang ditandingi SDP serta para penyokong dan sukarelawan parti yang "bekerja tanpa mengenal penat sepanjang kempen".

SMC Bukit Batok ditubuhkan pada 1972. Ia diserapkan ke dalam GRC Bukit Timah pada 1997 dan kemudian menjadi sebahagian daripada GRC Jurong sebelum dijadikan sebagai kerusi tunggal untuk Pilihan Raya Umum 2015.

Terdapat seramai 29,950 pengundi di Bukit Batok bagi pilihan raya kali ini.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita