Skip to main content

Singapura

Mural P. Ramlee oleh Boon Bakes & KidKaijin di *SCAPE beri penghormatan kepada ikon filem Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sumbangan besar dan tidak ternilai ikon dunia seni dan hiburan tempatan, Allahyarham P. Ramlee, telah diabadikan dalam sebuah mural di Taman Belia Somerset.

Lebih menarik lagi, karya bertajuk 'Tan Sri P Ramlee, The Multi-Talented' itu dilukis di Taman Belia Somerset yang pernah digunakan sebagai tapak penggambaran filem komedi klasik 'Bujang Lapok' arahan Allahyarham pada tahun 1957.

Mural itu adalah hasil karya pelukis visual dan grafiti, Taufiq Rosle, yang lebih dikenali sebagai 'Boon Bakes', dengan bantuan pelukis Han, atau 'KidKaijin', sempena pesta seni kreatif *SCAPE comma 2025.

Ia merupakan salah satu daripada empat mural dan sebuah arca seni pemasangan yang dipamerkan sempena acara 'Somerset Threads Murals'.

Menurut Taufiq, karya itu meraikan sumbangan Allahyarham P. Ramlee yang telah meninggalkan impak yang berkekalan terhadap landskap seni dan budaya Melayu setempat.

"Saya memilih untuk melukis gambar Tan Sri P.Ramlee untuk memberi penghormatan untuk seorang penggiat seni yang serba boleh. Beliau boleh mengarah filem, berlakon, menyanyi, menulis lagu dan macam macam lagi," kata Boon Bakes.

Karya itu mengambil masa selama lima hari untuk disiapkan.

"Antara cabaran yang saya hadapi adalah saya hanya diberikan satu malam untuk memikirkan tentang konsep P.Ramlee. Alhamdulillah saya dapat menghabiskan dalam masa yang diberikan," kongsi Boon Bakes.

Taufiq berharap agar orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dapat mengimbau kembali kenangan serta menghargai karya-karya Allahyarham sepanjang perjalanan seninya.

Han, yang turut membantu dalam proses penghasilan karya ini, juga berasa puas hati dengan hasil yang tercapai.

Sebagai peserta Program 'Street Arts Residency' Belia *SCAPE, beliau merasakan projek itu memberi peluang untuk belajar daripada para artis grafiti lain serta mengembangkan ilmu dan kemahirannya dalam dunia seni lukisan.

Han berharap mural yang dihasilkan itu dapat memberi rasa identiti kepada masyarakat Melayu di Singapura.

Beliau juga sempat berkongsi pengalamannya sepanjang melukis mural tersebut.

"Saya harap mural ini dapat memberi rasa identiti kepada masyarakat Melayu, kerana sebagai seorang Melayu, saya melihat P. Ramlee sebagai ikon dalam filem-filem dan lagu-lagunya. Ketika saya melukis bersama Boon dan membantunya, seorang pakcik yang baru pulang dari kerja terlihat mural itu dan duduk di perhentian bas sambil menyaksikan kami melukis gambar ini. Beliau kelihatan begitu bahagia dan merasa diwakili sebagai seorang Melayu," kongsi Han.

ACARA BERLANGSUNG SEHINGGA NOV 2025

Acara 'Somerset Threads Murals', yang berlangsung sehingga November 2025, juga bertujuan untuk meraikan pelukis-pelukis seni baharu.

Dengan tema 'Dahulu x Kini = Masa Hadapan', pesta seni kreatif *SCAPE comma 2025 itu menyediakan peluang kepada bakat-bakat muda dengan memberi mereka ruang yang selamat dan inklusif, membolehkan mereka meneroka, mencuba, dan mempamerkan idea-idea kreatif mereka.

"'Somerset Threads Murals' adalah sebuah program yang bertujuan untuk menarik perhatian terhadap kisah-kisah yang terdapat di kawasan Somerset Belt melalui karya seni, pementasan, dan seni visual.

"Kami mahu para pengunjung memahami kisah-kisah di sebalik kawasan ini dan memupuk pemahaman serta hubungan yang lebih mendalam dengan ruang ini. Bagi belia yang telah melukis mural ini, kami berharap mereka merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada kawasan ini," kata Pengaturcara *SCAPE, Encik Zane Motalif.

Sebanyak empat mural dan sebuah seni pemasangan dipamerkan sempena acara itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita