Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mural bawah blok ini hasil sentuhan magis terakhir Allahyarham Sarkasi Said

Anggaran Waktu Membaca:
Mural bawah blok ini hasil sentuhan magis terakhir Allahyarham Sarkasi Said

Allahyarham Sarkasi Said sempat mewarnai kolong blok kawasan kejiranannya walaupun dalam keadaan sakit.

 SINGAPURA: Hasil gerak cantingnya sudah berjaya memukau pancapersada antarabangsa. Bahkan prolifik sungguh daya kreatif sentuhannya sehingga ia menghiasi istana-istana negara merata dunia.

Namun siapa sangka, salah satu karya terakhir beliau - Bapa Batik Singapura, Allahyarham Sarkasi Said - bukan pada rentang kain. Ia juga bukan pada medium yang boleh dipindahkan dari satu pameran ke pameran lain.

Sentuhan kreatif tokoh batik tersohor ini sebaliknya berbentuk mural bermotif anggerik yang mewarnai sebuah kolong blok di Bishan. Lebih tepat lagi, di bawah Blok 112 Bishan Street 12 - bertentangan flat yang sudah didiami selama lebih 30 tahun lamanya.



"Kebetulan waktu itu lagi pandemik COVID-19. Kita tidak boleh pergi ke mana-mana. Jadi dari situ, bapak dapat ilham," cerita anak bongsu Allahyarham Sarkasi Said, Cik Imelda Zahry Sarkasi.

Kesemua anak Allahyarham Sarkasi mengikuti jejak langkahnya dan menjadi pelukis batik. Pun begitu, menurut Cik Imelda, beliau "tidak pernah bergabung" bersama bapanya dalam sebarang projek seni.

Cik Imelda semasa bersama arwah bapanya di kolong blok 112 Bishan. (Gambar: Bishan East Zone 1 RC/Facebook)

"Lebih 20 lebih tahun kita belum buat apa-apa (bersama-sama), selalu kejarkan cita-cita. Kebetulan pula ada usaha nak ubah suai kolong blok kami. Jadi ini kami jadikan satu sumbangan," tambah beliau.

BEGINI CERITA SARKASI DAPAT LUKIS BAWAH BLOK...

Semasa tempoh pandemik, Jawatankuasa Penduduk Zon 1 Bishan East giat mencari cara untuk terus mengeratkan hubungan antara penduduk sekitar kawasan yang diselia walaupun acara-acara kemasyarakatan ketika itu tidak boleh dianjurkan.

Antara usaha yang dijalankan termasuk membuka peti sejuk masyarakat, ruang membaca di bawah blok mahupun menyediakan tempat bercucuk tanam.

Di sinilah, Allahyarham Sarkasi menyuarakan hasrat untuk menyumbang cetusan ilhamnya - iaitu dengan melukis pada dinding-dinding kolong Blok 112 Bishan demi mencantikkan lagi ruang masyarakat itu.

Niat beliau akhirnya dapat ditunaikan selepas pihak berkuasa memberi lampu hijau untuk mewarnai bukan hanya satu atau dua, tetapi 12 tembok bawah blok yang ingin dilukis.

(Gambar: Bishan East Zone 1 RC/Facebook)

Maka anak tokoh batik ikonik itu, Cik Imelda, mengembangkan idea bapanya dan menjadikannya sebagai satu projek masyarakat.

"Siapa ada dekat blok (semasa kami melukis) kita panggil... mari lukis sama-sama! Mereka terus lukis juga. Kita buatnya semua dengan cara spontan," ujar Cik Imelda sambil menambah para relawan Majlis Jawatankuasa Penduduk (RC) dan pelajar-pelajar sekolah Menengah Guanyang turut membantu Allahyarham Sarkasi mewarnai kolong blok kejiranannya.

Projek berkenaan memakan masa kira-kira sebulan dan selesai dijalankan pada Januari 2021. Beberapa bulan kemudian, Allahyarham Sarkasi meninggal dunia akibat kegagalan ginjal.

BERJAM-JAM LUKIS DI BAWAH BLOK MESKI SAKIT

Dari 12 mural yang kini mewarnai kolong Blok 112 Bishan St 12, ada satu khususnya yang dilukis dan diwarnai sendiri oleh Allahyarham Sarkasi.

Ini dia temboknya... lukisan yang bermotifkan anggerik berwarna merah dan berlatarkan suasana kampung.

"Beliau yang lukis sendiri, dia lakar dulu menggunakan warna hitam, langsung dia warnakan dan ratakan," kongsi Cik Imelda dengan BERITAmediacorp sambil berdiri di hadapan tembok diwarnai bapanya. Ibu satu anak itu sebak seketika semasa mengimbau kembali saat-saat bersama bapanya untuk menyelesaikan projek mereka secara bersama.



"Makan masa yang panjang, dalam 7 jam beliau habis gitu. Dan sekejap-sekejap, kita terpaksa berhenti dulu. Kasi beliau rehat," tambahnya.

"Arwahnya (masa itu) sudah sakit. Jangka cuma dalam 6 bulan selepas diiktiraf dengan Pingat Budaya. Walaupun dengan kerusi roda, dia duduk lukis berjam-jam."

Begitulah hebatnya tekad insan seni bernama Sarkasi Said ini. Sekalipun dalam keadaan sakit, beliau berjaya menyuntik warna pada kolong bloknya. Warna-warna coretan bahkan dilakukan dengan telaten - bertemakan kehijauan yang menyuburkan ketenangan hakiki.

CAP MOHOR TIDAK DITANDAKAN PADA LUKISAN TERAKHIR

Satu kelainan pada lukisan Allahyarham Sarkasi yang satu ini adalah, ia tidak ditandakan dengan cap mohor 'Tzee'.

"‘Tzee’ memang khas namanya untuk lukisan tetapi kerana ini untuk kejiranan, beliau minta tidak ditulis (pada mural)," jelas Cik Imelda.

Cap mohor Allahyarham Sarkasi Said bagaimanapun sempat ditandakan sendiri olehnya pada satu tembok yang dinamakan Wall of Fame (Tembok Kemasyhuran).

Tembok itu dibubuhkan dengan tandatangan dan cap tangan semua penduduk yang menjayakan projek mencantikkan kolong Blok 112 Bishan - termasuk Allahyarham Sarkasi dan anaknya, Cik Imelda.



Satu lagi perkara yang tidak diketahui ramai... kolong blok ternyata merupakan sesuatu yang dekat di hati keluarga Allahyarham Sarkasi.

"Dahulu kalau kita sudah habis sekolah, nanti kita duduk dekat bawah, kita main kejar-kejar. Dari situ, bapak cakap marilah kita melukis bersama-sama. Macam dengan cara spontannya, arwahnya akan bagi 'drawing block'," cerita Cik Imelda lagi.

Maka di sebalik coretan warna pada mural anggerik Sarkasi, tersirat makna dan cerita yang begitu mendalam.

Tidak sahaja ia menyampaikan mesej yang ingin disampaikan, ia juga terkandung kenangan manis beliau bersama anak-anaknya di bawah blok.

Kisah ini boleh anda saksikan dalam Detik Khas: Bawah Blok (Ep 31) di meWatch.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan