Skip to main content

Singapura

Mungkin ada GRC dan SMC baharu, GE2025 seawal April: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Mungkin ada GRC dan SMC baharu, GE2025 seawal April: Penganalisis

(Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 22 Jan 2025 11:32PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 11:28PM
SINGAPURA: Syarat-syarat rujukan yang dibentangkan bagi badan semakan sempadan kawasan undi Singapura memberi gambaran bahawa kemungkinan akan ada Kawasan Undi Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baharu.

Demikian menurut para pemerhati politik.

Penyesuaian yang berpotensi dilakukan ini mungkin seiring dengan jangkaan akan ada lebih ramai Anggota Parlimen (AP), mencerminkan kenaikan jumlah pengundi sejak Pilihan Raya Umum 2020.

Para pemerhati menarik perhatian bahawa GRC atau SMC baharu itu berkemungkinan ditubuhkan di kawasan-kawasan dengan pembangunan perumahan baharu yang membawa kepada lebih ramai penduduk baharu.

Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (22 Jan) untuk menyemak garis kawasan undi menjelang pilihan raya akan datang, yang mesti diadakan sebelum 23 November tahun ini.

Berdasarkan waktu penubuhan EBRC dan proses pilihan raya sebelum ini, para pemerhati berkata pilihan raya tahun ini berkemungkinan diadakan dalam bulan April atau Mei.

LEBIH BANYAK KERUSI UNTUK BERKHIDMAT KEPADA LEBIH RAMAI PENGUNDI

EBRC diarahkan untuk "mengekalkan saiz purata GRC, jumlah Anggota Parlimen (AP) yang dipilih daripada SMC, dan nisbah purata antara pengundi dengan Anggota Parlimen yang dipilih, semuanya hampir sama seperti semasa Pilihan Raya Umum yang lalu".

Ini, kata Penolong Profesor Elvin Ong dari jabatan sains politik Universiti Nasional Singapura (NUS), adalah frasa utama yang dinyatakan dalam kenyataan pada Rabu semasa mengumumkan penubuhan EBRC.

Pada 2020, purata saiz GRC adalah 4.65 AP.

SMC menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan AP, dengan 14 daripada 93.

Nisbah purata pengundi kepada AP dilantik kemudian menjadi 27,900 kepada satu selepas semakan itu, menurut Penolong Profesor Ong.

Daftar pengundi Singapura kali terakhir dikemas kini pada Julai tahun lalu, dengan 2,715,187 orang layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika anda mahu nisbah yang sama, anda perlu melantik sekurang-kurangnya 97 AP," kata Penolong Profesor Ong. Ini bermakna penambahan empat kerusi AP dilantik.

Dr Teo Kay Key, seorang zamil di Institut Kajian Dasar, berkata syarat rujukan itu menggesa jawatankuasa "mengekalkan perkadaran AP dari SMC, bukan angkanya".

Ini bermakna jika jumlah keseluruhan AP yang akan dilantik meningkat, jumlah SMC juga harus meningkat dengan peratusan yang sama, kata Dr Teo.

Untuk mengekalkan 15 peratus jumlah AP dari SMC, 15 kerusi perwakilan perseorangan diperlukan. Ini meninggalkan 82 kerusi bagi GRC.

Untuk membahagikannya mengikut purata 4.65 AP bagi setiap GRC, sebanyak 18 GRC diperlukan dalam peta kawasan undi.

"Jadi ramalan terbaik adalah sekurang-kurangnya satu lagi GRC," kata Penolong Profesor Ong.

Profesor Madya Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan, bersetuju dengan perubahan dalam jumlah GRC. "Misalnya, jika empat kerusi baharu disarankan, ia boleh membentuk satu GRC empat anggota."

Dr Teo menarik perhatian bahawa perubahan itu boleh berlaku di kawasan undi yang mengalami "perubahan ketara dalam jumlah pengundi", seperti Tengah, yang baru-baru ini menyaksikan projek-projek perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) siap dibina serta ketibaan para penduduk baharu.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita