Skip to main content

Singapura

Mulai Jumaat, penduduk, pemegang pas jangka panjang S'pura lengkap divaksin tidak lagi perlu serah pengisytiharan kesihatan di pusat pemeriksaan darat

Ini bagi memudahkan lagi penduduk dan pemegang pas jangka panjang yang sudah lengkap divaksin, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja dan bersekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Apr 2022 12:50PM Dikemas Kini : 13 Apr 2022 09:21PM

SINGAPURA: Mulai Jumaat (15 Apr), kebanyakan penduduk dan pemegang pas jangka panjang Singapura yang sudah lengkap divaksin tidak perlu lagi menyerahkan pengisytiharan kesihatan ketika hendak masuk ke negara ini menerusi pusat pemeriksaan darat.

Ini bagi memudahkan lagi penduduk dan pemegang pas jangka panjang yang sudah lengkap divaksin, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja dan bersekolah, "memandangkan jumlah trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat", menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan medianya.

Sekarang ini, pelawat yang tiba di Singapura perlu menyerahkan pengisytiharan kesihatan melalui khidmat online 'SG Arrival Card' atau Kad Ketibaan SG, yang disediakan di laman ICA atau aplikasi mudah alih.

Untuk layak bagi pengecualian itu, pelawat mesti tidak melakukan perjalanan ke mana-mana negara atau rantau dalam Kategori Sekatan dalam tempoh masa tujuh hari sebelum ke Singapura. Buat masa ini tiada negara atau rantau yang berada dalam kategori itu, menurut ICA.

Mereka yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Singapura, mesti memastikan status vaksinasi mereka tertera dalam aplikasi mudah alih TraceTogether atau HealthHub.

Mereka yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 di luar Singapura pula, perlu menghantar rekod digital vaksinasi mereka ke sistem Kementerian Kesihatan (MOH) semasa masuk ke negara ini buat kali pertama.

Mereka juga boleh menyerahkan sijil vaksinasi digital melalui Portal Pemeriksaan Vaksinasi ICA setibanya di Singapura.

Jika mereka tidak dapat berbuat demikian, atau jika mereka mempunyai sijil vaksinasi bukan dalam bentuk digital dari luar negara, mereka mesti menunjukkannyakepada pegawai ICA di kaunter imigresen setibanya di Singapura.

Mereka yang menerima suntikan vaksin di luar negara hanya perlu menjalani proses itu sekali sahaja bagi memasukkan rekod vaksinasi mereka ke dalam sistem MOH, menurut ICA. Mereka tidak perlu memuatnaik atau menunjukkan sijil vaksinasi mereka semasa kunjungan berulang ke Singapura.

Pelawat lain yang tiba melalui pusat-pusat pemeriksaan darat masih perlu menyerahkan pengisytiharan kesihatan mereka menerusi khidmat online Kad Ketibaan SG dalam masa tiga hari sebelum mereka tiba di Singapura.

Pengisytiharan kesihatan masih diperlukan bagi semua pelawat yang tiba melalui perjalanan udara dan laut.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita